Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Monday, March 5, 2012

Bila Cinta Bertamu Episod 11 (akhir)

Hati Faiza tidak keruan setelah menyedari tindakannya pada suaminya pagi tadi. Sudah berapa kali Fariz membuat panggilan tapi dia lansung tidak mengendahkannya. Entah kenapa terasa bersalam mula hinggap dalam lubuk hatinya. Lantas, dia mengambil telefon dan mendail nombor suaminya sambil memikirkan apa yang hendak diperkatakan. Namun, hatinya kecewa setelah mendengar panggilannya disambut operator. Sekali lagi Faiza mencuba nasib. Namun keputusan tetap sama. Faiz menutup telefonnya. Ya Allah, apa yang telah saya lakukan? Maafkan saya Fariz. Rintih hati Faiza.

Semua kerja yang dilakukan pada hari itu memang tidak memuaskan. Petang itu, Faiza pulang ke rumah dengan perasaan yang bercampur-baur. Panggilannya langsung tidak masuk ke talian Fariz.

Apabila tiba di rumah, Faiza terkejut melihat bunga yang diletakkan di atas meja tamu rumahnya. Dengan penuh tanda tanya, Faiza mengambil bunga itu dengan penuh debaran.

"Maafkan saya,"

Fariz, suamimu.

Daripada Fariz? Adakah...?

Seraya itu, Fariz keluar daripada dapur dengan penuh senyuman yang menampakkan kegetaran hatinya. Faiza kaget dengan kemunculan Fariz.

"Apa awak buat kat sini?" tanya Faiza.

"Saya tak boleh tunggu sampai hujung minggu Ija. Selepas membuat panggilan pagi tadi, saya terus minta cuti lagi dan terus membeli tiket ke sini," jawab Fariz.

"Ija, saya minta maaf Ija. Tolong maafkan saya. Saya tak sanggup kehilangan Ija lagi. Lebih-lebih lagi setelah kita sudah menjadi suami isteri. Maafkan saya Ija." Fariz merayu pada Faiza lantas melutut seperti budak kecil yang meminta sesuatu daripada ibunya.

Air mata lantas mengalir di mata Faiza. Dia turut melutut menghadap wajah suaminya.

"Awak, siapa yang nak tinggalkan awak ni? Saya tak kata pun. Saya memang dah maafkan awak Fariz. Malah saya bersyukur setelah mengetahui perkara sebenar. Baru saya tahu, betapa awak adalah anugerah yang paling bernilai buat saya dan betul-betul ikhlas. Terima kasih kerana menjadi Ziedax untuk saya," Faiza membetulkan kata-kata tulus untuk suaminya.

"Betul ni Ija dah maafkan saya? Tapi, kenapa Ija suruh saya balik minggu ni juga?" tanya Fariz.

"Yelah, saya nak jumpa awak. Saya suruh awa balik minggu ni. Takkan nak minta awak balik minggu lagi satu yang lain. Lamalah saya nak tunggu awak, sayang," gurau Faiza.

"Apa? Sayang? Alhamdulillah....terima kasih sayang." Berbunga hati Fariz mendengar kata itu dari isterinya. Hatinya sekali lagi memanjat kesyukuran yang tidak terhingga atas kurniaan daripada Ilahi itu. Begitu juga Faiza. Dia bertekad untuk menjadi yang terbaik buat suaminya hingga akhir nyawanya. Ya Allah, peliharalah hubungan kami ini dan berkatilah kami serta bimbing kami untuk bersama hingga ke syurga. Amin Ya Rabbana....

"Sayang, ada hidu satu bau tak?" Tiba-tiba Fariz bersuara.

"Bau? Bau apa awak?" Tanya Faiza sambil memuncungkan hidungnya untuk mencari bau yang dimaksudkan.

"Bau orang tak mandi lagi. Huh, sayang rupanya yang bau ni..." jawab Fariz bersahaja.

"Awak......." Satu pukulan hinggap di bahu Fariz setelah menyedari dirinya diperli oleh Fariz.

-TAMAT-

Wednesday, February 22, 2012

Bila Cinta Bertamu Episod 10

Sudah hampir seminggu Faiza bercuti untuk majlis perkahwinannya. Kehidupannya sebagai isteri terasa amat bermakna dengan kehadiran Fariz. Terasa lengkap kehidupan yang dia alami. Begitu juga dengan Fariz. Namun, dia terpaksa berpisah dengan isterinya kerana tempat kerjanya memerlukan mereka untuk berpisah sementara. Fariz nekad untuk memohon perpindahan tempat kerjanya di tanah air sendiri, lebih-lebih lagi ada tanggungjawab yang lebih penting di sini.

Pagi itu, Faiza sudah mula kembali ke tempat kerja masing-masing. Ucapan tahniah bergili-gilir meniti di bibir rakan-rakan sepejabat Faiza atas perkahwinanya. Tidak lepas juga ada yang sempat mengejek seperti yang pernah dia lakukan pada rakannya yang berkahwin dahulu. Setelah penat melayan rakan-rakan, Faiza kembali ke mejanya dan mula membuka komputer di hadapannya. Banyak kerjanya yang tertangguh dan perlu diselesaikan segera. Setelah komputer dibuka, keluar satu paparan mesej Yahoo di hadapannya. Dari Ziedax, bisik hatinya.

anoy_ziedax: Assalamualaikum Faiza. Sebelum saya memulakan bicara, saya ingin meminta maaf kerana sudah lama tidak menghubungi awak. Sebenarnya saya cuba untuk melupakan awak selepas mengetahui awak sudah mempunyai teman kerana dahulu, saya ingin menyunting awak menjadi isteri saya. Namun, pesanan dan kisah yang pernah awak ceritakan sepanjang saya tidak menghubungi awak membuatkan saya tidak dapat melupakan awak. Tapi saya tetap tidak menjawab segala pertanyaan dan kisah awak kerana saya ingin menjadi pembaca kisah awak dalam diam. Sekarang, awak telah pun menjadi isteri dan saya juga sudah menjadi suami pada 17 Febuari yang lepas.

Faiza terkedu membaca pesanan Ziedax. Namun dia lebih terkedu membaca tarikh perkahwinan Ziedax yang sama tarikh sepertinya. Lantas dia menaip untuk membalas pesanan Ziedax. Walaupun dia sudah mengatakan tidak akan menghubingi Ziedax, namun niatnya hanya sekadar mengucapkan tahniah.

teratai_ija: Assalamualaikum. Saya baru membaca pesanan awak. Tahniah atas perkahwinan awak. Jadi, atas sebab ini, kita tidak ada lagi sebab untuk berhubung kan? Kerana masing-masing sudah mempunyai komitmen dan perlu menjaga hati pasangan masing-masing. Saya tidak salahkan awak atas apa yang berlaku. Kita sama-sama berdoa untuk kebahagiaan rumah tangga masing-masing ya.

anoy_ziedax: Tidak!! Saya hanya mendoakan untuk kebahagiaan rumah tangga saya sahaja..=)

Tidak menyangka akan mendapat balasan sebegitu dari Ziedax membuatkan Faiza terkejut. Kenapa? Bisik hatinya.

anoy_ziedax: Awak nak tahu kenapa? Kerana kebahagiaan rumah tangga saya adalah kebahagiaan rumah tangga kita bersama. Tanggal 17 Febuari lepas, saya telah berkahwin dengan Nurfaiza binti Sulaiman. Maafkan saya kerana merahsiakan perkara ini. Sebenarnya, nama sebenar saya adalah Mohd Fariz, suami awak.

Ya Allah!! Apakah ini semua?

Serentak itu, telefon Faiza berdering. Nama 'Zauji' tertera di permukaan. Faiza lantas mengangkat.

"Ija, saya minta maaf atas segala yang berlaku. Sebenarnya, sudah lama saya ingin menyatakan kebenaran ini, tapi saya rasa sekarang adalah masa yang paling sesuai kerana saya ingin awak terima saya sebagai Mohd Fariz, bukan Ziedax," Fariz memulakan bicara.

"Ija, awak masih ingat tak dulu awak pernah menyampaikan ucapan aidilfitri di surat khabar semasa awak masih belajar? Awak masih ingat lelaki yang mengambil gambar awak dan kawan awak?" tanya Fariz setelah tidak mendapat respon dari Faiza.

Faiza yang terkejut dengan panggilan itu terus teringat peristiwaq beberapa tahun yang lepas. Rupanya lelaki itu adalah kawan lama abang Hisyam. Patutlah dia seakan-akan pernah melihat dia. "Ingat...." jawab Faiza tergamam.

"Selepas temubual itu, saya ambil email Ija dan keesokannya saya terus hantar permohonan menjadi kawan Ija. Bermula dari itu kita mula berkenalan dan akhirnya saya rasa saya sudah menyukai Ija. Tiba satu masa, saya berhajat ingin mengambil Ija sebagai isteri dan saya sudah menyatakan pada abang Ija perihal itu, tapi Hisyam mengatakan yang Ija sudah memiliki calon membuatkan saya rasa yang saya perlu mengundurkan diri. Namun, saya tidak pernah lupakan Ija. Setiap kali Ija manghantar pesanan meminta maaf dan meluahkan perasaan pada Ziedax, saya hanya membaca tanpa membalas pesanan itu. Maafkan saya Ija," terang Fariz panjang mengharapkan balasan daripada Faiza.

"Em.....tapi...." bergetar suara Faiza menbalas perkara yang diperkatakan. Terasa seperti dunia itu kosong seketika. Serta merta air mata mengalir deras di pipi. Tidak tahu apa yang dirasa. Terkejut, marah, sedih, gembira semuanya bercampur baur.

"Saya tahu saya salah sebab merahsiakan ini semua. Tapi, niat saya atas ini semua adalah satu. Saya terpikat pada awak sejak saya dan Hisyam berada di tingkatan 6 lagi dan awak pula tingkatan 4. Pada waktu itu, berkawan dengan Hisyam membuatkan saya dapat mengenali awak dan mendengar cerita perihal awak daripada Hisyam dulu membuatkan hati saya gembira. Selepas habis persekolahan, saya dan Hisyam tidak berhubung untuk satu masa yang lama. Allah telah temukan saya dan awak dan bermula dari itu, saya mula menghubungi Hisyam semula. Niat saya tatkala kita bertemu semula adalah ingin mengambil awak sebagai isteri saya dunia dan akhirat. segala persoalan saya tanyakan daripada abang awak." tiba-tiba Fariz terasa matanya berpinar dan basah tatkala meluahkan segala yang dia lalui.

"Akhirnya, saya menerima berita yang amat menggembirakan apabila Hisyam mengatakan tentang kesediaan awak menerima saya sebagai suami walaupun awak tidak mengenali saya. Hari-hari yang berlalu akhirnya membawa kita ke gerbang perkahwinan yang sangat saya impikan. Awak tahu, saya adalah insan paling gembira tatkala sah menjadi suami awak. Allah perkenankan doa saya dan awak adalah anugerah yang terlalu indah yang telah diberikan kepada saya. Ya, awak Faiza..." Akhirnya air mata lelaki turun membasahi pipi Fariz. Bukan kerana sedih tapi kerana rasa syukur atas perancangan Allah yang terlalu sulit tapi begitu indah baginya.

"Ija, saya betul-betul minta maaf jika apa yang saya lakukan ini melukakan hati awak, sayang. Tapi,saya betul-betul ikhlas pada awak. Tolonglah, maafkan saya Ija....." rayu Fariz.

Faiza yang hanya mendengar ucapan itu segera menuju ke bilik rehat kerana takut reaksinya disedari rakan sepejabat.

"Ija...maafkan saya..." rayu Fariz lagi.

"Awak...." Faiza memulakan bicara sambil menyapu air mata yang mengalir. Dia menyedari maksud sebenar Fariz.

"Dahla...awak ni banyak sangat cakapla. Sampai saya nak cakap pun tak boleh. Macam ni la, minggu ni awak mesti balik rumah. Saya tak kisah, awak wajib balik juga. Saya ada hukuman untuk awak." Serius suara Faiza di hujung telinga Fariz.

"Em, awak marahkan saya Faiza?" tanya Fariz inginkan kepastian dan maksud di sebalik kata Faiza.

"Em, saya ada banyak kerja nak diselesaikan. Saya tunggu awak balik minggu ni. Assalamualaikum." Faiza terus meletak panggilan Fariz membuatkan Fariz tidak keruan. Dia mesti lakukan sesuatu.

sambungan Episod 11

Friday, February 10, 2012

Bila Cinta Bertamu Episod 9

teratai_ija: Assalamualaikum ziedax. Apa khabar? Harap sihat selalu. Saya sekali lagi ingin meminta maaf atas segala kesalahan yang perna saya lakukan samada sengaja atau tidak. Saya cuma ingin memberitahu mungkin ini adalah pesanan terakhir daripada saya. Saya sudah bertunang dan akan mendirikan rumah tangga dengan bakal suami saya pada bulan hadapan. Jadi, penting bagi saya untuk melupakan segala perkara yang mungkin akan menimbulkan masalah pada ikatan yang bakal dibina. Namun, saya tetap perlukan doa daripada awak. Doakan kesejahteraan dalam rumah tangga saya. Terima kasih atas segala nasihat yang awak berikan. Assalamualaikum.

Kali ini Faiza tekad, ini adalah pesanan terakhir yang akan dia berikan kepada Ziedax. Sudah hampir sebulan dia menjadi tunangan Mohd Fariz dan akan berkahwin tidak lama lagi. Perkenalannya dengan Fariz seolah-olah dia sudah lama mengenali Fariz. Begitu juga Fariz yang seakan-akan sudah begitu mengenali Faiza. Atas sebab itu, Faiza serasi apabila bekerjasama menyiapkan persiapan perkahwinan bersama Fariz.

Sebulan kemudian, hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Semua persiapan sudah dilakukan dengan sebaiknya.

"Saya terima nikahnya...." Ayat yang meluncur di mulut Fariz akhirnya disambut dengan senyuman dan rasa syukur di hati Faiza. Akhirnya, dia yang Allah tetapkan untukku. Alhamdulillah syukur ya Allah. Serta merta air mata mengalir di pipi Faiza tatkala melihat Fariz datang kepadanya untuk menyarungkan cincin. Beribu kesyukuran dipanjatkan atas kurniaan yang diberikan ini. Melihat senyuman yang terukir di bibir abang, kakak ipar dan saudara-saudaranya memekarkan lagi bunga di hati Faiza.

"Terima kasih kerana sudi menjadi suri dalam hidup saya, Faiza," tutur Fariz memulakan bicara tatkala mereka berehat dari hari yang memenatkan.

"Saya yang patut berterima kasih pada awak Fariz kerana memilih saya. Mungkin saya tidak sempurna pada mata awak, tapi saya insyaAllah akan membuat yang terbaik untuk menjadi isteri yang solehah untuk awak," balas Faiza sambil hatinya tidak putus-putus memuji kurniaan yang Allah berikan.

"Alhamdulillah, akhirnya Allah kabulkan permintaan saya. Saya terima awak seadanya kerana saya yakin awak adalah orang terbaik yang Allah tetapkan kepada saya. Saya sebenarnya sudah lama mengenali dan menunggu awak...." Kata itu terhenti seketika namun tidak mengejutkan Faiza kerana teringat kisah bahawa abangnya pernah menyatakan pertanyaan Fariz tentang dirinya suatu masa dahulu. Namun, apa yang dimaksudkan oleh Fariz adalah tentang sesuatu yang masih belum Faiza ketahui dan pastinya ia akan dikhabarkan kepada Faiza tidak lama lagi.








Bila Cinta Bertamu Episod 8

"Abang ada sesuatu nak bincang dengan adik," terang Hasyim memulakan bicara bersama adik kesayangannya.

"Adik sekarang dah masuk 28 tahun. Abang rasa tiba masanya untuk adik menjalani hidup berumah tangga. Lagi pula, abang tak nampak halangan yang menghalang adik untuk bersuami dan membina keluarga," lembut Hasyim menuturkan kata.

Terkejut pula rasanya apabila abangnya mengutarakan perkara itu. Namun Faiza sedar apa yang diperkatakan oleh abangnya itu ada kebenarannya.

