Ikatan
perkahwinan merupakan sebuah ikatan yang suci dan mulia.
Itu yang selalu
diungkapkan oleh kisah-kisah dan filem-filem bukan sahaja Melayu malah bangsa
yang lain. Sekalipun perkahwinan itu dibuat atas dasar terpaksa menerima,
selepas berlakunya akad, suami tetap menjadi suami dan isteri tetap menjadi
isteri. Tetapi melihat kepada drama atau filem yang dipaparkan pada masa kini,
sekalipun drama tersebut adalah drama berunsurkan Islam, apabila isteri tidak
menerima suaminya sekalipun suami itu baik kepadanya, bagi saya, itu tidak
menunjukkan bagaimana Islam sebenar.
Mendapat
seorang suami yang baik, berakhlak tinggi, beriman adalah idaman setiap wanita.
Tetapi kerana frasa ‘terpaksa’, ‘tidak ada perasaan cinta’ yang akhirnya
membuatkan isteri tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri, tidak
mentaati suami, membayangkan lelaki lain selain suami, ini memang tidak sesuai.
Setebal mana rasa terpaksa apabila dikahwinkan dengan orang lain, setebal
manapun rasa benci dan tiadanya rasa cinta di dalam hati isteri, apabila sudah
bergelar isteri, syurganya tetap di tangan insane bernama suami. Sepatutnya isteri
berusaha sebaiknya menerima kehadiran suami yang telah dijodohkan untuknya,
bukan memberontak mempertahankan rasa cinta hati kepada lelaki yang bukan
menjadi miliknya.
Luahan ini
bukan menunjukkan kepada sesiapa, tetapi melihat drama yang banyak memaparkan
perkara sebegini membuatkan saya rasa ingin bersuara dan meluah. Seolah-olah
kesucian cinta manusia itu lebih agung berbanding cinta yang telah Allah
tunjukkan kepada manusia sehingga akhirnya tanpa disedari membawa selangkah
kaki wanita itu ke lembah neraka. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambanya.
Malah di
dalam hadis riwayat Abu Hurairah ra ada menyatakan, Rasulullah SAW pernah
bersabda,
“Sekiranya
boleh aku menyuruh seorang sujud kepada seorang nescaya akan aku suruh kaum
isteri supaya sujud kepada suami mereka.”
Bukan
bermaksud merendahkan martabat isteri, tetapi menunjukkan betapa insan bergelar
suami itu adalah salah satu tabung pahala dan kunci wanita untuk ke syurga. Sujud
yang memberi maksud taat itu, bukan hanya kerana rasa cinta. Ada cinta baru nak
taat, ada perasaan cinta kepada suami baru nak tunduk. Inilah cinta suami
isteri yang sekadar bersandarkan cinta manusia semata-mata. Alangkah indah
andai isteri mencintai suami kerana Allah telah tetapkan dia menjadi suami.
Suami menyayangi isteri kerana Allah telah amanahkan isteri itu kepada dirinya.
Semuanya bersandarkan Allah, indahnya kehidupan rumah tangga. Jika bersandarkan
perasaan, emosi dan nafsu, semuanya akan gundah.
Semoga kita
terpelihara daripada persepsi negative tentang keindahan rumahtangga
bersandarkan ajaran Islam.
Wassalam..
No comments:
Post a Comment