Tuesday, December 24, 2013

KEK COKLAT KUKUS LAPIS CREAM CHEESE

 
 
Apa khabar semua? Sekali lagi, mood nak buat kek datang lagi. Kali ini tak sampai sehari pun, rasa nak buat kek meluak-luak pula..
 
Okey, semalam buat muffin, hari esoknya pula, rajin nak buat kek coklat kukus lapis cream cheese.
 

 
 
Resepinya saya tuntut dari blog Tiffin Biru. 
Alhamdulillah boleh bawa untuk rakan-rakan pejabat sekali keesokannya. Resepinya seperti di bawah ni.. Tapi hari itu ada kesilapan sedikit waktu nak buat adunan cheese. Sepatutnya letak satu camca air, saya pula tersalah letak satu cawan. Siap minta tolong suami lagi untuk tuangkan air ke dalam cawan. Sekali tuang, terus cair cream cheese tu. Akhirnya penyelesaiannya, terpaksa tambah 1 cawan tepung gandum untuk tak bagi cair. Jadi alhamdulillah, tetap jadi. Cuma cheese tak berasa sangat..^_^
 

BAHAN-BAHAN KEK COKLAT :-)
2 biji telur gred A
1 cawan gula halus
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam
1/2 cawan air panas
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan minyak jagung
1 cawan tepung gandum*
3 camca besar serbuk koko*
1 camca teh soda bicarbonate*
1/2 camca teh baking powder*(*disatukan dan di ayak)

BAHAN-BAHAN LAPIS CHEESE :-)
250 gram krim cheese
60 gram gula halus
1 biji telur gred A
1 camca besar tepung gandum
1 camca besar air (ini yang tersalah, siap letak 1 cawan air. Jadi tepung pun ditambah lagi satu cawan. tapi hasilnya tetap sama, malah nampak cheese tu lebih banyak cuma rasa cheese agak kurang)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kukusan. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyal. lenser juga kertas tadi. Ketepikan..
  2. UNTUK KEK COKLAT :- Putar telur dan gula hingga kembang dan pekat, masukkan esen vanilla dan garam, putar rata. Tambah susu cair, minyak jagung dan air panas, putar sebati dengan kelajuan sederhana. Masukkan bahan2 yang diayak sedikit demi sedikit hingga habis, putra rata dan matikan mixer. Bagi kepada 2 bahagian sama banyak. Ketepikan.
  3. UNTUK LAPISAN KEJU :- Putar krim cheese dan gula hingga sebati dan licin. Masukkan telur dan putar hingga kembang. Tambah tepung dan air, putar hingga semua sebati dan tidak berbintil2.
  4. UNTUK KEK COKLAT KUKUS LAPIS CHEESE :- Tuang satu bahagian kek coklat. Ratakan dan tutup permukaan tin dengan aluminium foil. Kukus selama 20 minit, guna api sederhana. Kemudian tuang pula adunan krim cheese, ratakan dan sambung kukus 20 minit lagi. Tuang baki bahagian kek coklat ratakan dan sambung kukus selama 45 minit atau hingga masak (bila anda cucuk dengan lidi sate atau cake tester di bahagian tengah kek dan keluarnya bersih, tanda kek dah masak).
  5. Sejukkan kek sekejap, kemudian boleh keluarkan dari tin. Biar kek sejuk sepenuhnya atas jaringan dan boleh dipotong untuk dihidangkan.....
Credit to Tiffin Biru

Muffin Vanilla dan Coklat Cip

 
 
Kaif halukum semuanya? 
Alkisahnya rancang nak buat kek coklat kukus, tapi tiba-tiba pula nak makan muffin. Terbayang-bayang muffin Kenny Rodger dalam kepala. Jadi, keesokannya ajak suami pergi beli bahan-bahan kek dan muffin sekali. Tamak kan? Haha..
 
 Okey, resepi muffin ni saya ambik dari resepi dalam blog Nina Mirza, tapi saya gantikan kismis tu dengan coklat cip. Nina juga ada sharekan tips yang memang saya take granted masa tengah buat muffin ni. Jadi, ini adalah tipsnya..
Vanilla Muffin tanpa coklat cip
  • Nak buat muffin nie kena pastikan oven betul-betul panas baru lah masukkan adunan dalam oven.
    Panaskan lebih kurang 20 minit gitu..
  • Selain dari itu, perkakas untuk bahan kering kena pastikan betul-betul kering.
  • Bahan kering (bahanB) kena digaul rata keseluruhannya sebelum buat lubang ditengah.
  • Sementara bahan cecair (BahanA) pula, kena pastikan ianya betul-betul dipukul rata dan sebati kesemuanya baru lah dituang kat tengah lubang bahan kering (BahanB) tadi.
  • Hah! Sebelum tuu..... yang paling penting sekali :::: Telur tuu dibuang tali pusatnya! Supaya nanti muffin kita tak hanyir. (yang ini saya tak buat..hehe tak reti mana nak carik tali pusat)
  • Sebaiknya jangan masukkan terlalu banyak muffin yang nak dibakar dalam oven. Ikut kebesarannya oven anda. Jangankan nak cepat dok sumbat semuanya dalam oven.

  • NO NO NO ehh ..... kesabaran tuu perlu. Kalau tak percaya, try masukkan 9-12 biji muffin sekali gus dalam oven then bakar dan kemudian next round masukkan pula 5-6 ajer biji muffin. Tengokkan hasil ketinggian dan kegebuan nyer nanti.  (bergantung besarnya oven anda - janganlah oven besar dok masuk 5-6 biji ajerr ehhh...) Ini kerana kuantiti muffin yang berada dalam oven bersaling kait dengan kepanasan suhunya.
  • Kalau nak muffin naik tinggi membukit dan cantik, haruslah buh 3/4 adunan dalam cup.
  • Masa pembakaran muffin nie, Nina guna api atas bawah. Oven Nina sememangnya tiada kipas so untuk sesapa yang ovennya ada kipas tuu sila lah tutup kipas tersebut. (setahu Nina, kipas amat sesuai untuk biskut) Maaf lah kalau salah ehh ..... hehee
  • Adunan muffin sepatutnya tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair. Kalau adunan terlalu cair, haruslah dimasukkan 1/2 adunan sahaja dalam cup. Jika dituangkan 3/4 adunan dalam cup, nanti akan melimpah dan kejadian muffin tersebut tu nanti tak naik membukit.
Jadi, sesiapa yang nak mencuba, bolehlah cuba resepi Nina Mirza ni, cuma gantikan kismis dengan coklat cip sahaja..
1: Lubang di tengah-tengah sebelum Bahan B dimasukkan
2: Tekan coklat cip ke dalam dengan penyungkil gigi


Thursday, December 12, 2013

Motivasi Buat Mereka Yang Belum Dikurniakan Anak

 
Kebanyakan pasangan yang sudah berkahwin menginginkan rezeki anak sebagai penyeri rumahtangga mereka. Ada pasangan yang kahwin terus bunting pelamin. Ada yang sudah bertahun-tahun kahwin masih belum diberi rezeki. Rezeki itu semua rahsia Allah. Rezeki jodoh, kahwin, harta, anak semuanya adalah rahsia yang Allah simpan untuk hambaNya. Juga sebagai ujian untuk menguji sejauh mana kebergantungan hamba kepada TuhanNya. Bagi saya, semua ini adalah ujian untuk memberi kesedaran bahawa kita masih bergantung pada pencipta kita sendiri.
 
Membaca pelbagai jenis post tentang kegembiraan rakan-rakan dan saudara mengenai rezeki yang mereka perolehi memang akan menyentuh jiwa dan mata. Sama seperti saya. Tetapi apabila difikirkan, sebenarnya tersentuhnya hati dan mata itu membawa kita lebih dekat lagi pada Ilahi. Kadang-kadang saya terfikir, mereka yang belum dikurniakan rezeki itu adalah lebih baik kerana selama itu mereka akan meminta, meratap serta merayu pada Pemberi rezeki dan Allah suka pada mereka yang sentiasa meminta kepadaNya. Beruntungkan kita? Jadi sekarang senyum sentiasa..(doktor sendiri dah cakap kan, usia perkahwinan masih setahun, terlalu muda dan potensi untuk mengandung dalam tempoh ini hanya 20 peratus)..siap senyum lagi doktor tu..
 
 Jadi, saya doakan semoga kita semua yang masih mengharap kehadiran cahayamata akan terus bersabar dan berusaha hingga Allah tetapkan masanya yang sesuai. Amin..
 
 
*****************************
Bismillah...untuk mereka yang telah berkahwin tetapi masih belum dikurniakan zuriat~

1) Alhamdulillah...saya ingin katakan...bersangka baiklah pada Allah..bersangka baiklah pada Allah...bersangka baiklah pada Allah...

2) Allah Maha Baik....

3) Buatlah sujud syukur(google cara buat sujud syukur) & syukurlah kerana masih belum diberikan anak. Nabi pesan formula untuk ditambahkan nikmat adalah "Bilamana kamu diberikan nikmat yang sedikit, kamu bersyukur, maka Allah akan tambahkan nikmat itu"

4) Mengapa Dia masih belum beri anak? Jangan membuat jawapan-jawapan sendiri. Tapi jawapannya hanya satu-KERANA DIA MAHA BAIK!

5) Jangan fokus kenapa masih tak diberikan anak, tetapi fokuslah untuk hidup dalam sentiasa memuji Allah tanpa henti 24jam/7 hari/siang malam

6) Buang semua perasaan sedih (Part ni kadang-kadang kandas ^_^')

7) Berlapang dada & senyum selalu. Jadilah insan paling bahagia tanpa anak..Kerana itu kehendak Allah yang menciptakan kita~Siapa kita untuk melawan kehendak Allah?

9) Atas segala usaha & doa, DIA masih memilih kita untuk tidak dikurniakan anak. Sungguh DIA MAHA TAHU apa yang terbaik buat kita pada saat & ketika ini

10) Usah kita bimbang dan risau hidup tanpa zuriat, atau putus keturunan

11) Usah merungut mengapa sampai sekarang belum dapat anak kerana itu bermakna kita komplen Allah

12) Teruskan usaha bersungguh-sungguh & jangan jemu selagi kita mampu & mahu

13) Tiap kali 'bersama', 'bersama' dengan penuh rasa ghairah & cinta, bersungguh-sungguh dari hati untuk cari redho Allah & doa & yakin Allah akan beri zuriat dari 'hubungan' ini.TIAP-TIAP KALI BUKAN PADA WAKTU SUBUR SAHAJA. Sungguh kita tidak tahu, bila Allah mengatakan 'kun faya kun..'

14) Usah 'bersama' dalam keadaan tidak ada semangat atau bersama dalam keadaan putus asa dan anggap kita takkan dapat anak pun sebab dah banyak kali cuba..Allah bertindak mengikut sangkaan hambanya..begitu kita sangka, begitulah hasilnya. Teruskan mencipta sangkaan-sangkaan yang baik

15) Untuk seorang isteri, berbahagialah kerana isteri-isteri Nabi juga tidak memberikan Rasulullah anak kecuali Saidatina Khadijah & Mariah.

16) Jangan salah menyalahkan pasangan. Jika kita mahu hidup dengannya, teruskan dengan redho, hormati & sayangi dia. Jika tidak mahu lagi bersama, kita berbincang & cari jalan yang disepakati.

17) Banyakkan istighfar dan melakukan solat taubat kerana dengan taubat, Allah ampunkan dosa kita , angkat darjat kita dan luaskan rezeki kita

18) Banyakkan sedekah kerana dengan sedekah menyucikan jasad dan hati dan membuka luas ruang-ruang rezeki yang tidak disangka-disangka

19) Puji Allah sentiasa & syukur banyak-banyak kerana tidak diberikan anak pada waktu ini. Syukur bererti kita menerima dengan lapang dada, kita senyum dan rasa bahagia kerana kita tahu Allah memperlakukan kita dengan sangat baik

20) Suami & isteri kena satu fikir. Tiap kali bangun pagi, sama-sama ucapkan, "kita akan dapat anak kandung tahun depan 2014" .Ucap tiap-tiap hari dengan tarik nafas, senyum dan yakin

21) Tuliskan di atas kertas besar dan lekat pada dinding atau mana-mana kawasan yang senang untuk kita lihat -tulis "kami akan dapat anak kandung pada tahun 2014". "saya akan hamil pada 2014" atau apa sahaja ayat pendek yang TIAP-TIAP HARI mata kita boleh melihat, mulut kita boleh menyebut, telinga kita boleh mendengar, masuk dalam otak kita, sampai pada hati kita dan semua kenyataan-kenyataan itu akan diproses dalam sistem badan kita

22) Konsisten makan makananan sunnah, madu, kurma, susu, kismis, buah tin,minyak zaitun, dan tiap kali makan, niatkan "kami(suami isteri) makan ikut apa yang nabi makan, tolonglah ya allah berkati makanan ini dan hasilkanlah darinya pada tubuh kami zuriat yang soleh dan solehah"

23) Jumpa doktor dan ikut nasihat doktor sungguh-sungguh bukan separuh jalan atau ala kadar

24) Jangan kedekut keluarkan duit untuk perbelanjaan rawatan

25) Mohon mak ayah dan adik-beradik konsisten buatkan solat hajat untuk kita. Seluruh ahli keluarga kena sepakat & rajin

26) Suami isteri buat solat taubat & solat hajat tiap-tiap hari jangan tinggal termasuk membaca yassin

27) Suami Isteri baca tiap hari surah Ibrahim ayat 40, surah furqan ayat 74 dan surah al-anbiyak 89 (rujuk tafsirnya sekali)

28) Tinggalkan semua kemaksiatan dan siap sedia sentiasa kerana bila-bila masa kita akan jadi ibu & ayah! :))

SELAMAT MENJADI IBU & AYAH BILA TIBA MASANYA~ SENYUM SELALU HIDUP INI INDAH!!!

****Orang sekeliling sibuk bertanya, dan telinga kita panas dan hati tersinggung. Untuk semua yang bernama masyarakat, pernah atau tidak kita mendoakan golongan ini untuk Allah kurniakan mereka zuriat atau kita hanya tahu mendesak dengan soalan. Sungguh kita melukakan hati mereka, Allah lebih-lebih lagi akan melukakan hati kita~

TAMBAHAN: Pernah seorang makcik ni, ketika anak sulungnya hampir berkahwin beberapa tahun yang lalu, dia mengadu, 'makcik tak sedia lagi nak timang cucu, makcik tak sedia lagi nak jadi tok, makcik muda lagi"- selepas anak sulungnya kahwin bertahun-tahun, tidak dapat anak walaupun adik-adiknya kahwin dan semua dikurniakan ank...ibu-ibu dan ayah2 tolong check perkataan jgn smpai jadi satu doa tanpa sedar & anak-anak tolong jumpa mak ayah risik-risik bertanya kalau-kalau pernah menyebut perkataan seumpama ini. Jika mungkin mak ayah kita dah terlupa atau menafikan, maka minta sahaja mereka sebut, " ya allah aku redho ankku ini diberikan zuriat dan aku mahu menjadi nenek/tok/opah kepada anak yg dikandungnya nanti...tolong ya Allah..."

-Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria-

*********************

Tuesday, December 10, 2013

Khat Kufi - Cubaan Kedua

 
 
Cubaan kedua dan nama sendiri..
 
 

Saturday, December 7, 2013

Honeymoon - Sematan Palm Beach Resort

 
 
Hello semua..
 
1 Disember, tarikh keramat buat diri saya selama 26 tahun dilahirkan. Kenapa, cuba teka? Yup, tarikh lahirnya seorang bayi 'comel' di dunia dan diberi nama Siti Hajar binti Ramli serta tarikh bermulanya perjalanan Siti Hajar ini sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, sudah setahun mengharungi kehidupan bersuami. Nikmatnya, hanya ister-isteri sahaja yang tahu.. yang masih belum menjadi isteri rasanya, belum dapat merasa lagi kot.. (ada ke yang dah tahu?? ooo hebat-hebat!!) ^_^
Sebenarnya, baru sahaja habis bercuti sempena menyambut ulang tahun kelahiran dan perkahwinan. Ingat lagi beberapa bulan sebelumnya, kami suami isteri merancang untuk bercuti di Terengganu, tetapi disebabkan nak menanam sikap berjimat atas alasan tertentu, kami pun menukar rancangan untuk bercuti sekitar Bumi Kenyalang ini sahaja. Tetapi, seperti biasa, hampir semua tempat peranginan sudah penuh sempena cuti sekolah. Sudah mula berputus asa pada mulanya, tapi tetap tidak mengalah sehingga akhirnya terjumpa satu tempat yang masih available, dan paling menarik, harga pun boleh tahan.
 
Tapi ape pun, terima kasih banyak-banyak pada encik suami atas percutian honeymoon kedua ini. Buat seketika waktu tengah merenung ombak kemudian lihat wajah suami, saya dongak semula ke langit. Allah masih tangguhkan masa kami untuk memiliki anak, namun secara rahsia Allah sebenarnya beri peluang buat kami menghabiskan masa berdua yang tidak pernah kami perolehi sebelum kahwin dahulu. Subhanallah...sob..sob.. (sedih kejap..)
 
Okey, balik pada kisah tadi, perjalanan ke tempat ini mengambil masa 2 jam daripada bandar Kuching. Sematan adalah sebuah pekan kecil yang pada saya agak sunyi kerana penduduknya yang sedikit dan jauh daripada bandar. Namun kedudukannya yang berada di pinggir pantai menjadikannya salah satu tempat peranginan yang menarik. Saya dan suami menginap di Quadruolex Chalet  di Sematan Palm Beach Resort dengan harga RM168 semalam disertai dengan sarapan dan makan malam. Penginapan di sini ala-ala chalet dan bilik. 
 
 
Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini, tapi disebabkan cuaca yang kerap hujan dan ombak juga agak kuat, kami tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti pantai. Jadi, pagi-pagi selepas sarapan, kami menyewa basikal dan bersiar-siar menyusuri kampung dan pekan. Honestly, memang seronok especially bab lumba basikal dengan suami. Pulangnya, dua-dua lenguh punggung naik basikal yang keras sit nya. Esoknya, sebelum membuat keputusan untuk berbasikal lagi, mandi-mandi dahulu di kolam renang. (walaupun tak reti berenang) Kolam renang di sini jenis infinity pool menghadap ke pantai. Seronok!! Cemburu pula tengok suami 'menari-nari' dalam kolam renang..huhu..nak belajar takut pulak..

Putih dan hitam adalah basikal hari kedua manakala hijau dan pink pula hari ketiga. Gambar diambil di tempat sama, kamu semua perasan tak apa yang hilang dalam gambar kedua?? hihi..

Hari Selasa, pukul 12.30, check out dan cuti lagi sehari untuk rehat-rehat. Pulang rumah je, terus kena flu sebab mandi kolam renang pagi-pagi. Hahaha..padan muka.. 


Inilah kolam renang dia. Infinity pool menghadap ke pantai. 


Dan last but not least, gambar sang suami dan isteri..


Jadi, sesiapa yang berhajat nak mencari tempat me'refresh'kan diri, boleh cuba-cuba intai di SINI
Itu sahaja percutian kali ini!!
Eh, tapi sebelum tu, saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat adik ipar yang baru melansungkan perkahwinan pada 24 November yang lepas. Didoakan semoga bahagia dunia dan akhirat..amin.. Orang lain yang kahwin, yang lain pula yang honeymoon kan? Hahaha.. Sebab kami pun pengantin baru..baru setahun..=D
Okey bye semua...wassalam..
 
 

Wednesday, November 27, 2013

Daftar Penderma Organ

 
 
Selamat sejahtera semua...
 
Seperti biasa, sekarang tengah sibuk dengan kerja di akhir-akhir tahun. Orang yang paling gembira akhir tahun ini kebiasaannya guru-guru sekolah dan pelajar sekolah sebab dapat cuti-cuti Malaysia. Kan? Tapi bagi saya, akhir tahun ini adalah saat-saat yang dulu-dulu ditunggu-tunggu dan sekarang juga makin ditunggu-tunggu. Tahu kenapa? Sebab dulu ibu ayah yang menunggu-nunggu, sekarang diri sendiri pula. Mana tahu ada hadiah daripada insan-insan terbaik untuk hari jadi yang akan mendatang. Apa yang lagi best, tarikh keramat itu juga adalah tarikh ulangtahun perkahwinan saya dan suami yang sudah mula mencapai usia setahun. Alhamdulillah...
 
okey, balik kepada apa yang nak dikongsi, saya ingin ceritakan tentang satu penyertaan yang bersifat sedekah diri. Sedekah diri bukan dari segi negatif tau, tak baik, tapi sedekah diri dalam bentuk organ tubuh badan terutama sekali lepas meninggal dunia nanti. Kali pertama membaca laman web mengenai transplan organ ni, terfikir dek akal, segala yang saya miliki ini, cuma pinjaman dari yang Esa. Kaki, tangan, kepala, jantung bukan milik kita yang sebenar kan? Lantas saya terfikir, bagaimana nak jadikan pinjaman yang dianugerahkan ini sebagai manfaat buat orang lain. Betul tak?

 Kemudian terdetik pula di hati tentang hukum menderma organ ni semua. Saya mula meng'google' tentang apa yang bergolak dan menjumpai satu penerangan mengenai isu ini di dalam SINI. Selepas mendapat penjelasan borang pun diisi. Dan tidak kurang sebulan, saya mendapat kad ikrar sebagai penderma organ.
 

 
Saya sudah berikrar...
Bagi sesiapa yang ingin turut sama menyertai saya, bolehlah lawat SINI. Mudah-mudahan niat kita diterima oleh Allah..Amin..

Itu sahaja..
Jumpa lagi!!
 

Friday, October 11, 2013

MENANTIMU SAYANG...

 
Menantimu sayang..
Bagai menanti jantung ini dipenuhi
Bulan berlalu bulan
Waktu itu sering diangankanku
Kehadiranmu ku tunggu
Usahaku meninggi saban waktu
 
Menanti dirimu sayang..
Kadang bulanku disisip duka
Saat engkau belum muncul tiba
Apa kurangnya masih ditanya
Namun segalanya masih dapat diduga
Mungkin iya mungkin tidak
penuh terasa
 Di mana, Mengapa, lantas Bagaimana?
 
Menanti dirimu sayang...
Akan ditunggu hingga nanti
Tiap kali dukaku menghampiri
Tiap kali air mata menyinggahi
Hati tetap meneruskan hari
Harapan juga turut mengiringi

 Apa jua yang dikata
Apa jua yang berkata
Pencipta juga yang berkuasa
Hati dimohon menahan jiwa
Jiwa dimohon meyakini segala
InsyaAllah,
Bekalan dunia pasti tiba
Semua di bawah lembayung ketentuanNya ..
 

Friday, October 4, 2013

Membangkitkan Kembali Semangat Kerja Yang Merudum

 
 
Assalamualaikum semua.. subhanallah masa sekarang cepat rasanya berlalu kan? Sudah masuk bulan Oktober dan semakin mengakhiri tahunnya. Setakat ini sudah setahun lebih saya sudah menapakkan diri dalam dunia pekerjaan. Jujurnya sekarang saya tengah merasa sedikit tekanan terhadap pekerjaan yang dijalani bersama dengan aktiviti luar yang perlu saya hadapi. Menjadi seorang yang bekerjaya memang memerlukan mindset yang kuat. Ya, saya tahu. Tetapi kenapa kadang-kadang saya tidak dapat mengawal segalanya sendiri. Allah..

Kadang-kadang saya terfikir untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumahtangga, tapi saya batalkan semula niat tersebut kerana saya tahu apa tujuan saya bekerja. Sekali lagi, melayan perasaan di tempat kerja memang perkara yang kurang baik yang saya tidak dapat hentikan sekarang. Dan akhirnya, saya mula meminta kekuatan daripada sumber utama kekuatan manusia, Allahu rabbi… Allah, tuhanku….. Seketika menenangkan diri, saya terjumpa sebuah diari perancangan eksekutif di atas meja bapa mertua. Lantas buku itu saya buka dan subhanallah, Allah tumpukan mata saya pada satu tajuk koleksi artikel di dalam diari tersebut. “Bangkitkan Kembali Semangat Kerja Yang Merudum”. Seketika saya merasakan terharu atas apa yang Allah cuba untuk membantu saya. Ingin saya kongsikan bersama dengan pembaca yang lain bagaiman meningkatkan semula semangat kerja seperti yang saya alami sekarang. 

1.       Proaktif

Berusaha untuk menjadi seorang pekerja yang proaktif dan berinisiatif. Tanpa perlu menunggu arahan daripada majikan, anda telah menyediakannya terlebih dahulu. Ini secara lansung berupaya mempamerkan komitmen anda pada pekerjaan di samping persepsi positif kepada majikan.

2.       Kompromi Dengan Pihak Atasan

Berkompromi dengan pihak atasan bukan perkara mudah lebih-lebih lagi berhubung perkara yang melibatkan kesepakatan. Ini kerana usaha mendapatkan kesepakatan daripada majikan yang mempunyai pendirian berbeza tentang sesuatu perkara pastinya membuatkan tugas semakin sulit. Meskipun, namun mudah berputus asa dan cuba atasinya dengan bijak.

3.       Membina Hubungan

Pastikan anda sentiasa membina hubungan yang baik dengan pihak atasan, teman sekerja dan rakan perniagaan. Melalui ini, sesuatu perkerjaan bukan hanya menjadi mudah, tetapi secara tidak lansung masa depan kerjaya yang cerah.

4.       Tetapkan tujuan

Dalam setiap perkara yang ingin dilakukan, pastikan anda mempunyai matlamat atau tujuan. Adanya tujuan tersebut, gambaran tentang langkah kerjaya pasti dapat membantu sekali gus memotivasikan diri untuk mencapai matlamat tersebut.

5.       Terus Belajar

Jangan pernah berhenti untuk terus belajar. Ubah persepsi diri dengan manjadikan tugas dan pekerjaan itu sebagai medium pembelajaran. Keadaan ini secara tidak lansung dapat meningkatkan perspektif anda agar lebih meluas dan ilmu yang diperoleh pula akan terus bertambah.

6.       Sabar

Sikap mulia ini adalah perkara yang sangat penting. Tanpa sikap positif ini segala-galanya menjadi terlalu sukar. Apa yang pasti kejayaan tidak datang bergolek dan berlaku dalam satu hari. Penting bagi kita untuk berusaha dengan sabar.


Semua ini memang satu cabaran buat diri. Untuk wanita, ibu-ibu yang bekerja, kuatkan semangat ya. Moga dapat berbakti kepada nusa dan bangsa tapi jangan lupa pada kewajipan yang utama juga. (Nasihat pada diri sendiri kot...^_^)

Yang penting, jangan lupa senyum...

p/s Terima kasih encik suami kerana menjadi telinga di kala menghadapi saat-saat sukar. Saya sayang kamu.........

Monday, September 9, 2013

Isu Di Sebalik Pembelian Kereta

 
 
Sejak dari kecil lagi selalu ambil selimut kemudian letak atas kerusi, buat macam khemah. Kemudian duduk pula di bawah tu sambil berangan pandu kereta. Membeli sebuah kereta adalah angan-angan yang akhirnya sudah tercapai sekarang. Alhamdulillah kereta kecil yang bernama 'Vivy' sudah berusia setahun lebih..^_^ Kecil-kecil cili api, walaupun harga tak mahal, yang penting boleh menyelit di sebalik ruang-ruang jalan dan yang paling penting, hutang pun insyaAllah sedikit, kan?
 
Baiklah, bukan ini sebenarnya yang saya ingin kongsikan. Apa yang ingin saya kongsikan adalah salah satu panduan sebelum memilih atau membeli kenderaan yang kadang-kadang tidak kita sedari di sebaliknya termasuk saya sendiri. Saya pernah membaca tentang isu hukum melanggan insurans konvensional yang telah difatwakan sebagai haram di sisi syarak atas sebab adanya riba. Suatu hari, saya kongsikan ilmu ini kepada suami dan selesai berkongsi, suami pun tanya, 
"Eh, kereta kan guna insurans juga? Tak haram ke?
Untuk seketika itu, saya pun tersedar..betul juga. Saya terus melihat sekeliling Vivy yang waktu itu hampir setahun saya beli. Tapi jujurnya, saya tidak ingat samada saya menggunakan insurans konvensional ataupun takaful semasa membeli kereta tahun lepas. Maka, saya mula meng'google' bagi mencuba untuk mencari jawapan. Salah satunya adalah tulisan ustaz Zaharuddin dalam blog beliau, Zaharuddin.net. Tajuk yang diletakkan adalah, 
 

Beli Kereta Cara Islam Tapi Insuran Terpaksa Haram?

Soalan 
Ustaz, saya nak membeli kereta. Saya membuat pnjaman kereta dari Islamic Bank, kemudian bagaimana dengan insuran? Saya dimaklumkan mesti buat insuran dan road tax di bank tersebut. Maka saya akan terdedah kepada insuran konvensional. Adakah harus? 
-  soalan melalui sistem sms -

Jawapan
Pertama : Anda perlu membetulkan istilah dan kefahaman anda tentang Bank Islam. Anda mengatakan
"membuat pinjaman dari bank Islam".
Hakikatnya Bank Islam tidak memberikan pinjaman tetapi memberikan pembiayaan melalui pelbagai konsep dan aqad yang menepati Shariah, Anatara konsep yang digunakan adalah Murabahah (seperti dibuat oleh Bank Islam Malaysia Berhad - BIMB) iaitu bank membeli dari pengedar dan menjual kereta itu kepada anda dengan harga 'mark up', kerana anda memilih bayaran secara ansuran.
Deposit 10 % atau lebih yang anda bayar kepada pengedar itu adalah sebenarnya kepada BIMB kerana mereka telah melantik pengerdar itu sebagai wakil mereka. Dapatkan info lanjut dari pegawai di Bank Islam Malaysia Berhad.
Kebanyakan Bank Islam lain pula mengamalkan konsep al-Ijarah Thumma Al-Bai' iaitu "sewaan yang ditamatkan dengan jualan", proses dibuat apabila pihak bank akan membeli kereta dari pengedar atau mungkin juga terus dari anda, dan kemudian apabila pemilikan bank ke atas manfaat kereta (beneficial ownership) telah sempurna, pihak bank akan menyewakan kereta itu kembali kepada anda, dan pembayaran terakhir akan dianggap sebagai jualan terus. Selain itu, ada juga Bank Islam yang menggunakan konsep Tawarruq dalam pembiayaan kereta. Semuanya telah disahkan oleh Majlis Penasihat Shariah masing-masing.

Insuran
Hukum insuran konvesnional adalah haram menurut keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan Majlis Fatwa Kebangsaan, justeru anda wajib mengambil insuran Islam atau TAKAFUL dari mana-mana syarikat takaful yang wujud di Malaysia bila membeli kereta atau rumah.
Biasanya insuran tidak diuruskan oleh Bank, ia diuruskan oleh anda sendiri atau penjual kereta itu. walaubagaimanapun jika ia diurus oleh bank atau penjual, anda berhak untuk menuntut perlindungan TAKAFUL untuk kereta itu. Tiada sebarang undang-undang yang membolehkan mereka memaksa anda mengambil insuran yang tidak anda kehendaki.
Kebiasaannya, penjual kereta menggambarkan seolah-olah mesti diambil insuran tertentu, sebenarnya mereka sedang MENIPU. Hakikatnya mereka cuba mendapat untung lebih kerana syarikat insuran yang mereka cadang adalah panel mereka dan mereka akan mendapat komisyen kelak. 

Jika mereka kata 'tak boleh', anda perlu tegas mengatakan bahawa jika demikian anda akan membeli kereta yang sama daripada pengedar dan penjual lain. Saya pasti tatkala itu mereka akan mengatakan permintaan anda boleh diusahakan. 

Saya sendiri pernah mengalaminya apabila cuba ditipu kononnya mesti ambil dengan insuran konvensional tertentu yang memerlukan tempoh minimum 1 tahun, kemudian saya bebas untuk menukar kepada insuran lain atau TAKAFUL katanya. Dengan tegas saya katakan :-
"jika demikian, maaf, saya cari kedai lain. Saya mesti nak Takaful, 1 tahun dengan insuran, maaf saya tak mahu"
Dengan segera mereka dapatkan saya syarikat takaful.
Ingat, penjual kereta akan cuba paksa anda ambil insuran yg mereka jual kerana mereka dapat komisyen, jangan endahkan paksaan mereka. Tiada sebarang peruntukan kuasa untuk memaksa anda. Jika paksa juga, dan anda tertipu, sila buat aduan dan laporan segera kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia. InshaAllah pasti menang.
Road tax akan diuruskan sekaligus oleh syarikat penjual atau Takaful, road tax tiada masalah, hukumnya adalah harus.

Takut juga atas setiap sisip perkara yang kita lakukan sekarang. Semoga dapat dijadikan panduan buat kita bersama..amin.. Wassalam...

Tuesday, September 3, 2013

Jom Belajar Arab 1

 
 
Bahasa Arab adalah salah satu bahasa yang mula disenangi dan mula dipelajari oleh setiap orang pada masa ini. Mempelajari Bahasa Arab ketika berada di zaman universiti banyak memberi faedah buat saya pada masa sekarang padahal memng itu adalah matapelajaran yang paling lemah pernah saya pelajari satu masa dahulu.
 
Tetapi apa yang saya dapat lihat, terdapat dua golongan yang minat terhadap bahasa ini. Pertama, golongan yang ingin mempelajari bahasa Arab dengan mendalam termasuk tatabahasa dan sebagainya. Golongan kedua pula adalah yang mahu mempelajari supaya mereka boleh bertutur dalam bahasa Arab. Bagi saya golongan kedua ini hanya akan berjaya apabila mereka bergaul dengan suasana yang boleh membawa mereka ke arah itu...

Setelah berada di alam pekerjaan, melihat ramai yang mula meminati Bahasa Arab memberi satu tanggungjawab kepada saya menyampaikan ilmu yang saya dapat terutama kepada rakyat Sarawak. Jadi, tidak salah  juga bagi saya berkongsi dengan pembaca yang turut berminat mempelajari bahasa ini..Jadi, jom kita mulakan!!

Bagi sesiapa yang baru sahaja menjejakkan kaki ke dalam alam ilmu bahasa Arab, apa yang perlu dipelajari adalah Perkataan yang ada di dalam Bahasa Arab dan pembahagiannya.

Perkataan (الكلمات)terbahagi kepada 3 iaitu:

  1. Al-Ismun (الاسم) - Kata Nama (contohnya, Muhammad, pelajar, guru, pen, singa dan lain-lain)
  2. Al-Fi'lun (الفعل) - Kata Kerja (membaca, menulis, makan dan lain-lain)
  3. Al-Harfun (الحرف) - Kata Hubung (ke, di dalam, tentang, dengan dan lain-lain)
Jadi, itu adalah pembahagian kalimah yang perlu diketahui sebelum melangkah kepada yang lebih jauh..Moga dapat saya meneruskan usaha ini hingga ke akhirnya..^_^ wassalam..

Syair Duhai Si Raja Hati

 
 
 
Silang kata kehidupan.. rahsia yang tersimpan..membawaku terbang mengharungi udara-udara yang telah ditetapkan..tidak ku nafikan, kepala pernah tersadung melanggar tiang, kaki pernah tersangkut di celah wayar keperitan..sayap pernah berdarah dilastik batu halimunan yang panas dan tajam.. Akhirnya, sampai juga akhirnya ke destinasi dahan yang telah ditakdirkan untukku..
Tiba-tiba kamu turut menghampiri dahan itu.. Bersama angin yang akhirnya membuai dahan sebelah rapat ke dahanku tanpa aku sedari..sedangkan pandanganku melihat kepada burung di dahan yang lain. Sedetik itu, dahanku yang kuat mula rapuh ditiup angin dan tanpa pilihan, aku tumpang berteduh di atas dahanmu yang kuat..
Di saat angin mula berhenti, kau mula mengajakku terbang bersama. Tiba-tiba ketika terbang bersamamu, hari seakan-akan ceria, kebiruan dan terang.. kau ukir semula senyumku setelah angin kencang mematahkan dahanku. Dahan yang patah kutinggalkan sejauh mungkin..pandangan yang pernah menarikku semakin menjauh dan burung itu turut terbang menuju ke arah yang bertentangan.. 
Kini senyummu adalah senyumku, air matamu adalah air mataku..walau aku sedar dirimu adalah pinjaman buatku.. namun pinjaman ini adalah pinjaman yang bakal membawaku ke syurga.. katamu menyenangkan.. tawamu menghiburkan.. hadirmu membahagiakan.. kau terima kekuranganku seakan semuanya kelihatan samar bagiku.. tidak ternilai terima kasih dari diriku.. tidak ternilai sayang buat dirimu.. namun aku tekad, menjadi yang terbaik buatmu adalah usahaku..
Allah..terima kasih atas pemberianMu..

Tuesday, August 27, 2013

Hukum Pre Wedding & Post Wedding

 
 
 
Gambar pra perkahwinan dan selepas perkahwinan merupakan salah satu trend yang kadang-kadang menjadi satu perkara wajib di dalam sebuah majlis perkahwinan sekarang. Di sini ingin saya kongsikan beberapa hukum-hakam berkaitan pengambilan gambar ini untuk rujukan semua terutama bakal pengantin Muslim.
 
Hukum bergambar secara umumnya adalah harus tertakluk kepada jenis gambar apa yang mahu diambil.

Bergambar pra perkahwinan

Bergantung kepada beberapa keadaan:
a) Pakaian tidak menutup aurat bersama aksi seperti suami isteri. Hukum untuk mengambil gambar seperti ini adalah HARAM. Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia;

Foto pra-perkahwinan pasangan pengantin baru Islam yang merakamkan aksi intim sebelum majlis akad nikah, dikategorikan sebagai budaya haram di sisi Islam.
Kelaziman bakal pengantin beragama Islam merakamkan foto secara intim termasuk berpelukan dan berbaring di atas katil sebelum sah bergelar suami isteri daripada segi hukum adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Sehubungan itu, Institut Kebudayaan Melayu Jambi mengeluarkan kenyataan bahawa budaya berkenaan harus dicegah seiring dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) berhubung isu yang sama.
Menurut pengerusi bahagian kajian dan pembangunan institut berkenaan, Djunaidi T. Noer, amalan merakamkan foto pra-perkahwinan bukanlah budaya masyarakat Jambi dan tersasar daripada hukum Syariah.
"Kami menyeru agar semua pasangan yang bertunang dan pengantin beragama Islam supaya tidak merakamkan foto pra-perkahwinan seperti berpeluk, berbaring antara satu sama lain di katil dan sebagainya. Ia merupakan haram," tegas Djunaidi seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post, hari ini.

b) Pakaian menutup aurat dengan sempurna dan tanpa ada sentuhan atau aksi-aksi lain yang mengghairahkan kerana ditakuti akan menimbulkan nafsu yang sukar dikawal dan ini termasuk dalam kategori 'mendekati zina'. Atas sebab ini, bergambar seperti ini jatuh dalam hukum antara MAKRUH dan HARAM dan seeloknya dijauhi. Selain daripada itu, sesi penggambaran seperti ini juga bukan satu keperluan dan boleh jatuh dalam kes pembaziran.

Bergambar selepas perkahwinan
Ini juga bergantung kepada beberapa keadaan;
a) Pakaian pengantin. HARAM penggambaran tersebut sekiranya pengantin memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan diambil oleh jurugambar yang bukan mahramnya. Allah melarang berhias (tabarruj) dengan menampakkan aurat untuk dipamerkan kepada orang ramai dan ini ditekankan di dalam surah al-Ahzab, ayat 33 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu."

b) Pakaian yang menutup aurat tetapi aksi yang agak boleh mengghairahkan dan haram sekiranya jurugambar bukan mahram.

Daripada penjelasan di atas, jelas hukum mengambil gambar yang menjadi trend ini bergantung kepada keadaan itu sendiri. Hukum-hakam ini bukan sahaja tertakluk kepada pengantin itu sahaja tetapi juga kepada jurugambar yang kebanyakannya bertanggungjawab memberi arahan tentang 'posing' yang akan dilakukan oleh pengantin. Berhati-hatilah kerana bayaran yang diperoleh hasil penggambaran itu adalah rezeki kita. Jangan biarkan diri kita mendapat rezeki yang haram disebabkan oleh kesilapan kita sendiri..

Wassalam..

 

 

Monday, August 26, 2013

Hari Raya Berdua


Salam Syawal semua.. Hari ni kita sudah berada dalam hari ke 19 bulan Syawal tahun 1434H. Macam mana dengan puasa 6 bulan Syawal? Nampaknya saya masih tinggal dalam 3 hari lagi yang perlu ditunaikan. Semoga puasa 6 kita memberi keberkatan buat diri kita sendiri. Alhamdulillah, tahun ini adalah tahun pertama saya beraya bersama suami. Seperti biasa bagi suami isteri, pasti ada perbincangan yang perlu dibuat, dan tahun ini kami memutuskan untuk beraya di rumah keluarga saya di Sri Aman. Ini juga adalah bersempena majlis kahwin abang saya yang dilaksanakan pada raya ke-4.

Perjalanan kami ke kampung mengambil masa selama 4 jam. Selepas solat sunat aidilfitri, bersalam-salaman, kami singgah sebentar di rumah mentua sebelum memulakan perjalanan ke kampung. Jujurnya perjalanan hari itu agak menggerunkan. Mungkin agak trauma dengan apa yang berlaku pada sahabat pada bulan puasa sebelumnya. Semoga mereka aman di sana..
 Tahun ini, hari raya memang berbeza. Biasanya, malam raya, siapkan baju sendiri dan baju adik-adik. Tahun ini, siapkan baju sendiri dan baju suami sahaja. Baju adik-adik mereka sediakan sendiri masing-masing.


Ini adalah gambar raya pertama di kampung. Tak pakai baju raya pun, sebab masih berada di luar menguruskan beberapa perkara berkaitan majlis abang. ^_^

Tahun ini, tidak ada gambar keluarga hari raya pertama sebab abang dan adik tidak pulang ke rumah, jadi kami semua hanya bergambar pada hari raya keempat waktu majlis abang. Tahun ni juga tak ada warna tema untuk raya..hihi..


Bersama pengantin. Gelak bila tengok gambar ni. Abang dengan bekas tepung tawar masih di dahi..haha..


Tidak melepaskan peluang bergambar di pelami, buat kali kedua. Masih pengantin baru kan? hehe..
Tahun lepas adalah raya yang agak sedikit merunsingkan dan menyedihkan bagi saya. Tapi tahun ini, beraya sebagai seorang isteri adalah raya yang paling menggembirakan bagi insan yang baru bercinta bersama suami..^_^ Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah..

Friday, August 23, 2013

KESILAPAN SEMASA MENGENAKAN TUDUNG



           
Hari Raya adalah hari yang sungguh menyeronokkan bagi sesetengah orang. Di bulan Syawal ini ramai yang mengenakan pakaian dan tudung-tudung baru yang cantik dipandang mata. Sekarang begitu banyak tudung yang dijual tidak kira samada secara talian ataupun secara lansung. Gembira juga melihat ramai yang mengubah imej diri mereka dengan menutup aurat mereka terutama daripada golongan artis. Namun sedihnya, mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan tentang persoalan “Mengapa kita perlu bertudung?” ini menyebabkan ramai yang telah melanggar peraturan dan cara bertudung yang sebenar.
Sebelum itu, mari kita hayati maksud ayat al-Quran yang mewajibkan wanita untuk bertudung iaitu ayat 31 surah an-Nuur:


Nampak tak apa yang diminta di dalam ayat tersebut? Namun sekarang terdapat beberapa kesalahn yang mungkin sudah menjadi kebiasaan yang perlu kita singkap dan betulkan.

1.               Aurat di dalam keluarga
Kesilapan ini adalah kebiasaan bagi kita, bahkan saya sendiri juga pernah mengalami kejahilan ini. Kononnya, selepas berkahwin, maka aurat dengan adik-beradik ipar yang berlainan jenis pun boleh dibuka. Ini adalah salah di sisi Islam. Selepas berkahwin, aurat kita wajib ditutup kecuali di hadapan suami dan bapa mertua. Adik beradik lelaki yang lain adalah masih bukan mahram kita.



2.               Bertudung tapi memakai pakaian yang tidak bersesuaian.


Lihat sahaja cara pemakaian di atas. Di sinilah kita diuji dan patut dipersoalkan kembali, kenapa kita bertudung? Adakah hanya untuk menutup kepala atau mengikut trend semasa? Aurat wanita di hadapan orang bukan mahramnya adalah seluruh tubuh kecuali tapak tangan dan mukanya sahaja. Lantas, kalau tubuh itu ‘dibalut’ masih nampak lagi bentuk tubuhnya dan orang lain dapat membayangkan sesuatu daripada pemandangan tersebut kan? Maka atas sebab itulah kenapa mereka digelar wanita yang menutup aurat tapi bertelanjang.

3.               Bertudung dan berbaju longgar tetapi kainnya……


Bagaimana pula dengan pakaian seperti gambar di atas? Masih kelihatan bentuk kaki yang cantik itu di sebalik kain tersebut. Di sinilah munculnya hadis Riwayat Ahmad Dan Baihaqi,

“Suruhlah isterimu mengenakan baju dalam di balik kain Qibtiyah itu.”

Kain Qibtiyah adalah kain tipis yang digunakan bagi mengelakkan kelihatannya warna kulit di sebalik kain nipis yang dipakai.

4.               Tudung yang tidak menutup bahagian dada

Sepertimana yang dapat kita lihat di dalam ayat yang pertama sekali kita baca di atas mengatakan hendaklah kamu melabuhkan kain tudung hingga ke paras dada. Kenapa? Rasanya semua sedia maklum, di situlah tempat salah satu mahkota yang wanita miliki dan dapat menarik mata lelaki padanya. Betul kan semua? Jadi, jagalah sebaiknya.


5.               Tudung berbonggol unta
Isu ini seringkali diperkatakan bagi memberi kesedaran kepada wanita tentang tegahan hadis Nabi seperti di sebelah.
            Pemakaian bonggol seperti ini banyak kita lihat terutama di kalangan pengantin-pengantin wanita. Ya, memang nampak menarik, tetapi sebagai Muslimah, antara kecantikan yang sementara atau dosa melanggar perintah yang kita mahukan? Fikir-fikirkanlah..

6. Tabarruj

Apakah itu tabarruj? Tabarruj ialah perbuatan mendedahkan kecantikan paras rupa, samada kecantikan itu di bahagian muka atau di bahagian–bahagian lain terutama kepada bukan mahram. Kembali kepada surah al-Ahzab di atas, tujuan utama melabuhkan tudung dan berbaju longgar adalah untuk mengelakkan diri daripada diganggu. Lihat sahaja di mana-mana, siapa yang lebih senang diganggu? Wanita yang menampakkan segala perhiasannya atau tidak? Fikirkan lagi sekali...

7. Fesyen yang menyerupai bangsa lain
           
            Pelbagai jenis trend dan fesyen terbaru yang kita lihat sekarang. Namun, sedarkah anda.....??? Lihat gambar di bawah:



            Daripada kesilapan-kesilapan di atas, muslimah yang benar-benar memahami maksud 'BERTUDUNG' dan 'MENUTUP AURAT' itu sendiri yang akan dapat merubah diri mereka menjadi seorang MUSLIMAH sejati. Memang susah apabila terpaksa meninggalkan segala jenis fesyen terkini. Tetapi yang susah itu juga yang manis. Seperti ubat, kebanyakan ubat perit dan pahit ditelan tetapi itu juga yang akan membawa kesembuhan yang amat bernilai. Renungkanlah...dan sebarkan kepada semua... ^_^


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram