Friday, February 10, 2012

Bila Cinta Bertamu Episod 8

"Abang ada sesuatu nak bincang dengan adik," terang Hasyim memulakan bicara bersama adik kesayangannya.

"Adik sekarang dah masuk 28 tahun. Abang rasa tiba masanya untuk adik menjalani hidup berumah tangga. Lagi pula, abang tak nampak halangan yang menghalang adik untuk bersuami dan membina keluarga," lembut Hasyim menuturkan kata.

Terkejut pula rasanya apabila abangnya mengutarakan perkara itu. Namun Faiza sedar apa yang diperkatakan oleh abangnya itu ada kebenarannya.

"Abang, kan adik dah serahkan urusan ini kepada abang. Adik akan ikut sahaja kata abang," jelas Faiza. Padanya Hasyim adalah insan yang amat mengenalinya selain daripada ibunya sendiri. Dia yakin pada pilihan Hasyim dan ibunya.

"Sebenarnya, ada seorang kawan abang yang pernah bertanyakan tentang adik. Tapi waktu itu, abang rasa adik masih belum stabil lagi untuk memikirkan perkara ini. Ternyata kawan abang ni sanggup tunggu apabila adik sudah bersedia. Abang pun tak tahu kenapa."

Faiza terkesima seketika mendengar pengakuan abangnya itu. Rupanya ada perkara yang abang rahsiakan daripadaku. Tapi, siapakah gerangan kawan abang itu? Ingin bertanya namun tiba-tiba terasa kaku.

"Nama kawan abang tu Mohd Fariz bin Hazman. Sama sekolah dengan abang masa menengah dahulu. Dia baik orangnya. Abang lupa pula dia bekerja sebagai apa sebab sudah hampir dua tahun abang tak dengar berita daripada dia," terang Hisyam seolah-olah mengetahui apa yang tersirat di minda adiknya.

Diam seketika dan kemudian Faiza bersuara, "Abang, adik kan dah serahkan semuanya kepada abang. Jadi, siapa yang terbaik untuk Ija pada pandangan abang, adik terima. Adik tahu abang akan pilih yang terbaik untuk adik," jawab Faiza dengan tenang. Dia memang sudah lama memikirkan perkara ini dan dia tahu ini adalah keputusan yang terbaik.

"Maksudnya adik setuju?" Tanya Hisyam seolah tidak percaya.

"Abang pasti dia yang terbaik untuk adik?" tanya Faiza semula.

"InsyaAllah abang pasti. Abang dah kenal sangat dengan dia dan keluarganya. Kalau adik nak tengok gambar dia, adik boleh tengok kat laman facebook abang. Nanti abang tunjukkan. Sekurang-kurangnya adik kena tengok gambar dia," teruja pula rasanya apabila adiknya menerima. Sekarang, dia perlu menghubungi rakannya itu untuk mengkhabarkan perkhabaran itu. Harapnya, dia masih belum terlambat. Bagi Hisyam, rakannya itu merupakan seorang yang sangat dihormati di kalangan sahabatnya kerana dia memiliki sifat kepimpinan dan apa yang lebih penting adalah sikap Fariz yang mengutamakan ajaran Islam dalam kehidupan hariannya.

Malam itu, Faiza duduk seorang diri memikirkan semula perbualan bersama abangnya. Seketika, timbul pula wajah Faiz yang pernah membina niat untuk berumah tangga bersamanya. Namun dia segera membuang semula ingatan itu kerana baginya, Allah adalah perancang yang terbaik. Allah pasti kurniakan orang yang terbaik dalam hidupnya. Semoga Fariz adalah insan terbaik yang Allah tetapkan untuknya. Hati faiza yakin pada pilihan abangnya dan semuanya dia serahkan pada yang Esa.

sambungan Episod 9

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram