Wednesday, December 16, 2015

Kejutan Ulangtahun Perkahwinan

 
 
Haha, tajuk yang bukan main lagi search kat google semata-mata nak buat kejutan untuk suami sebelum kejadian. Dan alhamdulillah, menjadi akhirnya. Mana tahu, ada yang nak buat jugak kan lepas ni..
 
Okay, rancangan nak ke Sabah sebenarnya out of the plan untuk tahun ni. Actually, suami je yang nak ke sana untuk hadiri majlis perkahwinan kawan dia. Jadi, awal tahun lagi dah beli tiket. Nak dijadikan kisah, kawan dia tukar tarikh kahwin awal seminggu atas sebab tertentu. So,balik je daripada pejabat, suami terus bagi cadangan, daripada dia pergi sorang-sorang ke Sabah, baik dia bawak anak dan isteri sekali..sambil sambut anniversarry katanya. Jadi bermulalah misi mencari tiket dan penginapan untuk percutian 2 hari 2 malam tu.
 
Malam pertama di Sabah, kami duduk di Le Hotel. Bilik di situ..okey jugaklah.. Nanti saya cerita pada entry yang lain eh. Malam kedua...setelah beberapa hari memikirkan rancangan suami, akhirnya kami membuat keputusan untuk menginap di Nexus Karambunai Resort & Spa. Banyak kali jugaklah nak cantas rancangan suami ni sebab harga pun boleh tahan. Suami cakap, "Takpela, kan nak sambut anniversary sekali.." Last-last, terbooked jugak akhirnya via Agoda. Nasib baik waktu tu Agoda ada diskaun.
 
Ha, dari sinilah rancangan bermula. Dua minggu sebelum penerbangan, terfikir pulak nak plan sesuatu untuk ulang tahun. Dan pilihan tempat adalah di Karambunai. Alang-alang kan dan nak bercuti, biar ada memori daun pisang. Akhirnya setelah membuat beberapa penyelidikan, (ha tekun tak tekun nak buat kau..) saya pun hantar email kat pihak hotel untuk cadangkan suprise ni. Dan respon daripada pihak hotel amat cepat. Diorang cadangkan beberapa suprise termasuk buah dan kek.
Lepas fikir dan fikir lagi, akhirnya saya buat keputusan untuk ikut satu cadangan diorang iaitu rose petal kat atas katil, tambah satu lagi idea sendiri. Dan pada waktu kejadian... checkin pukul 2. Masa checkin nilah, belum pape lagi, receptionist siap wish anniversary lagi kat kitorang. Ingat suami tak perasan. Waktu on the way ke bilik, suami tanya, "Eh, macam mana die tahu kita nak sambut anniversary?" Dengan lantangnya bagi jawapan, "Entahlah!" Nasib baik sampai tu je persoalan dia. Kira dia taknak ambik kisahlah waktu tu.
 
Masuk bilik, mata terus carik sesuatu. Aha, ada buah atas meja. Pegi carik peti sejuk, yeay, dah ada kek. Terus letak atas meja. Siap ada kad lagi dari pihak hotel. Suami masuk je, tengok kad, kek dan buah terus seret mata kat si isteri. Yes, satu dah menjadi! 
Kek yang sangat sedap tapi 1/4 je makan. Yang lebih tu, setengah kitorang potong bagi kat pengantin baru. Dan selebihnya simpan dalam peti sejuk, mana tau kakak cleaner nak makan.
For the next suprise adalah pada malamnya. Ha, ingat sampai tu je suprise, tungguuu ye encik suami. Rancangan awalnya, malam tu kawan suami akan datang bawak kitorang pergi dinner. So, saya bagitau pada pihak hotel untuk buat suprise tu waktu kitorang keluar dalam jam 7.30 malam. Nak dijadikan kisah, kawan dia tak jadi datang pulak. Mak ai waktu tu, hati dah berdebar-debar dah takut plan tak jadik. Apa-apa pun, mesti ajak suami keluar sebelum jam 7.30. Mandikan Rafi awal-awal, mandi dan solat siap-siap, terus ngadu lapar kat suami. Padahal waktu tu tak lapar pun. Haha.. Dan jawapan suami, "Abang memang nak ajak sayang makan kat restoran kat bawah tu nanti." Terus hilang rasa resah tu sikit. Sekarang, kena pastikan kami keluar malam tu dalam jam 7.30 malam. Alhamdulillah, Rafi yang tengah tidur tu pun terbangun jugak jam 7, terus siap-siap nak pergi dinner.
 
Habis makan dalam jam 8.30, suami ajak balik bilik cepat sebab Rafi terberak pulak waktu tengah makan tu. Sebelum tu, ajak dulu diorang dua ni jalan-jalan sebab takut pihak hotel tak siap lagi. Dah habid tempat jalan, dengan hati berdebar kitorang balik bilik. Naik lif...jalan ke bilik.... Ya Allah, waktu tu jantung rasa nak keluar je. Siap baca lagi doa, Rabbi yassirni..rabbi yassirni... haha.. Dah nak sampai bilik, tengok kat doorway tu diorang pasang lampu. Hah sudah, masih ada orang ke kat dalam? Sampai kat pintu, scan kad. Dan akhirnya....tadaaa...
 





Daripada pintu masuk, taburan bunga sampai ke katil. kemudian tiap hujung tali helium balloon tu, ada kata-kata yang saya emailkan pada pihak hotel. 

Respon suami? Senyap! "Sayang....". Respon isteri, "Happy anniversary abang!!" Respon Rafi, habis semua bunga dia pijak-pijak. And I saw his tears........^_^ Itulah kemuncaknya..
 
 
Last sekali, apa jadi pada bunga ros yang banyak-banyak tu? 
 
 Tadaa...kutip, tabur kat bilik mandi yang luas tu...haha. Sayang kan nak buang..

Dan balloon tu, esoknya ada dua bijik je yang masih terbang. Kitorang tanggalkan tali, bawak turun pantai dan lepaskan ke langit... seronok!! Begitulah alkisahnya.. Moga dapat jugak jadi inspirasi idea buat semua..

"Tak ada apa yang dapat saya balas dengan apa yang Allah pinjamkan pada saya. Syukur atas segala nikmatNya. Semoga perjalanan yang masih jauh antara kami sentiasa dipayungi redha dan keberkatan Ilahi. Amiinn ya Rabbal 'alaminn..."

 
Doakan kami ya semua....
 
 
 
 

Wednesday, August 12, 2015

Banyakkan Memberi, Kurangkan Meminta

Wajah sugul seorang isteri datang meluah kepada saya, "Ustazah, kadang-kadang saya sudah jemu dengan suami saya. Dia datang hanya bila perlukan saya. Pergi dan tidak pedulikan saya bila semua hajatnya telah dipenuhi. Saya tekad ustazah, untuk membubarkan perkahwinan ini."

Jujur sebagai seorang yang bukannya perunding rumahtangga, saya hanya mampu memberi nasihat dan pandangan sebagai seorang sahabat buat beliau. "Hal yang halal tetapi tidak disukai oleh Allah itu adalah cerai." Kata itu yang terlintas di fikiran pada waktu itu.

"Tapi dia seperti mengabaikan saya. Nak hantar ke kelas ini pun dia marah. Dia cakap waktu macam ni baru nak perlukan dia. Sebelum ni tak peduli pun."

Nah, dari perbualan itu saya dapat menangkap sesuatu. Kata 'waktu ini baru perlukan dia, sebelum ini tak peduli pun' itu memberi suatu gambaran buat saya bahawa suami itu rasa tidak diperlukan sebelumnya. Saya lantas tersenyum dan cuba menutur sedikit nasihat buatnya.

Dalam tulisan ini saya cuba untuk sama-sama berkongsi tentang apa yang kadang-kadang kita rasa betul sebagai seorang manusia tetapi kadang-kadang kita alpa dan leka sehingga akhirnya memberi kesan yang kurang baik buat kita termasuk diri saya sendiri. 'What you give, you get back'. Frasa yang memang selalu dituturkan dan amat berkaitan dalam kehidupan seharian. Saya dahulu pernah mengeluh apabila terpaksa menunggu lama di hospital sedangkan kalau berada di hospital swasta layanannya agak cepat sedikit. Lantas, inilah frasa yang selalu suami balas kepada saya. 
Lantas ini juga yang berlaku dalam kehidupan seharian. Kita berkahwin dengan manusia, yang punya keinginan, punya perasaan yang berubah-ubah. Malah kita sendiri pun kadang-kadang inginkan sesuatu dan kalau tidak diberikan, perasaan boleh berubah-ubah. Cuba kita ingat semula dalam waktu-waktu percintaan sebelum berkahwin. Saya pasti, ramai yang sanggup untuk memberi apa sahaja kepada pasangan semata-mata untuk menarik hati yang dicinta. Jadi mengapa tidak sedemikian setelah lama berumahtangga? 
Jadi di dalam keadaan seperti si isteri tadi, ini nasihat saya:

1. Dekatkan diri kepada pemilik hati

Hati itu boleh berbolak balik mengikut kehendak penciptanya. Hati kita, hati suami, hati sesiapapun. Jadi mengapa tidak kita adukan segalanya kepada pemilik itu sendiri? Nikmat terbaik yang kita perolehi adalah sesuatu perkara berlaku kepada kita yang akhirnya mendekatkan kita kepada Allah walaupun ianya menyakitkan. Ambillah nikmat ini dan kita akan menjadi kuat, lebih kuat daripada sangkaan kita. Mengadulah... 

2. Banyakkan memberi

Setiap isteri memiliki tanggungjawab yang wajib ditunaikan kepada suami. Profesor Muhaya selalu menjawab pertanyaan mereka yang memiliki masalah seperti ini dengan satu pertanyaan yang lain. 'Sebelum kita bertanya apa yang orang bagi kepada kita, pernah tak kita bertanya apa yang telah kita beri kepada orang itu?' Kita kadang-kadang sibuk bertanya, kenapa orang lain dapat begini, kenapa tidak kita? Pernah tak kita soal diri sendiri, saya pernah tak memberi layanan seperti ini kepada orang lain? Berapa banyak kebaikan saya telah beri kepada orang lain? Nah, cuba fikirkan..

3. Bincang, bincang dan bincang
 
Rasulullah SAW merupakan insan yang menekankan amalan bermusyawarah sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan masalah. Di mana-mana sekalipun, apa keadaaan masalah sekalipun berbincang itu merupakan salah satu penyelesaiannya. "Suami saya orang yang sukar untuk diajak berbincang, ustazah." Suami memiliki ego tersendiri. Sebagai seorang lelaki memang tidak dinafikan mereka tidak mahu dilihat lemah pada mata sang isteri. Lantas nasihat saya pada beliau, jangan ajak waktu hati tengah marah. Tunggu masa yang sesuai untuk diajak berbincang, tetapi dalam waktu menunggu itu, layan suami sebaiknya. Kalau tidak dilayan, sampai bila-bila pun perbincangan tidak akan berlaku. 

4. Doa, redha dan tawakal
"Saya dah tak ada perasaan lagi pada suami saya. Saya redha, ustazah dengan apa yang saya dapat ni." Lantas saya jawab, "Puan, kalau boleh redha itu adalah usaha terakhir puan bagi masalah ini. Selagi usaha yang lain tidak lagi puan lakukan, jangan pernah menyesal dengan pilihan puan sendiri."
Rumahtangga yang dijalani bersama bertahun-tahun lamanya, mengapa sekarang sudah tidak dapat dipertahankan lagi. Sebab orang ketiga? Sebab hilang perasaan sayang? Tanya kemudiaanya pada diri, sebab akukah? Ada perkara yang kurang yang masih belum ditunaikan kepada pasangan? Kemudian atur langkah agar rumahtangga yang bertahun lamanya itu berkekalan hingga ke akhir hayat. Semoga kita semua dikurniakan rumahtangga yang bahagia, mawaddah dan sakinah. dan ingatlah, Allah adalah qawiy iaitu kuat, jika mahu kekuatan, maka mintalah daripadanya.
wallahua'lam.



Monday, August 3, 2015

Hati dan Diri -Aku Pinta CintaMu-

Merangkak memijak bumi Allah, dengan pinjaman yang sementara
Membuatkan kadang hati rasa penat, jiwa rasa berat
Helah syaitan, hati terlayan, pahala terkorban
Betapa sesal amat menghimpit perasaan dan jiwa
Menghimpit rasa adakah dosanya terhapus segera,
atau hapusnya dengan balasan yang menanti di sana
 
Terangnya hari ini, tidak akan sama dengan terangnya hari esok
Gelapnya semalam, tidak akan sama dengan gelapnya hari yang mendatang
Namun jiwa ini tetap sama esok dan selamanya
Hati ini tetap begitu saat masa berlalu membawa usia
Sungguh kadang terasa penat segala minda, memikirkan betapa
Usia lampau berlalu tanpa ada yang menyinar
Menyinar sebagai bekalan untuk masa di sana
 
Allah... diri ini malu
Malu pada dunia, malu pada makhluknya
Air mata ini
Tidak akan bisa memadamkan segala api kesilapan silam
 
Ampuni aku ya Allah, maafkan khilafku
Aku mohon, Engkau cacakkan tiang istiqamah buat diriku
Aku pinta, Engkau kibarkan rentangan keinsafan buat diriku 
Aku merayu, rapatkan aku pada mereka yang cinta pada diriMu
Agar timbulnya cinta ini melebihi cinta kepada makhlukMu
 
 
 
 

Wednesday, July 22, 2015

Kisah Raya Kami

 
 
Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillah hari ni dah masuk 6 Syawal dah. Sekejap je rasa masa berlalu. Hari raya tahun ini adalah raya yang bersejarah jugaklah kan selepas raya pertama sebagai isteri. Raya sebagai seorang ibu..haah siapa yang merasa dia taulah kan.. betapa bahagianya dan betapa 'kamboh'nya (bahasa Sarawak) saat-saat menjelang raya. Tahun ini saya ambik cuti awal seminggu koooonooonnya nak buat biskut, kek raya semua. Siap beli lagi mentega satu bekas besar kooonoonnya takut terpaksa ulang alik pergi kedai sebab tak cukup. Sekali tengok, tak terguna pon butter tu. Sempatlah guna buat muffin tapi lepas raya..haha. Nampak tak betapa gigihnya angan-anganku itu. Last-last sempat buat biskut cornflakes madu je, haha.
 
Okey, itu bab biskut. Untuk baju pulak, tahun ni suami dan saya pilih warna emerald green sebab nak sekalikan nanti nikah adik ipar. Jadi, beli kain terus sekali dalam 10 meter kemudian hantar untuk jahit. Baju melayu ayah, baju melayu Rafi dan baju kurung. Blank, kemudian macam biasa saya tambah lagi lace untuk naikkan seri baju.
 
 Tahun ni beraya dengan adik beradik yang berempat tu je. Abang turn di Sabah dan adik sorang lagi masih belum pulang waktu ni.

Rafi di pagi raya. Pasang je baju, ibu terus snap. Takut ada yang tarik-tarik kopiah taknak pakai. Oh ya, kopiah kait ni saya order dari NURIZAN AHMAD. Puas hati sangat dengan hasil kait die. Dalam kurang seminggu je dah siap kopiah Rafi. Mungkin tak ramai yang tempah kot. Orangnya pun peramah je dengan pelanggan.

This is my hobby. Tak sampai lagi tetamu, dia dah tidur dulu.

 Last but not least, keluarga kecil kami...


 Ibu, ayah dan Rafi. Oh ya, khat kufi kat belakang tu suami buat sendiri. Karang sendiri, hantar kat syarikat percetakan, dengan bingkai sekali dapat dalam RM98 sahaja. Murah sangat daripada beli yang perlu ditempah. Percubaan untuk persediaan rumah baru nanti. ^_^

Jadi itu sahaja kisah pendek raya kami. Selamat Hari Raya semua!! Maaf zahir dan batin..



Friday, July 3, 2015

Tips Duduk Bersama Mertua

 
 
Bismillahirrahmanirrahim...
Membina rumahtangga itu melibatkan banyak komitmen. Bukan sahaja antara suami isteri tetapi juga antara keluarga suami dan keluarga isteri. Bila tengok pada tajuk di atas, saya pasti ada yang berada dalam keadaan dilema terhadap keadaan ini. Saya juga selepas kahwin turut duduk sekali bersama mertua sehingga sekarang, sampailah dah beranak seorang sekarang. Seperti biasa, tiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada pro dan kontranya.
 
Bila duduk sendiri, saya akui urusan rumahtangga dapat dilakukan dengan sempurna tidak kira suami atau isteri. Suami dan anak-anak dapat makan masakan air tangan isteri dan ibu sepenuhnya, anak-anak dapat dididik dengan acuan sendiri, segala masalah rumahtangga, susah senang, risau gembira dapat dirasai hanya antara suami, isteri dan anak-anak. Lebih-lebih pula, pengalaman susah senang menjadi ibu dan ayah dapat kita rasai.
 
Namun, bagi mereka yang masih belum mampu untuk duduk sendiri, pastinya perlu bersyukur juga. Kerana ada yang membantu dari segenap tugas, lebih-lebih lagi bagi ibu ayah yang berkerjaya. Tipulah jika saya nyatakan saya tidak pernah berfikir untuk duduk sendiri, tapi perlu melihat kepada arah yang positif. Dan inilah yang selalu dinasihati oleh suami sekiranya ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya. 
"Fikir yang positif aja ya..."
 
Jadi bagi mereka yang masih duduk sebumbung dengan mertua, ingin saya ajak bersama untuk kita renungkan beberapa perkara ini.
 
Pertama: Jom Bantu Suami Jadi Anak Yang Soleh


Nampak turutan kewajipan yang ada dalam gambar di atas? Selepas Allah dan Rasulullah, kewajipan seorang anak lelaki adalah ibu bapa nya sendiri. Malah dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah ada menyatakan,
 
Aku pernah bertanya kepada baginda, "Siapakah orang yang paling layak ke atas isteri?" Baginda menjawab, "Orang yang paling berhak ke atas isteri ialah suaminya." Kemudian aku bertanya lagi, "Siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?" Baginda menjawab, "Orang yang paling berhak ke atas suami ialah ibu kandungnya."

Jadi, jomlah kita sama-sama jadikan suami kita anak yang soleh. Mudahan dengan ini dapat memberi sedikit kebaikan buat kita di akhirat nanti. In shaa Allah..
 
Kedua: Jom Tenangkan Diri
 
Mula masuk kerja dulu, Rafi memang dijaga oleh neneknya jika saya dan suami bekerja. Apabila dikira semula, selama 9 jam, 5 kali seminggu itu memang Rafi ada bersama neneknya. Masa untuk saya bersama Rafi pula adalah malamnya sahaja dan hujung minggu. Apabila dikenang dan difikirkan semula, betapa sikitnya masa saya bersama Rafi, sampai satu masa saya merasakan ingin berhenti bekerja dan menjaga anak-anak sepenuhnya dan seperti biasa, suamilah tempat bersadu.

Oleh sebab itulah, saya ingin mengajak semua yang melalui pengalaman ini untuk kita sama-sama tenangkan diri. Maksudnya, elakkan prasangka negatif terhadap apa sahaja yang berlaku berkaitan perkara ini. Satu sahaja kata-kata suami yang saya pegang jika menghadapi konflik dalaman seperti ni (walaupun kadang-kadang tak masuk jugak pun..hehe),  
"Semua yang Allah tentukan ada hikmahnya. Semua yang berlaku akan jadi positif kalau kita lihat perkara itu positif, akan jadi negatif kalau kita lihat perkara itu negatif." 
 
Jadi jom sama-sama kita tarik nafas, ingat Allah selalu. Sebenarnya kita agak beruntung kerana secara automatik kita dapat berkongsi pengalaman dengan mereka dalam pengurusan rumahtangga. In shaa Allah satu masa, akan Allah tunjukkan rahsianya...
 
Ketiga: Jom Belajar
 
Seperti yang kita tahu, keluarga suami memiliki latar belakang, bahasa, pemikiran yang agak berbeza berbanding keluarga kita sendiri. Tiada siapa yang dapat menafikan. Disebabkan perbezaan ini, kadang kala kita merasa asing, merasa berbeza lebih-lebih lagi jika keluarga itu berlainan budaya ataupun kepercayaan. Jadi jom kita sama-sama ingat kembali tatkala suami melafazkan akad nikah di hadapan kita. Saat itu, masa itu, kita sudah pun menjadi ahli keluarga yang sah kepada suami dan keluarganya. Dengan melihat perbezaan yang ada inilah kita perlu belajar untuk menerima dan mengadaptasi dalam kehidupan. Mungkin sehari, setahun, dua tahun agak sukar tapi sekurang-kurangnya kita mencuba. Dengan ini in shaa Allah akan ada keserasian di dalam rumah.

Sebagai contohnya saya sendiri, mak dan ayah mertua adalah berasal daripada Indonesia. Walaupun sudah lama di Malaysia, pelat Indonesia masih ada dan kadangkala agak sukar saya menangkap percakapan ibu dan ayah mertua. Begitu juga budaya mereka. Jadi, saya mula belajar untuk bercakap dengan suami dengan bahasa-bahasa Indonesia sejak awal perkahwinan lagi. Sekarang alhamdulillah dapat tangkap walaupun kadang-kadang ada perkataan baru yang tak pernah saya dengari.
 
Itulah tiga perkara yang kadang-kadang saya cuba guna dalam melayari rumahtangga bersama suami dan keluarga mertua. Semoga dapat diaplikasi juga buat semua. In shaa Allah it will be okay for us..
Sampai jumpa lagi...wassalam..
Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah yang bermaksud: “Aku pernah bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi, “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Hadis riwayat Bazar dan al-Hakim) Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ

Tuesday, June 30, 2015

Baby Bullet Set

 
 
 Alhamdulillah sekarang dah masuk 13 Ramadhan. Cepat je kan masa berlalu. Rafi pun sekarang dah nak masuk 8 bulan dah. Dah besar dah anak ibu yang sorang tu. Jadi sepanjang 2 bulan usia Rafi yang membolehkannya makan ni, banyak lah perkara-perkara baru yang dipelajari. Alhamdulillah walaupun Rafi dah minum susu formula, susu ibu tetap dia dapat terutama sekali waktu malam. Niat memang tetap nak bagi jugak susu badan selagi berkemampuan. Semoga Allah permudahkan..
 
Jadi hari ni, nak cerita sedikit tentang benda yang semua ibu ayah akan fikirkan bila anak dah mula nak makan ni iaitu blender untuk buat puri anak. Eh, ye ke semua fikir? Haha.. Bila fikirkan semula kan, dulu mana ada ibu-ibu yang sibuk nak buat makanan dengan blender. Ingat lagi mak dulu, guna penapis je pun nak hancurkan bubur. Jadi pada mulanya, memang tak trfikir pun nak beli blender ni. Lagipun takut nanti membazir pulak kan. Tapi nak dijadikan kisah, satu hari mak mertua suarakan pendapat untuk belikan blender ni sebab blender yang kat rumah mak tu lepas blend cili semua, jadi takut termasuk dalam makanan Rafi. Maka bermulalah proses mencari dan memilih blender. 
 
Selepas puas meng'google', saya dan suami pun survey la kan. Kemudian, jumpa blender jenama Philip yang memang khas untuk blend puri. Harganya RM160. Tapi waktu tu tak beli terus pun, masih nak survey-survey lagi.
 
Blender ni cup die kecil je. Sesuai sebab kita blend puri sikit-sikit je kan. Kalau guna blender yang besar tu, takut dia tak kisar betul-betul. Kena isi banyak baru dia gerak.
 
Blender yang kedua pulak ialah Baby Bullet. Apa yang menarik perhatian saya pada set Baby Bullet ini adalah dia sertakan sekali dengan bekas-bekas kecil tempat letak puri dan juga sediakan buku-buku panduan terutama sekali buat ibu anak sulung macam saya ni. Harganya 1 set hari dalam RM130. 
 
Dan setelah berbincang dengan suami, kami putuskan untuk guna Baby Bullet ni je. Tempah dan sampai di tangan. Jadi perkara pertama sekali tentulah basuh kan semua-semua part yang ada. Dah siap basuh, tanya kat suami, "Abang, ni nak kena steril ke?" dan dengan penuh yakinnya suami jawab, "Haah la kan, steril je semua." Maka dengan penuh ketaatan saya masukkan botol-botol kecik yang comel tu kat dalam sterilizer kemudian penutup atas blender yang besar tu. Tekan 'ON'. 

Keesokannya, balik dari mengajar, suami dengan wajah yang sugul tegur, "Sayang, mintak maaf. Tau tak apa jadi kat baby bullet yang kita steril semalam? Huhu, sedih sangat..." Hah sudah. Kalau suami bunyi macam tu, memang confirm ada sesuatu yang tak enak telah berlaku. Kemudian dia tunjuklah apa dah jadi dengan part yang disteril semalam tu.

Nampak tak botol tu dan menggemokkan diri daripada sekurus-kurus botol. Haha.. Dan kepala dia dah jadi segiempat. Nasib baik penutup dia masih muat nak tutup botol-botol tu. Ye, botol-botol ye, maksudnya bukan satu je, semua sekali dah jadi gemuk. Dan penutup blender tu pulak dan kemik sangat memang tak boleh nak guna. Last-last masuk dalam tong sampah TANPA PERNAH DIGUNAKAN. hee.. JAdi je macam tu, cakap kat suami "Takpelah, bukan rezeki kita, nak buat macam mana kan..." Pasrah dan reda...^_^

Boleh lagi kan nak simpan? Okey la tu...

Okey, itu cerita pertama. Kemudian cerita kedua. Dah syokla jugak guna baby bullet ni. Blend pertama, okey. Blend kedua, excited. Blend ketiga, gembira. Ni lain-lain harilah ye. Blend kali keempat, blade dia bergerak, tak lama lepas tu berhenti. Panggil suami tanya kenapa boleh berhenti. Suami pun cuba lagi. Bau hangit! Asap keluar dari lubang-lubang blender. Tutup terus, okey biar dia sejuk dulu. Mana tau lepas tu boleh. Malam tu cuba lagi, bunyi je ade tapi blade lansung tak gerak. Dan lagi, bau hangit! Alamak... Dan secara rasminya, blender tu dah tak boleh guna dah. 

Suami suruh hantar untuk baiki semua, tanya warranty. Sampai sekarang belum lagi tanya sebab kalau barang elektrik ni, saya agak tawar nak baiki lagi. Sebab tak mustahil boleh rosak lagi. Jadi malam tu sedihla jugak kan, baru beli dah rosak. Kemudian suami cakap, "Takpelah, bukan rezeki kita kan, mungkin duit yang kita guna untuk beli baby bullet ni bukan spenuhnya duit kita. Fikir yang positif je okey.." Sekali lagi saya pasrah dan reda. Syukur sangat dapat suami yang boleh buat fikiran kita yang sempit ni jadi lapang balik. 

Jadi, itulah kisah saya dan blender Baby Bullet. Mungkin cara penggunaan yang tak betul atau memang set yang saya beli agak fragile. Itu wallahua'lam. Yang penting lepas ni, kena guna penapis balik untuk buat puri Rafi. Hee...

Ok, jumpa lagi. Wassalam.

Friday, May 29, 2015

Buat Mereka Yang Kecewa Dalam Bercinta

 
 
"Hidup tidak selalunya indah, Langit tak selalu cerah,
Suram malam tak berbintang, Itulah lukisan alam,
Begitu aturan Tuhan.."
Melalui zaman percintaan merupakan satu kebahagiaan yang memberi bunga dalam kehidupan manusia. Namun kecewa dalam bercinta juga merupakan saat yang terlalu sedih buat seseorang. Sesiapa yang pernah melalui pasti merasai keperitannya. Walau dengan apapun sebabnya, putusnya bercinta itu ibarat putusnya hati. Saya juga pernah melaluinya, pergilah ke mana pun, perasaan sedih, pilu dan kecewa itu pasti akan mengusung ikut. Seperti lebah mengejar orang yang mengganggu sarangnya. Ke mana sahaja pasti akan diiringi, tapi iringannya itu amat menyakitkan. Allah, waktu itu tertanya-tanya kenapa boleh terjadi sedemikian? Kenapa ini pengakhirannya sedangkan pelbagai janji manis telah diungkap dan dimeterai bersama? Kenapa tiada siapa yang memahami hati ini?

Buat seketika, marilah Insan Yang Kecewa, kita sama-sama mengimbas kembali di mana bermulanya kita. Daripada hanya seketul daging, kita diberi jantung yang berdegup. Jantung yang akhirnya menandakan bahawa kita dapat melalui kehidupan setelah keluarnya dari rahim ibu. Jantung yang membesar bersama-sama kita sehingga jantung itu berdegup kencang saat kita jatuh cinta. Saat memandang orang yang dicinta. Dan akhirnya jantung itu masih berdegup saat cinta yang disemat terputus di tengah jalan. Bayangkan jantung yang masih berdegup saat kita membaca artikel ini, tanyakan pada diri. Siapakah pemilik sebenar jantungku ini? Siapakah yang menciptakan jantungku ini? Sudah ada jawapannya? Tenang sedikit kan setelah mengetahui asalnya jantung kita? Alhamdulillah...

Insan Yang Kecewa, saya berkisah hasil pengalaman sendiri. Saya berkongsi hasil ceritera cinta sendiri. Tatkala hati saya dirundung kecewa yang sebegitu, hanya satu yang saya pegang dan harap anda juga memegangnya. Firman Allah yang nyata-nyata termaktub di dalam surah al-Baqarah,

“Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah, kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.”

Memegang ungkapan 'ada sesuatu yang kamu cintai itu membawa keburukan kepada kamu' itu amat memberi kesan dalam pegangan hidup saya hingga sekarang. Betapa ketika bercinta, semuanya indah pada pandangan mata. Insan yang dicinta seolah-olah dianggap mengenali diri sejak azali lagi. Padahal hanya bibit-bibit tahun sahaja insan tersebut dikenali. Tanyalah diri kita wahai Insan Yang Kecewa, adakah kita lihat keburukan yang ada pada insan yang dicintai. Pasti jawapannya, tidak. Atau, ada tapi sedikit sahaja. Anda yakin dengan jawapan itu? Jika yakin, maka pasangan anda tidak sempurna. Kenapa saya berkata sedemikian? Kerana tiada siapapun yang sempurna kecuali Allah semata-mata.

Insan Yang Kecewa, percayalah, ada sesuatu yang Allah simpan dan rahsiakan daripada kalian. Ada sinar yang tidak akan terhingga nilainya sedang menanti di hadapan. Sebab itu ada dinyatakan, tidak akan timbul pelangi jika tiada hujan yang turun. Alangkah indahnya jika saat kecewa bercinta, segala rintihan, rayuan, harapan diserahkan sebulat-bulatnya kepada Pemilik Cinta. Allahu rabbana.. Malah Dia sendiri ada menjanjikan..
"Ingatlah padaKu, kerana dengan mengingatiKu, nescaya hati akan menjadi tenang."
Ya, ketenanganlah yang anda perlukan saat ini. Bukan memikirkan perkara lain yang akhirnya membenarkan hati dan fizikal melakukan sesuatu yang tidak patut dilakukan sebagai seorang manusia yang berakal. Percayalah tatkala Allah tunjukkan 'rahsia' yang disimpan, pada waktu itu betapa kamu bersyukur yang teramat, betapa kamu melihat kejadian lampau itu sebagai suatu lipatan kisah yang tawar dan akhirnya kamu bertemu dengan sebuah kemuncak kisah yang dinanti-nantikan orang ramai. Percayalah wahai Insan Yang Kecewa...

Senyumlah... Andai tidak mampu, menangislah... Menangis sepuasnya, tapi jangan lupa pada senyuman yang sedang menanti. 'Senyuman' yang akan membuatkan bibir dan hati tidak pernah berhenti untuk memancarkan kebahagiaan. Semoga Allah sentiasa berada bersama kita, mengampunkan segala dosa-dosa kita dan memberi kekuatan dalam hati kita.

"Jadilah rumput nan lemah lembut, Tak luluh dipukul ribut
Bagai karam di dasar lautan, Tak terusir dilanda badai."

Wednesday, April 29, 2015

Rafi and his 4 month journey

  Assalamualaikum semua. 
Hai, dah lamo beno tak melawat blog sendiri ni. Bukan sebab sibuk, mungkin sebab kurang sedikit rasa nak merajinkan diri menaip. Alhamdulillah, selepas post terakhir hari tu, sekarang Rafi dah pun sampai 5 bulan. Berat terbaru 6.9 kilogram. Rafi sekarang sudah pandai terbalikkan badan tapi sekejaaap je. Lepas tu merengek mintak baringkan semula. 
 
Dan idaman setiap ibu untuk menyusukan anak sehingga 2 tahun, maksudnya exclusively breastfeeding tidak dapat saya lakukan bila kecundang masa 3 minggu dah masuk kerja. Waktu tu stok yang saya simpan memang dah habis sepenuhnya. Tinggal pam hari ini untuk esok je, itu pun tak mencukupi. Akhirnya saya terpaksa akur untuk menjadikan susu fm sebagai backup. Kali pertama suami cakap dia nak belikan susu tu, hati ni Allah je tahu. Balik-balik rumah, tengok muka Rafi, terus minta maaf kat dia..sob..sob
 
Tapi tetap, suami beri semangat
" Kita bukan tak bagi lansung susu ibu kan, walaupun ada susu fm, tetap jugak kita bagi kebaikan susu ibu. Jangan risau, Allah tahu usaha kita dan rezeki kita tahap mana. Ada hikmahnya semua ni"
Ha, mau tak nangis bila dengar dia cakap macam ni..terus lega jiwa raga.
 

Alhamdulillah Rafi membesar dengan sihat dan ceria. Suka senyum kat orang lain. Tiap kali pulang kerja, kalau dia bangun mesti senyum-senyum ibu ayah pulang. Tapi kalau jumpa ayah, bukan setakat senyum, dengan jeritan sekali yang keluar. Ibu tak pulak..maybe ibu die jenis yang tenang je kot.. konon...^-^


Ibunya pula sekarang ni sedang berusaha untuk menurunkan berat badan secara perlahan. Nak diet betul-betul, takut effect pada penyusuan pulak. Memang dalam hati nak sangat berusaha untuk beri susu ibu untuk Rafi walaupun sekarang bercampur dengan fm. Mudahan Allah mudahkan..amin.. Biarlah orang nak cakap gemuk pun, yang penting sihat dan bahagia..kan? Cewah, ayat sedapkan hati sendiri. 

Oh ya, masa Rafi 4 bulan hari tu terjumpa gambar bayi-bayi yang diambik dari bulan ke bulan. Maksudnya tiap perkembangan bayi dari sebulan ke sebulan diambil sampaila diorang setahun. Syok... Tapi sayangnya Rafi dah 4 bulan dah pun. 



 Sweet kan...dari yang kecik sampaila besar, dari yang botak sampailah yang berambut. Jadi, Rafi masuk 5 bulan hari tu, mulalah kerja meng'edit' gambar Rafi untuk kenangan masa akan datang. Tak dapat buat yang macam kat atas takpelah, asalkan besar nanti Rafi boleh tengok perkembangan dia dari usia dia bulanan hingga setahun.


Jadi, tadaaa.... yang pasti, rambut masih malu-malu lagi nak tumbuh waktu ni. Gambar berlatarkan cadar hotel masa kursus dulu..hee..

Okeylah, jumpa lagi semua....

Assalamualaikum...

 

Wednesday, January 28, 2015

Rafi, Jaundis dan Breastfeeding

Bismillahirrahmanirrahim..
 
Jaundis dengan bayi baru lahir memang tak dapat dipisahkan. Dan sudah menjadi lumrah, setiap ibu bapa memang taknak bayi yang baru beberapa hari di dunia sudah mengalami sesuatu yang memaksa bayi mereka tterpaksa ke klinik untuk jangka waktu yang lama. Hari pertama meapor kelahiran di klinik, bacaan jaundis Rafi adalah 12.7. Waktu kat rumah memang tak nampak kuning, bila dah keluar memang jelas wajah Rafi kekuningan. Doktor cakap memang jaundis Rafi tinggi dan minta untuk buat pemeriksaan lagi keesokannya. Esoknya, bacaan meningkat lagi 16.8, dan kena masuk wad petangnya jugak.
 
Bagi seorang ibu baru macam saya ni, pengalaman masuk wad bersama bayi yang baru lahir memang menyedihkan. Yela, kena tinggal bersama bayi tanpa suami, tiap pagi dengar bayi kena cucuk untuk cek kuning, semua ni memang bikin stres. Sebab tu la susu saya memang keuar sedikit sangat waktu tu. Sampai satu petang, Rafi menangis tak henti-henti. Bayangkan dalam wad yang ramai pesakit dan bayi lain, hanya suara Rafi yang berkumandang memecah sepi. Saya pulak, cuba tenangkan diri, cuba suapkan Rafi untuk menyusu tapi dia tolak. Semua mak-mak tengok, kemudian datang seorang mak tanya, "Kenapa tak bagi susu formula je?" Jujur, waktu tu hanya mampu tersenyum je. Ya, memang saya tekad nak bagi susu ibu je kat Rafi. Walau apapun orang lain akan fikir, saya tahu anak saya kuat. Sebab dah dapat motivasi dah dari suami dan kakak ipar yang selalu ingatkan, perut bayi dalam beberapa hari memang tak besar, jadi jangan pernah mengalah untuk terus susukan dia. Malamnya pula, sekali lagi dalam pukul 3 pagi Rafi menangis tak henti-henti, sekali lagi saya tidak keruan. Namun saya perasan, Rafi akan berhenti lepas dia kencing dan air kencing dia waktu tu memang kuning, sama macam petang sebeumnya. Dalam hati fikir, mungkin dia menangis kerana susah nak kencing atau kencing kotor. Alhamdulillah lepas malam tu dia tak nangis kuat lagi.
 
Esoknya, bacaan kuning Rafi masih tinggi dan kena tinggal semalam lagi di hospital. Petang tu, melihat kulit Rafi yang kering dan Rafi pula kurang kencing, doktor terpaksa masukkan air ke dalam badan. Sedih sangat tengok tangan kecik Rafi terpaksa dicucuk untuk masukkan air tu. Rasanya Rafi sorang je waktu tu terpaksa dimasukkan air. Telefon suami minta semangat untuk kuat dalam menjaga Rafi, Allah je tahu macam mana perasaan saya waktu tu. Sekali lagi, niat menyusu Rafi tercabar lagi apabila mak datang malamnya dengan membawa setin susu dan botol yang baru dibeli. Mak siap bancuhkan lagi susu tu dan pesan untuk bagi Rafi bila dia bangun. Yela, nenek mana yang tak risau tengok cucu dia macam tu. Tapi, saya sekali lagi tetap bertekad untuk bagi susu ibu je kat Rafi. Akhirnya, susu tu tersimpan kemas je kat dalam laci wad sampai esoknya. Tipulah kalau tak ada niat nak bagi je susu tu kat Rafi, tapi bila tengok muka anak, cepat-cepat kol suami mintak semangat lagi, hihi. Dialah sumber kekuatan saya sehingga ke hari ini..^-^'
 
Susu yang cuba untuk dijauhi
 
Penutup mata yang amat memberi kesan kepada kulit wajah Rafi..
 
Masuk hari ketiga, alhamdulillah Rafi dibenarkan untuk discaj. Sudah 2 hari Rafi tidak membuang, risau jugak dilanjutkan tempoh di hospital, tapi doktor cakap bayi tidak membuang dalam beberapa hari itu adalah normal. Gembira memang tidak terkata bila doktor benarkan kami keluar. 
Tapi kisah kuning Rafi belum selesai bila minggu selepas itu Rafi diminta datang ke klinik untuk cek lagi bacaan. Alhamdulillah kurang kepada 10.4. walaupun masih tinggi, sekurang-kurangnya pengurangan itu kita nampak. Esoknya, genap Rafi 2 minggu, bacaan masih tinggi iaitu 9.6. Doktor jangka Rafi mungkin mengalami prolonged jaundice iaitu jaundis jangka masa panjang dan meminta supaya ujian darah dan air kencing dilakukan. Bukan 1 sampel sahaja darah yang diambil malah 4. Ya Allah, kena cucuk lagi anak ni...
 
Hari pengambilan darah, memang mintak suami datang sekali sebab rasa tak sanggup tengok Rafi kena cucuk lagi hari tu. Nurse cek salur darah di kedua-dua tangan Rafi. Halus... dan akhirnya dia cucuk jugak tapi darah angsung tak keluar. Rafi pulak dah menangis sekuat-kuatnya. Nurse tarik jarum, kemudian buat kat tangan sebelah. Sekali lagi, darah tak keluar jugak. Lepas tu dia mintak nurse lain untuk buat lagi semula. Kali ketiga Rafi dicucuk, alhamdulillah darah keluar, tapi tidak laju. Jadi, masa diambil sangatlah lama hingga akhirnya darah tu berhenti sebab dah beku kat dalam. Alahai anakku... Bila keadaan macam tu, nurse yang kedua tu akhirnya mintak seorang lagi nurse yang lebih senior untuk ambik darah Rafi. Alhamdulillah nurse ni cepat je darah Rafi keluar. Kesian betul dengar tangisan Rafi waktu tu..
 
Esoknya, sekali lagi jadi pelanggan setia klinik untuk ambil bacaan kuning. Semasa menunggu keputusan, mulut ni tak henti-henti baca selawat dan zikir. Dapat je kad keputusan, berdebar-debar macam nak tunggu result exam. Bila baca keputusan, alhamdulillah memang tak henti-henti sampai masuk bilik doktor. 4.6 bacaan kuning. Kenapalah bacaan ni tak keluar sebelum ambil darah semalam..huhu. Alhamdulillah, dah tak perlu pergi klinik dah lepas tu. Dan alhamdulillah jugak, Rafi tak pernah minum susu lain sejak dari lahir hingga sekarang, dah 2 bulan lebih. Mudahan Allah mudahkan lagi untuk menyusukan Rafi hingga 6 bulan, setahun dan seterusnya. Amin...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram