Monday, January 13, 2014

Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (Kompleks Islam Sarawak)

 
 
Bismillahirrahmanirrahim
 
Indah Jauhari daripada Manikam
 


 
 
Eh, betulkah peribahasa yang saya gunakan ni? Sepanjang 27 tahun usia saya ini, saya mengetahui maksud peribahasa ini. Keadaan yang sebenar tidak seindah yang dikhabarkan. Jadi, pada post hari ini, saya tertarik untuk memberi sedikit pandangan mengenai bangunan yang tersergam indah di bandar Kuching sekarang iaitu Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ataupun Kompleks Islam. 
Sebenarnya, maksud peribahasa di atas tidak sama sekali berkaitan dengan pembinaan bangunan indah ini. Bangunan yang dibina di bawah seliaan Tabung Baitulmal Sarawak ini memang mendapat banyak bantahan daripada beberapa pihak yang tidak puas hati pada pembinaan bangunan ini. Kebanyakan alasan mereka, Tabung Baitulmal Sarawak sepatutnya memberi lebih perhatian kepada orang-orang Islam Sarawak yang lebih memerlukan bantuan. Persoalannya, sejauhmanakah mereka tahu tentang bantuan yang diberikan oleh TBS kepada masyarakat Islam? Adakah mereka tahu tujuan bangunan tersebut didirikan? Pernahkah mereka melihat kesan positif yang diperoleh daripadanya untuk jangka masa pendek dan panjang?
 
Saya menulis bukan untuk menyokong sesiapa, tetapi ini adalah daripada perhatian dan pembacaan serta jawapan daripada pihak yang sepatutnya walaupun saya tidak punya apa-apa kuasa sekalipun. Kalau ada yang membantah, terasa hati, saya betul-betul ingin meminta maaf. Jujur, itu bukan niat saya..
Baik, antara yang saya perhatikan daripada pembinaan bangunan ini adalah 

  1. Pelaburan jangka panjang. Saya bukan peniaga atau ada melibatkan diri dalam pelaburan. Tetapi saya tahu, perniagaan adalah satu pelaburan untuk mencambahkan apa yang diperolehi. Cuba bayangkan, cebisan-cebisan kain yang tidak digunakan dikumpul. Kemudian kita terfikir untuk menjadikannya selembar kain yang boleh dijual. Lantas, kita pun membuat keputusan untuk membeli jarum atau mesin jahit walaupun orang sekeliling menganggap kita membuang masa. Namun dengan jualan kain tampal yang sudah siap, kita dapat membeli kain yang lebih baik untuk digunakan seisi rumah, kan?
  2. Kedua pula adalah daripada sudut pelanggan yang datang. Semua maklum Sarawak terutama Kuching secara majoritinya didiami penduduk bukan Islam. Cuba lihat pusat membeli belah yang popular di Kuching, ramainya pelanggan dengan gaya dan pakaian yang tersendiri. Rasanya semua mesti faham kan apa yang kita lihat di sana? Kemudian, bandingkan pula pelanggan di kompleks Islam, sejauh mana pandangan itu dapat dijaga? Memang ada, tetapi kuantitinya kurang... nampak kan?
  3. Ketiga, tempat untuk solat. Sesiapa yang pernah melangkah ke surau di Kompleks Islam ini boleh merasai keselesaan yang disediakan. Malah, azan juga dilaungkan di dalam surau ini dan solat berjemaah juga dilaksanakan pada siang dan malamnya. Bandingkan pula dengan pusat membeli belah yang lain. Sejauh mana perbezaan keluasan surau, sejauh mana keselesaan tempat mengambil wuduk dijaga. Apabila masuk waktu sembahyang, muzik dihentikan dan azan akan dilaungkan. Seluruh bangunan itu bergema suara azan. Dan apa yang menyenangkan mata melihat, majoriti pelanggan akan mengerumuni surau tersebut untuk solat. Lihatlah sejauh mana bangunan ini membantu mengingatkan pelanggan pada ibadah utama ini.
  4. Seterusnya pula adalah bantuan kepada peniaga-peniaga Islam untuk memajukan perniagaan. Tapi bagi saya perkara ini memang semua nampak kan?
  5. Keselesaan menggunakan perpustakaan. Sesiapa yang memang orang Sarawak semestinya tahu di mana perpustakaan ditempatkan sebelum berpindah ke bangunan baru. Sekarang bukan semua penduduk dapat menggunakan perpustakaan dengan selesa dengan adanya pelbagai kemudahan yang selesa serta tempat makan yang berdekatan.
 Jadi, tidakkah bangunan yang banyak diperkatakan ini ada membantu terutama dalam pembangunan Islam itu sendiri? Tepuk dada, perhatikan dan buat kesimpulan berdasarkan bukti dan pemerhatian. Bukan sekadar mendengar cerita yang tidak kukuh, mengikut hati kemudian membuat andaian yang boleh memecahkan serta memberi pandangan kurang enak terutama kepada institusi Islam. Wah, ayat sendiri ke ni? Tapi betul kan?

Wassalam..
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram