Buat KakikuSukaBerjalan...
"Anak-anak ibarat meletak telur di hujung tanduk, sekali terabai, kita menyesal seumur hidup."
Indahnya merasai pengalaman mengandung 9 bulan, indahnya memiliki anak hasil pernikahan yang dirai dan direstui, ini semua dirasai oleh segelintir wanita yang diberi rezeki oleh Allah. Namun bagi segelintir yang lain, nikmat ini mungkin 'ditahan' atas sebab dan pengetahuan yang hanya pemberinya sahaja yang mengetahui iaitu Allah. Siapa kita untuk mengatakan dia tidak diberi rezeki kerana begitu dan begitu. Namun sekali lagi, mulut manusia tidak mudah untuk ditutup mengikut kehendak kita.
Membaca post sahabat yang mungkin hanya saya kenali di laman blog di SINI, memberi pelbagai perasaan kepada penulis. Walaupun pengalaman saya hanya setahun berada di dalam keadaan beliau, namun saya faham apa yang cuba disampaikan dan apa yang dirasakan oleh beliau kala itu. Jelas sekali tidak ada dalil yang mengatakan seseorang tidak dikurniakan anak kerana perangai dan perbuatan lampau. Lantas, apakah hak seseorang untuk menuding jari dan melemparkan kata-kata yang seolah-olah mereka itu mengetahui apa yang orang lain lakukan pada masa lampau.
Buat mereka yang belum dikurniakan rezeki anak,
1. Bersabarlah..
Allah sendiri telah berkata kepada hamba-Nya di dalam surah al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud,
"..Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya."
Semuanya rahsia Allah dan benar kata Ina, boleh jadi dengan memiliki anak, kita semakin jauh daripada-Nya. Boleh jadi kita masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah. Hanya Allah sahaja yang tahu.
2. Berusahalah..
Usaha dan doa, harapnya tidak akan terhenti selama mana masih belum diperolehi apa yang dihajati. Allah berfirman, "Mintalah padaku, nescaya akan Aku kabulkan permintaanmu." Ini janji Allah...
Muhasabah...andai masih belum terkabul permintaan. Muhasabah di setiap penjuru yang memungkinkan permintaan itu ditahan oleh Allah.
Ungkapan 'tunaikan hajat orang lain, maka hajat kamu akan ditunaikan' selepas menonton sebuah drama suatu masa dulu memang saya percaya hingga kini. Cuba tunaikan hajat orang lain semampu kita, tapi niatkan seikhlasnya. Allah lebih mengetahui...
3. Bertawakallah..
Allah tahan sesuatu kerana Allah sayangkan kita, Allah ambil semula apa yang kita ada kerana Allah sayngkan kita. Segala yang kita ada, semuanya milik Allah. Bayangkan... seorang insan yang dikurniakan anak, dijaga, ditatang umpama minyak yang penuh, diberi segalanya..setelah beberapa tahun, diambil semula oleh Allah selama-lamanya..... bandingkan diri dengan insan yang lebih malang daripada kita, nescaya ketenangan akan menyusul..
Ya Allah,
Berilah ketenangan
Pada hati mereka yang engkau jadikan pilihan
Menempuh kehidupan penuh ujian
Yang engkau jadikan papan ukuran
SayangMu yang langsung tidak pernah mampan
Ya Allah,
Berilah keyakinan
Pada jiwa mereka yang engkau simpan
Untuk meraih kasih dan cinta di hari kemudian
Agar jiwa itu menjadi kekuatan
Meneguhkan kasih dan yakin pada Tuhan
Moga hajat mereka Engkau kabulkan...
Wallahua'lam..
No comments:
Post a Comment