"Abang, kan adik dah serahkan urusan ini kepada abang. Adik akan ikut sahaja kata abang," jelas Faiza. Padanya Hasyim adalah insan yang amat mengenalinya selain daripada ibunya sendiri. Dia yakin pada pilihan Hasyim dan ibunya.

"Sebenarnya, ada seorang kawan abang yang pernah bertanyakan tentang adik. Tapi waktu itu, abang rasa adik masih belum stabil lagi untuk memikirkan perkara ini. Ternyata kawan abang ni sanggup tunggu apabila adik sudah bersedia. Abang pun tak tahu kenapa."

Faiza terkesima seketika mendengar pengakuan abangnya itu. Rupanya ada perkara yang abang rahsiakan daripadaku. Tapi, siapakah gerangan kawan abang itu? Ingin bertanya namun tiba-tiba terasa kaku.

"Nama kawan abang tu Mohd Fariz bin Hazman. Sama sekolah dengan abang masa menengah dahulu. Dia baik orangnya. Abang lupa pula dia bekerja sebagai apa sebab sudah hampir dua tahun abang tak dengar berita daripada dia," terang Hisyam seolah-olah mengetahui apa yang tersirat di minda adiknya.

Diam seketika dan kemudian Faiza bersuara, "Abang, adik kan dah serahkan semuanya kepada abang. Jadi, siapa yang terbaik untuk Ija pada pandangan abang, adik terima. Adik tahu abang akan pilih yang terbaik untuk adik," jawab Faiza dengan tenang. Dia memang sudah lama memikirkan perkara ini dan dia tahu ini adalah keputusan yang terbaik.

"Maksudnya adik setuju?" Tanya Hisyam seolah tidak percaya.

"Abang pasti dia yang terbaik untuk adik?" tanya Faiza semula.

"InsyaAllah abang pasti. Abang dah kenal sangat dengan dia dan keluarganya. Kalau adik nak tengok gambar dia, adik boleh tengok kat laman facebook abang. Nanti abang tunjukkan. Sekurang-kurangnya adik kena tengok gambar dia," teruja pula rasanya apabila adiknya menerima. Sekarang, dia perlu menghubungi rakannya itu untuk mengkhabarkan perkhabaran itu. Harapnya, dia masih belum terlambat. Bagi Hisyam, rakannya itu merupakan seorang yang sangat dihormati di kalangan sahabatnya kerana dia memiliki sifat kepimpinan dan apa yang lebih penting adalah sikap Fariz yang mengutamakan ajaran Islam dalam kehidupan hariannya.

Malam itu, Faiza duduk seorang diri memikirkan semula perbualan bersama abangnya. Seketika, timbul pula wajah Faiz yang pernah membina niat untuk berumah tangga bersamanya. Namun dia segera membuang semula ingatan itu kerana baginya, Allah adalah perancang yang terbaik. Allah pasti kurniakan orang yang terbaik dalam hidupnya. Semoga Fariz adalah insan terbaik yang Allah tetapkan untuknya. Hati faiza yakin pada pilihan abangnya dan semuanya dia serahkan pada yang Esa.

sambungan Episod 9

Saturday, February 4, 2012

Bila Cinta Bertamu Episod 7

Sudah hampir 5 bulan Ziedax tidak menghantar khabar berita kepadanya. Entah mengapa, sejak kali terakhir berbicara perihal rumah tangga, Ziedax seolah-olah dingin. Ada kata-kata yang tersilap sehingga melukakan hati Ziedax ke? Berapa kali Faiza meninggalkan pesan maaf dalam simpanan mesej Ziedax namun masih tidak terjawab. Lantas, segala masalah dan luahan rasa hanya diluahkan kepada satu-satunya abang atau kakak ipar yang setia mendengar. Faiz pula sudah hampir luput di fikirannya. Tiada harapan lagi yang dia sandarkan pada Faiz atas segala yang pernah terjadi.

"Ya Allah, aku memohon ampun dari segala dosa yang aku lakukan. Aku akui, aku selalunya akan memohon mengadu padaMu tatkala aku dilanda kesepian dan kesedihan. Sedangkan tatkala aku gembira, betapa aku mudah untuk melupakanMu, ya Allah. Aku lalai, aku leka. Ampunkan aku, ampunkan aku Allah..." rintih Faiza di setiap tangisan doanya. Betapa dia menyedari kesilapannya yang hanya meminta pertolongan tatkala dirundung kesedihan.

Alhamdulillah Allah memberinya kekuatan untuk menjalani hidup yang mendatang. Walaupun tidak dinafikan perasaan sunyi kadang-kadang menyinggah diri, namun rakan-rakan yang lain sentiasa di sisi.

"Faiza, aku ada sepupu yang pernah datang masa kenduri Hanim dulu. Dia kata nak berkenalan dengan kau." Kata-kata rakan sekerjanya, Huda lansung tidak menarik perhatian Faiza.

"Aku malaslah nak peduli hal macam ni Huda. Kau bagitau je aku dah berpunya, ye," putus Faiza yang tiba-tiba merasa marah atas berita yang Huda sampaikan. Bukan marah pada Huda tapi marah pada sikap dan perangai lelaki yang pernah menjadi memorinya dahulu.

Huda lantas diam melihat perubahan nada Faiza. Dari dahulu lagi dia sedaya upaya untuk mengubat hati Faiza daripada menyimpan memori sedihnya tapi nyata usahanya masih lagi gagal. Bagi Faiza pula, bukan dia sudah tidak mempercayai lelaki, tapi dia tahu Allah sudah tetapkan yang terbaik untuknya. Baginya, biarlah perkenalan itu bermula setelah dia menjadi isteri kepada seorang suami. Biarlah cinta itu berbunga untuk insan yang sepatutnya dia cintai. Sekarang, dia masih belum bersedia untuk berumahtangga, lantas masih belum masanya lagi dia menerima lamaran dan perkenalan dari insan yang tidak sepatutnya. Semuanya sudah Faiza luahkan pada abangnya, dan permintaannya untuk dicarikan calon yang sesuai apabila tiba waktunya dipersetujui oleh abangnya yang sedia membantu satu-satunya adik kesayangannya. Masanya apsti akan tiba. Insyaallah...

sambungan Episod 8

Thursday, February 2, 2012

Bila Cinta Bertamu Episod 6

"Assalamualaikum kak. Akak apa khabar? Lama tak dengar cerita akak," terdengar suara wanita yang sudah lama Faiza kenali di hujung talian.

"Waalaikumsalam. Akak sihat alhamdulillah. Suraya yang tak pernah tanya cerita dari akak, macam mana akak nak ceritakan," gelak Faiza.

"Akak ni, tak habis-habis dengan perangai lama dia. Akak, bulan Jun nanti ada majlis konvokesyen untuk batch Suraya pula. Tak sabar rasanya. Akak datanglah ke majlis tu nanti, datanglah kak," rengek Suraya pada Faiza yang sudah dianggap seperti kakak sendiri.

"Bulan Jun? Em, lagi 3 bulan kan? InsyaAllah, nanti akak carikan tiket kalau ada yang murah ya, atau adik yang nak belikan tiket untuk akak?"

"Ala akak, Suraya baru je habis belajar, tak bekerja pun lagi. Mana ada duit nak belanja akak," terang Suraya.

"Akak berguraulah Suraya. Janganlah nak menangis. Nanti akak bagitau Suraya lagi ye untuk majlis konvokesyen Suraya." pujuk Faiza.

"Em akak, nak tanya. Em, akak dengan abang Faiz dah tak ada apa-apa hubungan ya?" Soalan Suraya itu tiba-tiba menusuk ke jantung Faiza. Kenapa dia tiba-tiba bertanya begitu?

"Em, kenapa Suraya tanya macam tu?"

"Em, sebab sejak akhir-akhir ni selalu jumpa abang Faiz keluar dengan rakan sekelas Suraya. Naimah namanya. Siapa yang putuskan dahulu kak?" tanya Suraya tanpa mengetahui kebenaran yang berlaku. Namun, bagi Faiza, bukan soalan itu yang menjadi perhatian, tapi kenyataan yang sebelumnya terasa seperti menekan jantungnya. Sudah hampir 4 bulan Faiz langsung tidak menghantar berita. Semua panggilan dan mesej pesanan ringkas tidak diangkat dan dibalas.

"Kak? Kak Ija?" kedengaran suara Suraya mematikan lamunan Faiza. Terasa panas tiba-tiba badan Faiza terutama sekali di kelopak matanya.

"Em. Su, Naimah dengan abang Faiz tu ada apa-apa hubungan ke? Su pernah tanya?" Faiza bertanya sambil menahan rasa tidak keruannya.

"Ada, Su pernah tanya. Naimah memang akui dia ada hubungan dengan abang Faiz. Dia cerita pada Su yang abang Faiz kata akak dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan. Sebab tu Su terkejut sebab akak tak cerita pun kat Su." Lantas itu juga, air mata Faiza mengalir.

Hari itu, Faiza menceritakan kesemuanya pada Suraya. Pengakuan yang disampaikan oleh Faiza amat mengejutkan Suraya. Tidak sangka abang Faiz sanggup meninggalkan kak Faiza tanpa apa-apa berita. Lagi menyedihkan, kak Faiza sekali lagi mengalami keadaan menyedihkan itu setelah pernah diperlakukan sebegitu 2 tahun lepas. Sabar kak, Allah nak bagi orang yang lebih baik untuk akak. Itu sahaja yang mampu Suraya katakan pada Faiza.

Malam itu, Faiza berserah segalanya kepada Allah atas apa yang telah berlaku. Baginya, semua persoalan sudah terjawab. Malam itu juga dia bertanya pada Faiz untuk apa yang berlaku. Namun sekali lagi, panggilannya tidak dihiraukan. Lantas Faiza menaip segala yang terbuku di dalam hati dan berharap akan ada penjelasan untuk semua itu. Namun, semuanya sia-sia belaka. Faiza hanya mampu berdoa semoga dikuatkan hati menghadapi perkara ini buat kali kedua. Dan pastinya, kepercayaanya pada insan bernama lelaki, terkubur kembali...

Sambungan Episod 7

Tuesday, January 31, 2012

Bila Cinta Bertamu Episod 5

Perkenalan Halim dan Faiza sudah mencecah hampir setahun. Namun, mereka tidak pernah mengenali dan melihat wajah masing-masing. Bagi Faiza, Halim adalah rakan mayanya dan Halim pula tidak mahu dirinya diketahui oleh Faiza walaupun dia sebaliknya. Namun, hubungan mereka semakin rapat dan Halim dapat merasakan keserasian yang ada antara mereka. Bagi Faiza, walaupun Faiz sudah tidak menghubunginya, dia tetap setia. Apabila dia menghadapi masalah dan memerlukan pendapat, Faiz adalah orang kedua yang ditanya selepas abangnya. Namun, kebanyakannya tidak mendapat respon seperti yang diharapkan daripada Faiz. Lantas, Halim menjadi sumber seterusnya untuk dia bertanya. Sikap matang Halim begitu disenangi oleh Faiza.

anoy_ziedax: Em Faiza, saya nak tanya satu soalan yang bersifat peribadi boleh tak?

teratai_ija: Eh, tanya lah. Selagi tidak terlalu peribadi, apa salahnya..

anoy_ziedax: Umur awak sekarang dah mencecah 26 tahun. Awak tak ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga? Atau belum bersedia?

teratai_ija: Wah, soalan yang memang bersifat peribadi. Em, saya sudah lama ada perancangan untuk berkahwin. Rasanya dari sekolah menengah lagi. Haha..

anoy_ziedax: Ija, saya serius ni.....

teratai_ija: Oh, serius ya? Maaf... Em, umur memang dah lanjut, perancangan memang dah ada. Tapi keadaan masih tidak mengizinkan. Saya baru sahaj setahun bekerja. Masih ada perkara penting lagi yang perlu saya lakukan.

anoy_ziedax: Oh, tapi macam mana kalau ada yang datang melamar awak? Awak terima?

teratai_ija: Buat masa ini, mungkin saya katakan tidak. Lagipun, saya sebenarnya sudah ada teman dan masih setia pada dia.

Tiba-tiba rasa tersentak hati Halim membaca ayat terakhir itu. Rupanya dia sudah berteman. Selama ini aku mengganggu ke? Soal Halim dalam hati.

anoy_ziedax: Oh, begitu....

teratai_ija: Ya begitu... Awak pula? Rasanya umur awak juga sudah sesuai untuk berumah tangga bagi seorang lelaki. Lagipun, awak juga sudah bekerjaya. Abang saya juga sama umur dengan awak dan sudah pun memiliki cahaya mata.

anoy_ziedax: Saya masih mencari calon yang sesuai.

teratai_ija: Bukan di sana ada ramai calon? Awak pilih sahaja sesiapa yang awak kehendaki.

anoy_ziedax: Memang ramai di sini, tapi Allah tidak buka hati saya untuk memilih mereka. Em, Faiza, saya kena pergi dulu. Ada perkara yang perlu diselesaikan. Assalamualaikum..

Serta merta Ziedax menutup talian mayanya. Faiza berasa hairan dengan tingkah Ziedax yang tiba-tiba menutup talian padahal sebelumnya tidak. Faiza? Tiba-tiba nama itu juga menjadi tanda tanya yang terserap di minda. Bagaimana dia tahu nama aku? Sedangkan selama ini tidak pernah nama itu disebut mahupun daripada dia ataupun Faiza sendiri. Siapa dia sebenarnya?

Sambungan Episod 6






Monday, January 30, 2012

Bila Cinta Bertamu Episod 4

"Tahniah Ija atas konvokesyen yang lepas. Maaflah, tak ada bunga la nak bagi. Pospone dulu ye hadiah konvokesyen tu," sapa Liza, kawan rapat Faiza semasa sekolah menengah.

"Terima kasih Liza. Boleh pula nak tunda ke hadiah tu? Entah-entah nanti terus lupa,"

"Aku tunggu majlis kahwin kau nanti. Waktu tu, kira hadiah 2 dalam 1 la ye. Kahwin dan konvokesyen sekali," jawab Liza mengenakan Faiza.

Seketika Faiza teringat pada Faiz yang sudah lama menyepikan diri. Malah, waktu konvokesyen juga hanya ucapan tahniah SMS sahaja yang diterima. Hampir 4 bulan Faiz seperti dingin dengannya. Pesanan ringkas juga hany dibalas jika Faiza yang memulakan.

"Saya terfikir sesuatu tentang hubungan kita. Jarak kita yang jauh ini pasti menyukarkan kita pada masa hadapan lebih-lebih lagi setelah berkahwin," mesej yang diterima Faiza selepas 4 bulan menghabiskan pengajiannya.

"Em, kenapa baru sekarang mempersoalkan perkara ini? Kenapa dulu awak yakinkan saya yang perkara ini tidak akan timbul?" soal Faiza yang tidak puas hati atas alasan yang diberi oleh Faiz.

"Itu dahulu. Sekarang kita perlu tengok pada masa hadapan." jawab Faiz semula.

Perkara itu akhirnya selesai dengan tiada kata putus dari kedua belah pihak. Perkara itu akhirnya menjadi isu yang berulang kali dipersoalkan oleh Faiz sehingga Faiza menjadi kurang yakin pada hubungan dan kepercayaan yang diberi sepenuhnya kepasa Faiz. Baginya, bukan mudah dia menerima orang lain dalam hatinya, dan sekali dia menerima, dia akan terus setia. Namun, isu jarak yang diungkit mula menghakis rasa yakin pada Faiz.

"Ija, ija. Kau ni, orang bercakap, dia mengelamun pula." Tersedar Faiza daripada lamunan. Kasihan pula pada rakannya yang semangat bercerita padahal dia sendiri hanya memberi telinga tanpa mendengar.

"Maaf ye Lizaku sayang," pujuk Faiza setelah melihat Liza mendiamkan diri.

Hari itu, mereka menghabiskan masa bersama sambil bercerita kisah-kisah lama. Sudah hampir 4 tahun tidak berjumpa, akhirnya mereka dipertemukan untuk berkerja di bawah bumbung yang sama. Terasa kecil sungguh dunia dan pastinya itu adalah perancangan Allah.

Sambungan Episod 5

Thursday, January 26, 2012

Bila Cinta Bertamu Episod 3

anoy_ziedax: Assalamualaikum. Apa khabar? Harap sihat sahaja di samping keluarga tersayang.

teratai_ija : Waalaikumsalam. Saya sihat alhamdulillah. Awak pula apa khabar?

anoy_ziedax: Saya juga sihat alhamdulillah. Macam mana dengan cuti di kampung? Seronok tak? Keluarga semua sihat?

teratai_ija : Baru je sampai petang tadi, tak terasa lagi cuti di kampung ni. Keluarga semua sihat. Ziedax sekarang ada kat mana?

anoy_ziedax: Eh, saya terlupa awak baru je sampai. Sekarang ada di depan komputer sedang menaip...........(gurau je) Sekarang saya masih di Kuala Lumpur.

teratai_ija : oo..selamat menjalankan tugas ya. Em, saya kena pergi dulu. Maklumlah, dah lama tak balik. Nak habiskan malam ni dengan keluarga pula.

anoy_ziedax: Ow maaf mengganggu. Selamat menghabiskan masa cuti ya. Assalamualaikum.

teratai_ija : Terima kasih. Waalaikumsalam.

Halim sengaja membiarkan laman Yahoo Messenger terpapar sambil menyandarkan badannya ke kerusi. Sesekali matanya melirik pada nama 'teratai_ija' yang sudah hampir 3 bulan menjadi rakan bualnya di internet. Alamat emel yang disalin daripada keratan akhbar hari raya yang lepas membawa dia kepada insan yang selama ini bermain dalam fikirannya sejak bulan ramadan yang lalu. Sekarang, dia sudah pasti siapa insan yang bernama Faiza ini yang sebenarnya. Terukir senyuman di bibir Halim sebelum dia meninggalkan kerusinya.

"Mohd Saiful Halim bin Hafizi. Aku nak tanya sesuatu boleh tak?" tegur Kamal apabila melihat kelibat Halim keluar daripada bilik.

"Hah, tanya apa wahai Kamal bin Arifin? Sejak bila kau pandai mintak kebenaran untuk bertanya ni?" ejek Halim.

"Eh, kau ni. Aku yang nak tanya, kau bagi aku soalan buat apa? Ni, sejak kebelakangan ni, aku tengok kau bukan main lagi dengan lappy kau tu. Bangun tidur, balik kerja, terus bukak komputer. Kau tengok apa kat internet? Main saham ke?" tanya Kamal yang menyedari perubahan sikap rakan serumahnya itu.

"Yeke? Aku tak perasan pun. Takkan kau cemburu kot kat komputer aku bila tengok aku tak ada masa nak lepak dengan kau." Sengih Halim mendengar soalan daripada Kamal.

"Amboi kau ni Halim. Rasanya kau cakap ni macam bukan jawapan yang aku minta je. Kerja wartawan, tapi nak menjawab soalan pun tak tepat," geram Kamal bila jawapan Halim tidak seperti yang diharapkan.

"Haha.. Alamak marah ke kawan. Aku mana ada main saham. Kebelakangan ni, banyak berita yang aku dapat, jadi banyak perkara lah yang aku kena taip. Takkan nak menaip dengan periuk nasi kot kan?" jawab Halim.

"Yalah tu, memang tak boleh dipercayai. Entah-entah sibuk berchatting dengan awek. Dahlah, malaslah nak tanya kau ni." Halim hanya tersengih meninggalkan Kamal. Namun, hatinya membenarkan apa yang diperkatakan Kamal. Setiap hari dia tidak ketinggalan untuk menyemak peti masuk emel dan mengharapkan ada pesanan dari seorang insan yang ditunggu. Memang terasa sedikit perubahan yang dia alami.

Namun, Halim tidak pernah berhenti meminta petunjuk daripada Pemberi anugerah perasaan itu kepadanya...

sambungan Episod 4

Wednesday, January 25, 2012

Bila Hati Bertamu Episod 2

3 bulan kemudian...

"Tak lama lagi, ujian tiba. Sem ni, siapa yang dapat pointer tinggi mesti belanja orang yang dapat pointer rendah tau," cadang Faiz pada Faiza.

"Eh, tak adil macam tu. Kalau macam tu, tak nak lah belajar. Nanti terpaksa keluar duit pula nak belanja orang," ejek Faiza.

Perkenalannya dengan Faiz amat tidak dijangka. Selama ini hati Faiza menolak kehadiran mana-mana lelaki dalam hatinya. Ini semua kerana kisah lamanya yang terasa begitu membuang masa walaupun hanya 3 bulan menjalinkan hubungan dengan teman lamanya. Entah mengapa, jejaka yang berasal dari Pahang itu dapat diterima walaupun sudah menetapkan hati untuk tidak menerima orang lebih-lebih lagi yang berasal dari Semenanjung Malaysia. Mungkin atas kematangan yang ditunjukkan oleh jejaka yang lebih tua daripadanya itu membuatkan hati Faiza terasa untuk mencuba hubungan yang pastinya memberi banyak cabaran terutama sekali pada masa akan datang.

"Ma rasa, boleh ke Faiza teruskan hubungan dengan Faiz ma?" tanya Faiza sebelum menerima Faiz dalam hatinya.

"Ma tak kisah nak, asalkan anak ma bahagia. Ija pun dah besar, boleh tahu dan kawal keadaan kan? Ma taknak jadi macam Ija dengan Zamri dulu." Mak Tijah berpesan pada satu-satunya anak perempuan yang dimiliki. Bagi Faiza, segala kisah hidup yang dilalui pasti akan dikongsi bersama ibunya. Ibunya adalah sahabat paling rapat yang dia miliki. Atas kebenaran dan pesanan ibunya itu, Faiza berani untuk membuka hatinya buat Faiz.

Kehidupan sebagai pelajar berlalu dengan begitu pantas. Minggu peperiksaan terakhir bagi Faiza juga sudah berlalu. Tinggal seminggu sahaja lagi Faiza akan balik ke kampung halaman menikmati cuti sem yang bakal tiba.

"Kak, semalam saya jumpa gambar akak dalam surat khabar. Tapi surat khabar tu masa hari raya dulu. Akak ada bagi ucapan raya kan? Tengah belek-belek terkejut tengok muka akak." tegur Suraya yang kebetulan berjumpa dengan Faiza.

"Ade ke Su? Akak dari dulu lagi tunggu bila keluar part akak tu. Masa hari raya tu, akak beli tiap hari tapi tak ada. Ingatkan ucapan akak tu tak diterima media. Haha.. Akak nak tengoklah nanti. Nanti bagi ye," semangat Faiza memberi respon kepada Suraya.

Malam itu juga Suraya menghantar keratan akhbar itu kepada Faiza. Dengan penuh teruja, Faiza membawanya pula ke bilik Filzah. Meriah bilik A32 itu dengan hilai tawa Faiza dan Filzah membaca ucapan yang mereka tuturkan sendiri dahulu.

sambungan Episod 3

Bila Hati Bertamu Episod 1

"Assalamualaikum. Boleh bercakap dengan Nurfaiza Sulaiman?" kedengaran suara wanita di hujung talian.

"Ya, saya bercakap."

"Saya kak Fatin dari bahagian Hal Ehwal Pelajar. Nurfaiza pelajar dari Sarawak kan? Esok ada wartawan daripada Berita Harian akan datang untuk menemubual beberapa orang pelajar yang tidak balik sempena Aildilfitri yang akan datang. Saya dapat tahu cik Nurfaiza adalah salah seorang yang tidak balik. Boleh cik datang ke pejabat HEP untuk temubual itu esok hari?" terang wanita tersebut penuh teliti.

'Wah, temubual? Masuk surat khabar ke? Seronoknya..!!!' Tiba-tiba hati Faiza kegirangan.

"Em, boleh juga kak. Pukul berapa ya saya perlu datang?" balasnya penuh senyuman. Hari itu, dia mengajak Filzah untuk menemaninya keesokan harinya.

Keesokan harinya,

"Halim, kau dah bawak ke semua peralatan yang diperlukan? Notebook, kamera, pen semua dah disimpan kan?" tegas Kak Lin mengingatkan Halim untuk temubual hari itu.

"Sudah kak. saya dah simpan dah, dari semalam lagi saya dah buat checklist. Tengok ni, semua dah siap dipangkah," balas Halim sambil menunjukkan buku nota yang dipegang.

Tibanya di pejabat HEP, Halim dan Kak Lin bersalaman dengan pekerja yang menguruskan temubual pada pagi itu dan dibawa ke bilik yang telah ditetapkan. Di dalam bilik, kelihatan 3 orang pelajar yang setia menunggu termasuklah Faiza dan Filzah.

"Baik, untuk hari ini, mula-mula saya akan menemubual Aisyah untuk segmen khas mahasiswa. Selepas tu, baru saya akan temubual Faiza dan Filzah ye," terang Kak Lin mengenai perjalanan tugas mereka.

Selesai sahaja temubual bersama Aisyah, Kak Lin mendapatkan Faiza dan Filzah untuk temubual kedua. Halim pula sibuk menangkap gambar Aisyah. Sesekali matanya melirik ke wajah Faiza yang sedang ditemubual oleh Kak Lin.

'Macam pernah tengok pula budak ni,' getus hati Halim sebentar. Selesai menangkap gambar Aisyah, tiba giliran Halim untuk mengambil gambar Faiza dan Filzah yang selesai ditemubual. Dengan penuh semangat, Faiza dan Filzah masing-masing melemparkan senyuman manis mereka. Halim mangambil gambar Filzah dan seterusnya Faiza. Tanpa disedari, tangannya lebih banyak menekan butang kamera semasa wajah Faiza tersenyum di sebalik lensa kameranya.

Sepanjang perjalanan pulang, otak Halim ligat mengecam wajah yang seperti pernah dia lihat. Sesekali dia mengerling wajah Kak Lin yang sibuk membaca mesej di sebelah. Hati terasa ingin bertanya, tapi malu nanti disoal semula oleh Kak Lin. Ah, malulah. Baik diam. Halim mematikan tindakannya.

"Em Kak Lin, dua orang budak perempuan tadi dari mana ye kak?" Akhirnya keluar juga niat di hati setelah penat berperang dengan perasaan malu.

"Seorang dari Sarawak, seorang pula dari Sabah," jelas Kak Lin lantas meletakkan buku nota dan alat tulis di atas meja sebelum berlalu pergi untuk ke bilik air.

"Kak Lin, nak baca nota Kak Lin tadi boleh?" Tidak tahu mengapa hati Halim kuat untuk mengetahui perihal wanita yang dijumpai tadi.

"Bacalah........," sahut Kak Lin. ".......tu pun kalau faham tulisan akak."

Berkerut dahi Halim membaca tulisan Kak Lin yang sudah lebih 3 tahun menceburi bidang kewartawanan. Namun apa yang pasti, dia dapat tahu nama dua orang pelajar yang dijumpai tadi, tapi kurang pasti nama wanita yang menarik perhatiannya sejak tadi. Ah, biarlah. Tengok nanti je lah. Buku nota lantas diletak semula ke atas meja.


sambungan Episod 2

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram