Sunday, December 14, 2014

Pengalaman Bersalin

Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, syukur Allah masih pinjamkan nyawa untuk menghadapi hari ini. Dan alhamdulillah syukur, akhirnya penantian selama 9 bulan menanti kehadiran junior sudah pun berlalu. Tak terkata perasaan kerana dapat merasai pengalaman mengandung dan bersalin. Dulu masa mengandung, selalu google pengalaman bersalin orang lain dan memang pengalaman masing-masing berbeza.

13.11.2014 (Khamis)
38 minggu

Pagi tu macam biasa, siap-siap nak turun kerja. Jam 6 pagi, waktu tengah mandi, perasan ada keluar sedikit darah macam tanda awal haid.Waktu tu zaaaaap rase macam gerun pun ada, excited pun ada tapi masih buat-buat cool dulu. Jadi saya turunlah kerja macam biasa. Di pejabat pulak, sebelum zohor tu, ada lagi kesan darah keluar, tapi tak banyak. Pulang pejabat, waktu nak mandi, tiba-tiba perasan darah segar keluar sedikit. Ya Allah waktu tu rasa berdebar sangat. Dah nak beranak ke aku ni?? Habis mandi je, cakap kat suami tapi siap cakap lagi jangan hebohkan dulu. Takut darah tu yang macam yang lepas-lepas. Padahal kalau darah dah keluar waktu tu memang dah tanda-tanda lah kan..neves punya pasal..
 
Tapi rupanya suami dah tanya pun mak mertua nak buat macam mana dengan keadaan saya. Jam 12 malam, mertua suruh suami hantar ke hospital, takut memang dah boleh bersalin. Jadi, siapkan semua barang terus ke hospital. Dah siap daftar, doktor tanya beberapa soalan dan pemeriksaan CTG pun bermula. Pergerakan baby tak aktif, tak lemah. "Baby tengah tidur ni..."doktor cakap. Dia pun gerak-gerakkan perut nak kejutkan baby. Tapi still, bacaan CTG tak berubah. Sampai ngantuk-ngantuk ha doktor tu duduk kat sebelah. Kesian tengok..
 
Bila dah lama sangat, doktor pun cuba buat bacaan bukaan. Bermulalah aktiviti seluk itu berlaku. Selalu baca dari pengalaman orang lain, waktu seluk tu memang sakit. Tapi jujurnya, memang takde rasa sakit pun. Tapi tipulah tak rasa pape kan. Mungkin mindset kot. Dan mungkin terpulang pada cara doktor tu buat. Jadi bacaan bukaan masih 1cm. Ha kan dah cakap belum lagi nak beranak.. Kemudian, buat lagi bacaan CTG yang kedua, dan result, masih sama. Baby masih tidur dengan nyenyaknya kata doktor. Dari pukul 12.30 sampai pukul 3 lebih buat ctg, akhirnya doktor bagi pilihan nak saya tunggu atau balik dulu. Saya pilih nak balik je dulu, kesian kat suami dan mak.mertua tunggu kat luar. 

14.11.2014 (Jumaat)
4.00 pagi

Jam 4 pagi, dah nak Subuh dah waktu balik tu. Dalam perjalanan dah nak sampai rumah, saya dapat rasa sakit tapi tak sakit sangat. Sempat lagi fikir, ni contraction ke? Eh, taklah sakit sangat pun..haha. Sekali kena..ha... Tapi senyapkan dulu waktu tu sebab tak sampai hati pulak nanti terpaksa pusing balik. Sampai je kat rumah, tak dapat nak tidur pun sebab sakitnya berulang kali datang. Jadi dalam pukul 8 tu, lepas mandi terus ajak suami pergi hospital lagi. Sampai je kat hospital, tengok-tengok mak ai ramainya yang tunggu lif. Jadi dengan semangatnya mak buyung ni bawaklah kaki naik tangga jumpa nurse kat tempat bersalin tu.
 
"Eh, ni macam bacaan malam tadi. Ada datang ke?" nurse tu tanya.
"Haah, semalam ade discaj darah, tu yang datang. Tapi doktor tak dapat bacaan contraction pun. Jadi saya mintak balik." dengan semangatnya menjawab.
"Laa..kenapa tak stay je?"
Soalan tu saya jawab dengan senyuman je. Kalaulah dia tahu betapa bersalahnya saya biar suami dan mak mertua menunggu kat luar dekat hampir 4 jam.
 
 Jadi, macam tadi jugak, doktor tanya itu ini dan buat CTG. Kemudian cek bukaan. "Oh, dah 5 cm dah ni." Ha, dah 5 cm?? Cepatnya.. Ke sebab naik tangga tadi ni? Huhu...naik terus bulu roma waktu tu. Doktor keluar sekejap  kemudian datang balik. "Sekarang labour room tengah penuh, kita tunggu labour room kosong dulu then kamu boleh masuk ye.." Labour room? Eh, dah nak beranak dah ke? Bukan masuk wad dulu ke? Ha macam-macam yang keluar dalam otak fikiran waktu tu. Cuak pun ada tapi tak dapat nak lawan rasa teruja nak jumpa baby. Bila doktor keluar, ambik handphone terus mesej suami. 
 
 10.00 pagi
Waktu ni, dah masuk dalam labour room. Salin baju, pasang CTG kemudian baring sambil tunggu suami masuk. Waktu tu memang tak rasa sakit lagi pun. Kemudian tak lame lepas tu, sorang doktor lain pulak masuk. "Tengok keadaan isteri awak ni, mungkin lama lagi dia nak bersalin. Mungkin petang dalam pukul 4 macam tu." Apa? Pukul 4? Nak kena baring atas katil ni sampai pukul 4 ke? Nak tanya, tapi tak tertanya pulak. Entah, main ikuuuut je kata doktor waktu tu. "Jadi, awak bolehlah pergi solat Jumaat dulu." Bila doktor cakap Jumaat baru ingat hari tu hari Jumaat. Wah, baby lahir dan ibu pulak bertarung pada hari mulia ni. Mudahan dipermudahkan.

Sebelum suami keluar, sempat lagi pesan suruh suami datang cepat kalau dah habis solat. Takut tercepat pulak beranaknya. Padahal doktor dah cakap dah tadi..haha.. Tak lama lepas tu, datang sorang doktor yang lain. Kecik molek comel je doktor tu. "Saya nak pecahkan air ketuban awak ni. Mungkin ada rasa sikit. Tarik nafas macam biasa je tau. Jangan tahan nafas." Angguk-angguk, tarik nafas, terasa tangan doktor. "Eh, mane ni ye.." Hah, mane ape? Kenapa? "Aaaa, dah jumpa pun.." Seketika terasa panas je air keluar. "Okey, kalau rasa sakit nanti bagitau ye." Angguk-angguk lagi..

2.00 petang
 
"Nanti waktu nak teran, teran je sekuat hati. Jangan tahan-tahan tau," pesan mak. Waktu ni, dengan kehadiran mak yang datang menjenguk memang melegakan hati. Mak siap bawa air zamzam untuk saya minum. Tapi sebab takut doktor masuk sebab doktor dah larang minum tadi, minum sembunyi-sembunyi je. Dahlah dari tadi lagi tak makan minum, dapat minum sikit pun dah lega. Tak lama lepas tu, mak pun balik. "Ingat, kalau sakit, banyakkan zikir. Ingat Allah. Ni lah pengorbanan dan pertarungan kita. Sakit tu penghapus dosa, ingat yang tu. Mak sayang tau dengan Siti." Syahdu sangat dengar mak pesan macam tu. 
 
 
3.30 petang

Nurse datang. "Masih tak rasa sakit lagi ke Siti?" Nurse tu tanye dengan sopannya. Waktu tu memang sangkaan orang ramai yang cakap hospital kerajaan tak beri layanan baik memang tak betul. Dari awal saya masuk hingga saya keluar, memang layanan jururawat baik sangat. "belum lagi kak.." Lepas lihat pada bacaan CTG, dia pun keluar balik. Tak sampai seminit, dia datang lagi dengan dua orang doktor. "Siti, sebab kontraksi awak lambat, kita akan masukkan drip Oksitosin ni untuk cepatkan kontraksi. Jadi, awak akan rasa sakit sikit lepas ni ye." Beberapa ketika tiba-tiba datang sakit yang kuat tapi tak lama. Masa ni, suami baru sampai. "Dah sakit ke?" suami tanya. "Haah, doktor masukkan air tu tadi."

Dan bermulalah episod menahan kesakitan yang teramat sangat dan bersyukur sangat suami ada di sisi. Tiap kali dengar bunyi degupan jantung bayi berubah pantas, zaaaaaappp terus meresap rasa sakit. "Allah...Allah...sakitnya..." Macam ni rupanya sakit bersalin. Teringat pesan mak sebelum tu, sakit ni penghapus dosa, itulah yang saya ingat saat sakit tu nak datang. Subhanallah, memang waktu tu hanya Allah yang tahu rasanya. Rasa semua tulang belulang ni ditekan-tekan, rasa nak patah. Bila sakit datang, tangan suamilah jadi peneman. Dialah yang beri semangat, sama-sama sebut nama Allah dan doa Nabi Yunus. "Abang...sakit sangat...tak tahan..." Sampai satu ketika, saya rasa memang tak berdaya nak tahan sakit. "Kejap ye...kita tunggu nurse datang." Masuk je nurse waktu tu, suami cakap-cakap dengan dia ditemani dengan suara latar yang kesakitan di belakang. Kemudian, dia keluar dan masuk semula untuk pasang gas untuk kurangkan rasa sakit. "Kalau rasa sakit dan tak tahan, tekan ni dan sedut terus ye. Tapi kita tak galakkan sangat guna gas ni sebab akan bagi rasa ngantok. Kalau Siti dapat tahan, tahan ye." 

Lepas nurse cakap macam tu, terlintas pulak dalam hati taknak ambik gas ni. Takut ngantok punya pasal. Okey, Siti kuat, Siti kuat.. Kemudian...zaaaaapppp sakit datang balik. "Allah...Allah.." sebut-sebut sambil tangan tunjuk kat corong gas. Haha... Suami tolong ambik dan letak kat hidung. Masa ni, nak sedut gas tu pun rasa macam tak larat. Kesannya, sakit pun sama je. Datang lagi kontraksi, cuba sedut lagi, masih jugak tak larat. Sudahnya, bagi balik corong kat suami dan bertahanlah dengan kesakitan.
Entah berapa kali doktor dan nurse keluar masuk dalam bilik. Dan tiap kali sakit datang, dengan penuh sayunya saya memandang doktor dan nurse yang masuk dengan harapan adalah yang datang tengok dah nak keluar ke belum baby. Tapi datangnya hanya menjenguk, baca CTG kemudian keluar. Aaa...tolonglah...sakit ni... Meronta-ronta je dalam hati. Sampailah satu waktu tu, suami cuba nak buat lawak, nak bagi hilang rasa sakit kot. Honestly, lawak memang lawak, tapi tak larat nak gelak, senyum pun tak larat. Tudung pun waktu tu tak tahulah dah jadi ape. Sebab tu tiap kali bila tengok tudung yang saya pakai hari tu, teringat semula detik-detik yang menggerunkan masa tu.

Kemudian akhirnya, datang seorang doktor untuk cek bukaan. "Oh, masih 7cm lg ni. Tahan sekejap lagi ye Siti." Ya Allah, tunggu lagi? Dah tak tahan sakit ni doktor..... Maka bersambung lagi aktiviti menahan kesakitan yang teramat.

6.45 petang
 
Setelah 3 jam berperang dengan kesakitan, dengan sejuknya keadaan di dalam bilik waktu tu, akhirnya doktor datang dan cek lagi. "Dah boleh dah ni. Panggil yang lain jap." Dengar je doktor cakap macam tu, terus menyerap semangat nak tengok baby. Tak sabar rasanya walaupun masih menahan sakit. "Saya nak buat doktor untuk patient ni." Sahut seorang jururawat yang ada kat dalam tu. "Boleh ke?" "Boleh.." Alamak, siapapun takpe doktor..dah tak tahan ni...
Doktor semua bersiap, dan memang dah dapat agak, ada doktor pelatih dalam 3 orang yang memerhati di penghujung katil. Ah, tak kisahlah, asalkan dapat keluarkan baby. Doktor pasang penghadang kaki, letak kaki kat atas (tinggi jugaklah penghadang tu) dan teran..

Alhamdulillah jururawat yang ambik job sambut baby tu memang memberi semangat sangat-sangat. Lebih-lebih lagi suami kat sebelah yang dari awal lagi sentiasa beri semangat. "Okey bagus Siti, dah nampak kepala dah ni. Kalau rasa sakit, tarik nafas, terus teran kuat-kuat." Waktu ni ingat je tips-tips yang pernah dibaca sebelum-sebelum ni. Tak angkat punggung, dagu kat dada dan teran sekuat hati. Kali kedua teran, masih jugak gagal. "Ha, dah nak keluar dah ni. Teran kuat-kuat lagi Siti." Jururawat tu terus bagi semangat. Tiba-tiba pulak doktor lelaki yang kat sebelah, yang tengah guna CTG cakap, "Kalau sekali ni tak keluar, kita kena vacum untuk keluarkan baby." Dengar je doktor macam tu, datang je sakit, dengan sekuat hati dan sepenuh tenaga saya buat usaha yang sekuatnya. "Alhamdulillah kepala dah keluar. Okey, lepas ni teran biasa-biasa je ye sebab nak keluarkan badan sahaja." Dengan sekali teran je, terasa sesuatu keluar dengan lancarnya. 
 
"Alaa comel, kecik je die..." Ya Allah, dengar je jururawat tu cakap macam tu, terasa syukur yang tak terhingga sebab dapat keluarkan baby tanpa vacum. Nampak baby tu diangkat, diserah kepada jururawat lain untuk dibersihkan. Betapa gembira yang tidak terhingga lepas dengar tangisan pertama yang keluar daripada mulut Rafi pada waktu tu. Lepas dibersihkan, jururawat serahkan Rafi kepada suami untuk diazankan. Kemudian diserahkan semula kepada jururawat untuk ditimbang dan diukur. Maka bermulalah sesi jahit-menjahit. Nak kata sakit, memang sakit, tapi semuanya sudah ditampung dengan perasaan syukur dan gembira. 

Setelah siap menjahit, jururawat pun keluar sebentar. Tengok wajah suami dan ucapkan terima kasih sebab ada bersama. Kemudian, Rafi dibawa masuk semula dan diserahkan kepada saya. "Abang nak azankan dia lagi boleh? Tadi dah, tapi macam tak kuat je suara. Ramai sangat orang kat dalam." Nak tergelak pun ada dengar suami cakap macam tu. Yang pasti, nampak keserian pada wajah ayah baru waktu tu.

Malam itu jugak, saya dibawa ke dalam wad. Alhamdulillah wad pun memang baik keadaannya. Sebilik ada 3 katil, itupun sudah cukup baik buat saya. Malam tu jugak, mak mertua datang bawa makanan. Mak ayah pun datang sekali. dan syoknya, dapat lagi 2 kawan baru.


Saat menunggu..


Memperkenalkan Muhammad Rafi'uddin bin Muhammad Fikry.^_^

Thursday, November 6, 2014

Dekorasi - Workstation

Bismillahirrahmanirrahim..

Wah...tajuk bukan main lagi tulis DEKORASI. Macam pakarlah pulak..haha.. Sebenarnya, seminggu ni pejabat sibuk berkemas-kemas untuk 5S. Jadi apa itu 5S? Dulu masa pejabat lama, semuanya dah siap waktu masuk-masuk kerja. Jadi perbezaan sebelum dan selepas 5S memang kosong. Eh, bukanlah kosong sangat sebenarnya, dalam 30 peratus macam tu kot pengetahuan yang ada..

Tapi sedihnya, tuan punya partisyen ni bukan orang yang kreatif yang boleh buat sesuatu kawasan tu jadi 'WOW'.. setakat orang cakap "EM...OKEYLAH NI.." tu bolehlah.. Macam akak AKU BUKAN BIDADARI ni, memang respek sangat. Macam manalah akak dapat idea nak hias kawasan-kawasan jadi cantik macam tu. Tapi, nak buat macam mana, den buatlah sekadar yang mampu mengikut keperluan dan bajet. Haha...bajet konon..
Jadi, lepas alih sana sini, balut itu ini, cuba begitu begini, ini lah hasilnya..

 Rak hitam tu, rak lama dari pejabat lama yang dah lama..ha, berapa banyak lama tu.. Nak cat bagi nampak baru, em memang lambat kot nak buat. hihi.. Yang rak kecil tu pulak, rak yang baru, memang untuk letak buku-buku rujukan. Itu pun, banyak buku yang terpaksa dibawa pulang sebab dah serabut sangat kalau disusun.


Cop, bekas pensil dan notepad yang disusun di tepi printer. Tak kreatif pun, tapi sekali lagi, OKEYLAH...hihi.. abaikan keyboard yang bertampal dengan huruf jawi tu. Kat sini memang susah nak cari sticker jawi, jadi buat sendiri, potong dan tampal...


Printer dan laci kertas yang siap ditag.

 
Em, nampak kurang tersusun pulak wayar tu kan? Takpe, nanti boleh perbaiki lagi...

Bekas pen yang telah diubahsuai. Mulanya ada sambungan lagi bekas ni dengan bekas kecik untuk letakkan barang-barang kecil. Tapi, saya buang dan ikat je riben merah tu kat tengah. Lebih simple dan senang nak susun.

Jadi secara keseluruhannya, setakat itu sahaja yang mampu saya lakukan kala sedang sarat ni. Mana tahu nanti baby keluar, jadi anak yang rajin tolong ibu kemas-kemas rumah, kreatif dan pandai hias-hias rumah kan..amin... Kira kemas ni sekali sebelum cuti bersalinlah kiranya.. 

Wassalam..

Tuesday, November 4, 2014

Buat KakikuSukaBerjalan...

 
 
"Anak-anak ibarat meletak telur di hujung tanduk, sekali terabai, kita menyesal seumur hidup."
 
 Indahnya merasai pengalaman mengandung 9 bulan, indahnya memiliki anak hasil pernikahan yang dirai dan direstui, ini semua dirasai oleh segelintir wanita yang diberi rezeki oleh Allah. Namun bagi segelintir yang lain, nikmat ini mungkin 'ditahan' atas sebab dan pengetahuan yang hanya pemberinya sahaja yang mengetahui iaitu Allah. Siapa kita untuk mengatakan dia tidak diberi rezeki kerana begitu dan begitu. Namun sekali lagi, mulut manusia tidak mudah untuk ditutup mengikut kehendak kita. 
 
Membaca post sahabat yang mungkin hanya saya kenali di laman blog di SINI, memberi pelbagai perasaan kepada penulis. Walaupun pengalaman saya hanya setahun berada di dalam keadaan beliau, namun saya faham apa yang cuba disampaikan dan apa yang dirasakan oleh beliau kala itu. Jelas sekali tidak ada dalil yang mengatakan seseorang tidak dikurniakan anak kerana perangai dan perbuatan lampau. Lantas, apakah hak seseorang untuk menuding jari dan melemparkan kata-kata yang seolah-olah mereka itu mengetahui apa yang orang lain lakukan pada masa lampau. 
Buat mereka yang belum dikurniakan rezeki anak,
 
1. Bersabarlah..
 
Allah sendiri telah berkata kepada hamba-Nya di dalam surah al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud,

"..Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya."
Semuanya rahsia Allah dan benar kata Ina, boleh jadi dengan memiliki anak, kita semakin jauh daripada-Nya. Boleh jadi kita masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah. Hanya Allah sahaja yang tahu.

2. Berusahalah..
 
Usaha dan doa, harapnya tidak akan terhenti selama mana masih belum diperolehi apa yang dihajati. Allah berfirman, "Mintalah padaku, nescaya akan Aku kabulkan permintaanmu." Ini janji Allah...
Muhasabah...andai masih belum terkabul permintaan. Muhasabah di setiap penjuru yang memungkinkan permintaan itu ditahan oleh Allah. 
Ungkapan 'tunaikan hajat orang lain, maka hajat kamu akan ditunaikan' selepas menonton sebuah drama suatu masa dulu memang saya percaya hingga kini. Cuba tunaikan hajat orang lain semampu kita, tapi niatkan seikhlasnya. Allah lebih mengetahui...
 
3. Bertawakallah..
 
Allah tahan sesuatu kerana Allah sayangkan kita, Allah ambil semula apa yang kita ada kerana Allah sayngkan kita. Segala yang kita ada, semuanya milik Allah. Bayangkan... seorang insan yang dikurniakan anak, dijaga, ditatang umpama minyak yang penuh, diberi segalanya..setelah beberapa tahun, diambil semula oleh Allah selama-lamanya..... bandingkan diri dengan insan yang lebih malang daripada kita, nescaya ketenangan akan menyusul..
 
Ya Allah,
Berilah ketenangan
Pada hati mereka yang engkau jadikan pilihan
Menempuh kehidupan penuh ujian
Yang engkau jadikan papan ukuran
 SayangMu yang langsung tidak pernah mampan

Ya Allah,
Berilah keyakinan
Pada jiwa mereka yang engkau simpan
Untuk meraih kasih dan cinta di hari kemudian
Agar jiwa itu menjadi kekuatan
Meneguhkan kasih dan yakin pada Tuhan
 
Moga hajat mereka Engkau kabulkan...
 
Wallahua'lam..
 

Wednesday, October 15, 2014

Pengurusan Uri Bayi

 
 
Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah sudah 8 bulan usia kandungan dan sekarang si kecil tengah aktif di dalam.. Aktif-aktif ya sayang. Menanti hari-hari kelahiran ini, terutama sekali anak pertama, memang banyak pengetahuan-pengetahuan baru yang perlu dipelajari tak kira oleh isteri ataupun suami. Hari ini ingin saya kongsikan cara-cara menguruskan uri selepas kelahiran.
 
Rasanya semua mesti dah tahu apa itu uri. Dalam bahasa Arab, ia digelar al-Mashimah  (المشيمة). Biasanya ia digelar plasenta yang keluar selepas bayi dilahirkan. Apa fungsi uri ni kepada anak kita di dalam kandungan? Inilah yang membekalkan makanan dan oksigen kepada mereka ketika masih di dalam kandungan.
 
 
 
 
Menurut pandangan Islam, uri adalah suci yakni bukan najis dan menanam uri bayi hukumnya harus dengan tujuan menjaga kebersihan dan kesucian uri tersebut. Uri jugak tidak boleh dijual ataupun dibakar. Sama jugaklah macam kuku ataupun rambut kan? Sebab semuanya sebahagian daripada anggota tubuh badan. Malah dalam hadis Rasulullah ada menyatakan yang bermaksud,
 
Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Nabi SAW telah menyuruh untuk menanam tujuh perkara daripada (anggota badan) manusia: rambut, kuku, darah, darah haid, gigi, uri dan kulup.
 
Jadi bagaimana hendak menguruskan uri bayi ni sebenarnya? Perkara pertama yang perlu dielakkan adalah menjauhi perkara-perkara khurafat dan tahyul yang kadang-kadang banyak direka-reka oleh pihak tertentu. Antaranya ialah tanam uri bersama duit syiling supaya nanti anak menjadi kaya. Ada juga yang menyarankan lilin dan pelita diletakkan di kawasan uri supaya bayi tidak kembung perut pada sebelah malam atau ketika hujan. Semua ini wajib dijauhkan.
 
Membersih uri cukup dengan dibasuh dengan air bersih, dibungkus dan ditanam dengan baik supaya tidak dihidu oleh binatang. Ada juga yang membasuh uri bersama dengan garam dan asam bertujuan untuk menghilangkan bau, juga tidak salah asalkan tidak diiringi dengan kepercayaan tahyul. Sebelum membasuh atau menanam uri yang telah bersih, cukup sekadar dengan membaca Bismillah dan selawat ke atas Nabi junjungan kita. 
 
Malah, sekarang saya ada terjumpa satu produk untuk menguruskan uri ni. Set Asas Pengurusan Uri daripada Grandma Secret kalau tak silap. Dalam set ni, ada alat-alat untuk membasuh uri seperti sarung tangan, garam, asam dan kain putih bagi memudahkan ibu bapa untuk menguruskan uri.
 
 
  gambar dari google
 
 
Selain dari Grandma Secret ni ada jugak produk yang lain macam produk Ummi Raid ni,
 
 
 
 
Jadi, tidak ada sebab untuk seseorang tu tidak mengetahui cara untuk menguruskan uri bayi ni kan? Uri inilah yang hadir bersama si ibu 9 bulan dan berbakti menyalurkan makanan kepada bayi yang dikandung. Hormati dan hargai apa yang turut pernah menjadi keperluan kita suatu masa dahulu. Semoga entry ini berguna buat semua yang bakal menimang cahaya mata..
Wassalam..

Thursday, October 9, 2014

Dua Tempat Makan Menarik di Kuching (bagi Wahnan Asliyam semata-mata)

 
 
Bismillahirrahmanirrahim..
 
KUCHING... tempat menetap yang sudah lama diduduki. Tetapi bila orang tanya, "Kat mana tempat makan best kat Kuching ni ye?" Atau kalau ada orang nak ajak makan dan tanya lagi, "Okey, jom kita nak makan kat mana?" Jujurnya, saya adalah antara orang yang akan mendiam paling lama. Kenapa? Bukan sebab banyak sangat pilihan di fikiran, tapi sebab memang tak familiar dengan tempat makan di Kuching. Suka makan di rumah kononnya..haha..
 
Tapi rasanya bukan saya sahaja yang mengalami perkara yang sama. Jadi, bila dah jumpa satu dua tempat makan yang bagi saya menarik, (bagi sayalah..tak tahu bagi orang lain) nak jugaklah rasanya berkongsi, mana tahu ada yang nak cari tempat makan jugak lepas ni.
 
Okey, tempat yang pertama adalah kedai mamak yang bagi saya memang susah nak jumpa di Kuching ni. Kalau kat Semenanjung, nak makan roti naan, tosai senang je.. Kat sini, agak susah sedikit sehingga akhirnya suami bawa minum pagi kat satu kedai ni iaitu Restoran Bombay Ria. Kawasan kedai adalah di kawasan Satok. Kat situ ada 2 buah restoran mamak, tapi yang ini suami cakap okey lagi.
 

 Macam biasa, dari dulu lagi minat kat roti naan. Akhirnya ketemu jua dirimu...

Okey, kedai makan yang kedua pula yang ingin saya syorkan adalah Aroma Cafe. Restoran ini pun saya baru cuba setelah dibelanja oleh bos kami minum pagi. Rakan sekerja yang perkenalkan.. Terletak di Jalan Tabuan, berdekatan dengan bangunan Fata Hotel. Apa yang menarik di sini, banyak pilihan makanan yang boleh kita pilih dan harga pun berpatutan. Yang paling penting, layanan yang cepat dan mesra.

gambar ambil dari google.. tak sempat pulak nak snap gambar sendiri..

Jadi, buat sesiapa yang belum mencuba dan ingin mencuba, silakan... Nanti kalau jumpa lagi tempat menarik, in shaa Allah saya akan sama-sama kongsikan terutama sekali di Kuching, Sarawak ni ye...

Sampai jumpa lagi semua...wassalam...^_^

Thursday, October 2, 2014

Friday, September 26, 2014

Beruntungnya Aku

 
 
"Kakak baru je lepas buat pembedahan kat area hempedu ni..." terang seorang kakak ketika saya menunggu giliran untuk mengambil darah. 
 
"...selepas 10 hari melahirkan anak akak yang kelima." Ini yang membuat saya tersedar, patutlah wajah akak ni lesu dan tidak berdaya, tapi masih mampu tersenyum sambil membawa buku biru anaknya dan kad putih yang pastinya untuk dirinya sendiri.
 
"Jumpa akak tadi kat dalam, tapi mana anak akak?
"Suami akak yang bawak tadi, masih lagi kat dalam bahagian ibu dan bayi. Taknak bagi dia kepanasan dengan keadaan orang ramai sebab akak ni pun sebab nurse nak tengok tempat pembedahan."
 
Oh, patutlah dia keseorangan. Setelah beberapa minit berborak dengan kakak ini, saya terkaku dan terdiam sebentar ketika kaka tersebut berkongsi perihal dia dan keluarganya.
 
"Kakak datang ke klinik naik bas je dik. Suami akak tak mampu nak beli kereta atau motosikal. Tapi akak tak pernah tinggalkan temujanji dengan doktor. Pernah hari tu klinik ni tutup dan dipindahkan ke Bintawa, tapi walaupun akak tak ada duit, akak jalan kaki jugak ke klinik. Sebab tu jururawat kat sini semuanya tahu kisah akak," cerita kakak tersebut sayu tapi masih bersenyum.
 
Seketika saya bayangkan perjalanan daripada kampung beliau hingga ke klinik tersebut yang memang benar, pernah ditutup kerana masalah litar pintas. Ya Allah, bukannya dekat.. betapa beruntungnya diri ini pada waktu itu masih dapat ke klinik menaiki kenderaan yang siap berhawa dingin.
 
"Akak dapat tahu ada ketumbuhan ini pun bila anak akak dah besar kat dalam rahim. Rasa sakit dekat-dekat bahagian ulu hati waktu tu. Akak ingat sebab nak bersalin tapi macam bukan. Akhirnya bila doktor periksa, ketumbuhan tu memang dah besar dan akak mesti buang selepas bersalin hari tu sebelum ia makin membesar dan memecah."
"Akak redha dengan apa yang akak tempuh. Ini semua ujian, kan?"
 
Saya terus mengiakan pertanyaan kakak yang berjiwa tabah ini. Betapa beruntungnya diri ini, ya Allah.. Buat pertama kalinya, saya berasa beruntungnya saya kerana mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan berkala di klinik biasa. Walaupun terdapat kekurangan dari segi masa, tapi bertemu dengan mereka-mereka yang kurang bernasib baik menjadikan diri ini berasa bertuah dan bersyukur atas apa yang diperolehi sekarang. Ya Allah, semoga kakak tersebut diberi kekuatan, kesihatan dan dikurniakan anak-anak yang soleh dan berbakti kepada beliau. Amin...
 
 
Alhamdulillah, melalui hari-hari  selama 7 bulan bersama khalifah di dalam rahim tersangat indah. Sudah kali kedua membuat ujian MOGTT, bersyukur ke hadrat Ilahi keputusan masih normal. Tapi manis ini tetap perlu dijaga sampai bila-bila kan? Sakit belakang, letih itu tetap ada terutama sekali bila pulang dari kerja. In shaa Allah moga tetap diberi kekuatan hingga ke akhirnya.
 
Dah masuk bulan Zulhijjah, maka sama-samalah kita perbanyakkan amalan terutama pada 10 hari terawal Zulhijjah ni. Terdapat kelebihannya yang diterangkan di dalam hadis dan al-Quran. Antara hadis yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini ialah hadis daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda,
"Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan beramal padanya lebih dikasihi Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertahmid dan bertakbir." (Hadis Riwayat Ahmad)
Jadi, walaupun kita yang masih belum berkesempatan berada di Tanah Suci pada hari-hari seperti ini, mudahan amalan yang diamalkan ini akan memberi seribu fadhilat buat kita semua. Salam Zulhijjah semua..^_^
Wassalam..
 

Friday, August 29, 2014

Wasiat Rasulullah Kepada Fatimah az-Zahra - Buat ISTERI

 
 
 Apa sebenarnya tujuan kamu berkahwin?” 
Teringat pertanyaan seorang penceramah semasa kursus pra perkahwinan dahulu. Maka setiap seorang yang ditunjuk memberi jawapan yang berbeza, dan saya tertarik dengan satu jawapan yang amat menarik. 
Kerana perkahwinan itu adalah tabung pahala, tabung akhirat yang tidak terkira simpanannya,”

Bila dikatakan tentang ‘tabung’, ia adalah satu alat yang digunakan untuk mengumpul sesuatu yang sedikit agar akhirnya menjadi banyak dan dapat kita tuai hasilnya. Maka apabila dikatakan sebagai ‘tabung akhirat’, ‘tabung pahala’, maka di sinilah tempat kita mengumpul pahala sedikit demi sedikit untuk dituai di akhirat kelak. Bagaimana? Semestinya dengan penunaian seikhlasnya kepada suami dan anak-anak. Di sini, ingin saya kongsikan bersama wasiat Rasulullah kepada anak kesayangannya, Saidatina Fathimah az-Zahra untuk kita jadikan renungan.

WASIAT RASULULLAH KEPADA FATIMAH AZ-ZAHRA

1.   Ya Fathimah, kepada wanita yang membuat tepung untuk suami dan anak-anaknya, Allah pasti akan menetapkan kebaikan baginya dari setiap biji gandum, melebur kejelekan, dan meningkatkan darjat wanita itu.

2.   Ya Fathimah, kepada wanita yang berkeringat ketika menumbuk tepung untuk suami dan anak-anaknya, nescaya Allah menjauhkan dirinya dengan neraka tujuh tabir pemisah.

3.   Ya Fathimah, tiadalah seorang yang meminyaki rambut anak-anaknya lalu menyisirnya dan mencuci pakaiannya, melainkan Allah akan menetapkan pahala baginya seperti pahala memberi makan seribu orang yang kelaparan dan memberi pakaian seribu orang telanjang.

4.   Ya Fathimah, tiadalah wanita yang menahan kebutuhan tetangganya, melainkan Allah akan menahannya dari minum telaga kausar pada hari kiamat nanti.

5.   Ya Fathimah, yang lebih utama dari seluruh keutamaan di atas adalah keredhaan suami terhadap isteri. Andaikata suamimu tidak redha kepadamu, maka aku tidak akan mendoakanmu. Ketahuilah wahai Fathimah, kemarahan suami adalah kemurkaan Allah.

6.   Ya Fathimah, apabila wanita mengandung, maka malaikat memohonkan ampunan baginya, dan Allah menetapkan baginya setiap hari seribu kebaikan serta melebur seribu kejelekan. Ketika wanita merasa sakit akan melahirkan, Allah menetapkan pahala baginya sama dengan pahala para pejuang di jalan Allah. Jika dia melahirkan kandungannya, maka bersihlah dosa-dosanya seperti ketika dia dilahirkan dari kandungan ibunya. Bila meninggal ketika melahirkan, maka dia tidak akan membawa dosa sedikitpun. Di dalam kubur akan mendapat pertamanan indah yang merupakan bagian dari taman syurga. Dan Allah memberikan pahala kepadanya sama dengan pahala seribu orang yang melaksanakan ibadah haji dan umrah, dan seribu malaikat memohonkan ampunan baginya hingga hari kiamat.

7.   Ya Fathimah, tiadalah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang hati serta ikhlas, melainkan Allah mengampuni dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebaikan. Dan Allah memberikan kepadanya pahala seratus kali beribadah haji dan umrah.

8. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang tersenyum di hadapan suami, melainkan Allah memandangnya dengan pandangan penuh kasih.

9. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang membentangkan alas tidur untuk suami dengan rasa senang hati melainkan para malaikat yang memanggil dari langit menyeru wanita itu agar menyaksikan pahala amalnya, dan Allah mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.

10. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang meminyaki kepala suami dan menyisirnya, meminyaki janggut dan memotong kumisnya, serta memotong kukunya, melainkan Allah memberi minuman yang dikemas indah kepadanya yang didatangkan dari sungai-sungai syurga. Allah mempermudah sakaratulmaut baginya, serta kuburnya.

Subhanallah, betapa Allah menyayangi insan yang bernama isteri. Lalu di mana tuduhan yang mengatakan isteri di dalam Islam tidak diangkat darjatnya?  Beruntungnya menjadi wanita. Selamat menjadi isteri, selamat menjadi penabung yang sejati..^_^

sumber: Google

Wassalam.

Thursday, August 14, 2014

PERNIKAHAN ISLAM - Drama vs Realiti

 
 

Ikatan perkahwinan merupakan sebuah ikatan yang suci dan mulia. 
Itu yang selalu diungkapkan oleh kisah-kisah dan filem-filem bukan sahaja Melayu malah bangsa yang lain. Sekalipun perkahwinan itu dibuat atas dasar terpaksa menerima, selepas berlakunya akad, suami tetap menjadi suami dan isteri tetap menjadi isteri. Tetapi melihat kepada drama atau filem yang dipaparkan pada masa kini, sekalipun drama tersebut adalah drama berunsurkan Islam, apabila isteri tidak menerima suaminya sekalipun suami itu baik kepadanya, bagi saya, itu tidak menunjukkan bagaimana Islam sebenar.

Mendapat seorang suami yang baik, berakhlak tinggi, beriman adalah idaman setiap wanita. Tetapi kerana frasa ‘terpaksa’, ‘tidak ada perasaan cinta’ yang akhirnya membuatkan isteri tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri, tidak mentaati suami, membayangkan lelaki lain selain suami, ini memang tidak sesuai. Setebal mana rasa terpaksa apabila dikahwinkan dengan orang lain, setebal manapun rasa benci dan tiadanya rasa cinta di dalam hati isteri, apabila sudah bergelar isteri, syurganya tetap di tangan insane bernama suami. Sepatutnya isteri berusaha sebaiknya menerima kehadiran suami yang telah dijodohkan untuknya, bukan memberontak mempertahankan rasa cinta hati kepada lelaki yang bukan menjadi miliknya.

Luahan ini bukan menunjukkan kepada sesiapa, tetapi melihat drama yang banyak memaparkan perkara sebegini membuatkan saya rasa ingin bersuara dan meluah. Seolah-olah kesucian cinta manusia itu lebih agung berbanding cinta yang telah Allah tunjukkan kepada manusia sehingga akhirnya tanpa disedari membawa selangkah kaki wanita itu ke lembah neraka. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambanya. 

Malah di dalam hadis riwayat Abu Hurairah ra ada menyatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda,

Sekiranya boleh aku menyuruh seorang sujud kepada seorang nescaya akan aku suruh kaum isteri supaya sujud kepada suami mereka.”

Bukan bermaksud merendahkan martabat isteri, tetapi menunjukkan betapa insan bergelar suami itu adalah salah satu tabung pahala dan kunci wanita untuk ke syurga. Sujud yang memberi maksud taat itu, bukan hanya kerana rasa cinta. Ada cinta baru nak taat, ada perasaan cinta kepada suami baru nak tunduk. Inilah cinta suami isteri yang sekadar bersandarkan cinta manusia semata-mata. Alangkah indah andai isteri mencintai suami kerana Allah telah tetapkan dia menjadi suami. Suami menyayangi isteri kerana Allah telah amanahkan isteri itu kepada dirinya. Semuanya bersandarkan Allah, indahnya kehidupan rumah tangga. Jika bersandarkan perasaan, emosi dan nafsu, semuanya akan gundah.

Semoga kita terpelihara daripada persepsi negative tentang keindahan rumahtangga bersandarkan ajaran Islam. 

Wassalam..


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram