Tuesday, August 27, 2013

Hukum Pre Wedding & Post Wedding

 
 
 
Gambar pra perkahwinan dan selepas perkahwinan merupakan salah satu trend yang kadang-kadang menjadi satu perkara wajib di dalam sebuah majlis perkahwinan sekarang. Di sini ingin saya kongsikan beberapa hukum-hakam berkaitan pengambilan gambar ini untuk rujukan semua terutama bakal pengantin Muslim.
 
Hukum bergambar secara umumnya adalah harus tertakluk kepada jenis gambar apa yang mahu diambil.

Bergambar pra perkahwinan

Bergantung kepada beberapa keadaan:
a) Pakaian tidak menutup aurat bersama aksi seperti suami isteri. Hukum untuk mengambil gambar seperti ini adalah HARAM. Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia;

Foto pra-perkahwinan pasangan pengantin baru Islam yang merakamkan aksi intim sebelum majlis akad nikah, dikategorikan sebagai budaya haram di sisi Islam.
Kelaziman bakal pengantin beragama Islam merakamkan foto secara intim termasuk berpelukan dan berbaring di atas katil sebelum sah bergelar suami isteri daripada segi hukum adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Sehubungan itu, Institut Kebudayaan Melayu Jambi mengeluarkan kenyataan bahawa budaya berkenaan harus dicegah seiring dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) berhubung isu yang sama.
Menurut pengerusi bahagian kajian dan pembangunan institut berkenaan, Djunaidi T. Noer, amalan merakamkan foto pra-perkahwinan bukanlah budaya masyarakat Jambi dan tersasar daripada hukum Syariah.
"Kami menyeru agar semua pasangan yang bertunang dan pengantin beragama Islam supaya tidak merakamkan foto pra-perkahwinan seperti berpeluk, berbaring antara satu sama lain di katil dan sebagainya. Ia merupakan haram," tegas Djunaidi seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post, hari ini.

b) Pakaian menutup aurat dengan sempurna dan tanpa ada sentuhan atau aksi-aksi lain yang mengghairahkan kerana ditakuti akan menimbulkan nafsu yang sukar dikawal dan ini termasuk dalam kategori 'mendekati zina'. Atas sebab ini, bergambar seperti ini jatuh dalam hukum antara MAKRUH dan HARAM dan seeloknya dijauhi. Selain daripada itu, sesi penggambaran seperti ini juga bukan satu keperluan dan boleh jatuh dalam kes pembaziran.

Bergambar selepas perkahwinan
Ini juga bergantung kepada beberapa keadaan;
a) Pakaian pengantin. HARAM penggambaran tersebut sekiranya pengantin memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan diambil oleh jurugambar yang bukan mahramnya. Allah melarang berhias (tabarruj) dengan menampakkan aurat untuk dipamerkan kepada orang ramai dan ini ditekankan di dalam surah al-Ahzab, ayat 33 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu."

b) Pakaian yang menutup aurat tetapi aksi yang agak boleh mengghairahkan dan haram sekiranya jurugambar bukan mahram.

Daripada penjelasan di atas, jelas hukum mengambil gambar yang menjadi trend ini bergantung kepada keadaan itu sendiri. Hukum-hakam ini bukan sahaja tertakluk kepada pengantin itu sahaja tetapi juga kepada jurugambar yang kebanyakannya bertanggungjawab memberi arahan tentang 'posing' yang akan dilakukan oleh pengantin. Berhati-hatilah kerana bayaran yang diperoleh hasil penggambaran itu adalah rezeki kita. Jangan biarkan diri kita mendapat rezeki yang haram disebabkan oleh kesilapan kita sendiri..

Wassalam..

 

 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram