Friday, January 24, 2014

Bayaran PTPTN 'Lump-Sum'

 
 
Bismillahirrahmanirrahim
 
Semoga baik-baik sahaja semua.. 
Alhamdulillah semalam baru selesai melangsaikan pinjaman dunia ini. Sebelumnya pembayaran balik pinjaman ini saya buat secara ansuran. Setiap bulan bayaran dibuat secara online dan disebabkan rezeki Allah yang lebih sedikit pada bulan ini serta hasil simpanan duit khas untuk bayaran, akhirnya dapat juga tarikh nafas lega apabila semuanya selesai.
Jadi, bagi sesiapa yang mahu melangsaikan keseluruhan pinjaman, terutama di Kuching, bolehlah melaksanakan pembayaran di pejabat PTPTN yang terletak di Jalan Kulas dekat kawasan Satok. Sebaiknya datang awal pagi kerana kalau tidak mahu bersesak sebab kita datang bukan setakat ambil nombor lepas tu terus bayar tau..
 
Prosedurnya, kita perlu mengisi borang untuk mendapatkan Surat Pengesahan Jumlah Pembiayaan Pinjaman Pendidikan PTPTN dahulu. Semalam nasib baik suami yang cadangkan untuk datang dulu ke pejabat PTPTN untuk minta pengesahan jumlah sebenar pembayaran sebelum mengambil duit untuk pembayaran. Setelah mengisi borang, kita perlu menunggu sebentar untuk pengeluaran surat pengesahan. Ha daripada surat tersebut, kita akan tahu berapa jumlah sebenar yang perlu dibayar.
Selepas surat ini dikeluarkan, barulah nombor akan diberikan untuk urusan pembayaran. Sebab itulah perlunya datang awal sebelum pejabat tersebut sesak dengan pelanggan sebab nak tunggu pengeluaran surat tersebut memerlukan masa yang lama jika ramai pelanggan membuat urusan. 
Setelah membuat pembayaran, resit rasmi akan diberikan dan makluman untuk pembayaran tersebut akan diberikan melalui email. 

Resit rasmi dan salinan bayaran balik pinjaman pendidikan untuk simpanan dan kenangan belajar..hihi.. Tapi pada waktu ini diskaun sebanyak 20 peratus sudah tidak digunakan lagi. Jadi, agak rugi sedikit semalam sebab terlepas peluang tu. Kalau taknak rugi, tunggulah PTPTN keluarkan diskaun lagi untuk pembayaran balik, tapi tak tahulah bila kan?
Usahalah sedaya mungkin untuk melangsaikan pinjaman yang kita dah buat ya. Sikit-sikit pun tak apa, yang penting niat kita untuk membayar. Ingat, kita adalah 'penghutang', jangan buat tak tahu pula ya...
Akhirnya, nak juga ucap terima kasih buat suami yang sentiasa menjadi pendorong utama dalam segala hal yang berkaitan dengan pinjaman ni. Eh bukan pinjaman ni je, tapi semua perkara..^_^ Wassalam...

Wednesday, January 15, 2014

Throwback Pelamin Nikah

 
 
Bismillahirrahmanirrahim..
 
Alhamdulillah..alhamdulillah...alhamdulillah...
Ini adalah ungkapan yang sering saya ungkap ketika mengenang kisah setahun yang lalu sebelum menjadi isteri. Memang di sebalik awan mendung dan hujan, akan ada pelangi yang menunggu. Jadi, untuk entry kali ni, saya ingin berkongsi sedikit throwback mengenai pelamin dan majlis pada pagi tu. Jujurnya, pelamin ini bukan saya yang pilih hiasannya, dan bukan juga suami yang pilih. Sebab apa?? Sebab mood kahwin masih sayup-sayup lagu lagi.
Lebih kurang seminggu sebelum kahwin, suami mesej pelamin dia serahkan semuanya pada kawan dia yang urus untuk pelamin dan forografi. Saya pada waktu itu hanya follow the flow je. Kadang-kadang kasihan juga lihat suami yang banyak bertungkus-lumus untuk ini semua. Maafkan saya abang. (sob...sob....sob...) Jadi alkisahnya, rekaan pelamin ini hanya saya lihat pada pagi sebelum nikah. Pagi tu, lepas siap-siap pakai baju, make up semua, bergerak ke hotel dan dari jauh lagi saya nampak hiasan yang ada di hadapan (bukan nak lihat bakal suami..tapi cari jugakla bakal suami waktu tu) . Masuk sekejap terus terpegun...is this mine?? 
 

 Pelamin akad nikah aka kahwin kami. Simple kan? Tapi saya suka. Suka pada pandangan pertama. Warna putih, sama warna dengan baju nikah dan kahwin kami. Ingat lagi, kali pertama sebelum kahwin saya datang ke tempat ni nak tengok-tengok sahaja kawasannya. Kali kedua, semuanya dah berubah. Terima kasih lagi wahai suami dan rakannya...



 Dari pintu masuk ke dewan. Selepas kahwin hari tu, baru saya tahu pelamin ini kawan suami buat pada malam sebelumnya sampai ke tengah malam. Sebabnya, sehari sebelum tu ada pasangan pengantin yang perlu mereka 'layan' pada hari siangnya. Walaubagaimanapun, sentuhan mereka tetap cantik. 

Itu waktu nikah pada paginya. Maka dengan itu kami sah bergelar suami isteri. Selepas nikah, kami naik ke bilik dan menukar baju untuk majlis kahwin. Turun je pelamin pun berubah, tapi maksud saya, berubah bantalnya. Dari duduk di bawah berubah duduk pula di atas. 

Gambar penuh pelamin yang ada kerusi tak jumpa pula, jadi gambar ni pun kira nampak kan? Kami guna kerusi yang panjang untuk pelamin kahwin. Kenapa panjang? Ha, sebab yang duduk di atas tu bukan sepasang sahaja tau, tapi dua pasang pengantin termasuk pasangan sdik lelaki saya yang sudah seminggu bernikah pada waktu itu. Itu pun nasib baik dewan kami letaknya di tingkat bawah. Sebab suami pernah cakap kalau nak angkut kerusi tu masuk lif memang tak dapat.


Inilah pasangan pengantinnya..

Tapi satu keistimewaan kerusi panjang ini adalah, kalau gambar satu keluarga, lagi-lagi keluarga saya yang ada 9 orang ahli dan keluarga suami yang ada 10 orang ahli tak termasuk anak buah yang ada 14 pada waktu itu dan tak termasuk juga pasangan masing-masing, memang berbaloi sangat waktu nak ambil gambar. Muat-muat je satu keluarga.

Ok itu sahaja untuk throwback pelamin.

Terima kasih banyak-banyak kepada yang mengusahakan pelamin ini. Oh ya, sesiapa yang berminat atau yang mencari-cari khidmat pelamin, make up dan fotografi di Kuching ni, jenguk-jenguklah di 

Jumpa lagi...Wassalam..



Monday, January 13, 2014

Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (Kompleks Islam Sarawak)

 
 
Bismillahirrahmanirrahim
 
Indah Jauhari daripada Manikam
 


 
 
Eh, betulkah peribahasa yang saya gunakan ni? Sepanjang 27 tahun usia saya ini, saya mengetahui maksud peribahasa ini. Keadaan yang sebenar tidak seindah yang dikhabarkan. Jadi, pada post hari ini, saya tertarik untuk memberi sedikit pandangan mengenai bangunan yang tersergam indah di bandar Kuching sekarang iaitu Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ataupun Kompleks Islam. 
Sebenarnya, maksud peribahasa di atas tidak sama sekali berkaitan dengan pembinaan bangunan indah ini. Bangunan yang dibina di bawah seliaan Tabung Baitulmal Sarawak ini memang mendapat banyak bantahan daripada beberapa pihak yang tidak puas hati pada pembinaan bangunan ini. Kebanyakan alasan mereka, Tabung Baitulmal Sarawak sepatutnya memberi lebih perhatian kepada orang-orang Islam Sarawak yang lebih memerlukan bantuan. Persoalannya, sejauhmanakah mereka tahu tentang bantuan yang diberikan oleh TBS kepada masyarakat Islam? Adakah mereka tahu tujuan bangunan tersebut didirikan? Pernahkah mereka melihat kesan positif yang diperoleh daripadanya untuk jangka masa pendek dan panjang?
 
Saya menulis bukan untuk menyokong sesiapa, tetapi ini adalah daripada perhatian dan pembacaan serta jawapan daripada pihak yang sepatutnya walaupun saya tidak punya apa-apa kuasa sekalipun. Kalau ada yang membantah, terasa hati, saya betul-betul ingin meminta maaf. Jujur, itu bukan niat saya..
Baik, antara yang saya perhatikan daripada pembinaan bangunan ini adalah 

  1. Pelaburan jangka panjang. Saya bukan peniaga atau ada melibatkan diri dalam pelaburan. Tetapi saya tahu, perniagaan adalah satu pelaburan untuk mencambahkan apa yang diperolehi. Cuba bayangkan, cebisan-cebisan kain yang tidak digunakan dikumpul. Kemudian kita terfikir untuk menjadikannya selembar kain yang boleh dijual. Lantas, kita pun membuat keputusan untuk membeli jarum atau mesin jahit walaupun orang sekeliling menganggap kita membuang masa. Namun dengan jualan kain tampal yang sudah siap, kita dapat membeli kain yang lebih baik untuk digunakan seisi rumah, kan?
  2. Kedua pula adalah daripada sudut pelanggan yang datang. Semua maklum Sarawak terutama Kuching secara majoritinya didiami penduduk bukan Islam. Cuba lihat pusat membeli belah yang popular di Kuching, ramainya pelanggan dengan gaya dan pakaian yang tersendiri. Rasanya semua mesti faham kan apa yang kita lihat di sana? Kemudian, bandingkan pula pelanggan di kompleks Islam, sejauh mana pandangan itu dapat dijaga? Memang ada, tetapi kuantitinya kurang... nampak kan?
  3. Ketiga, tempat untuk solat. Sesiapa yang pernah melangkah ke surau di Kompleks Islam ini boleh merasai keselesaan yang disediakan. Malah, azan juga dilaungkan di dalam surau ini dan solat berjemaah juga dilaksanakan pada siang dan malamnya. Bandingkan pula dengan pusat membeli belah yang lain. Sejauh mana perbezaan keluasan surau, sejauh mana keselesaan tempat mengambil wuduk dijaga. Apabila masuk waktu sembahyang, muzik dihentikan dan azan akan dilaungkan. Seluruh bangunan itu bergema suara azan. Dan apa yang menyenangkan mata melihat, majoriti pelanggan akan mengerumuni surau tersebut untuk solat. Lihatlah sejauh mana bangunan ini membantu mengingatkan pelanggan pada ibadah utama ini.
  4. Seterusnya pula adalah bantuan kepada peniaga-peniaga Islam untuk memajukan perniagaan. Tapi bagi saya perkara ini memang semua nampak kan?
  5. Keselesaan menggunakan perpustakaan. Sesiapa yang memang orang Sarawak semestinya tahu di mana perpustakaan ditempatkan sebelum berpindah ke bangunan baru. Sekarang bukan semua penduduk dapat menggunakan perpustakaan dengan selesa dengan adanya pelbagai kemudahan yang selesa serta tempat makan yang berdekatan.
 Jadi, tidakkah bangunan yang banyak diperkatakan ini ada membantu terutama dalam pembangunan Islam itu sendiri? Tepuk dada, perhatikan dan buat kesimpulan berdasarkan bukti dan pemerhatian. Bukan sekadar mendengar cerita yang tidak kukuh, mengikut hati kemudian membuat andaian yang boleh memecahkan serta memberi pandangan kurang enak terutama kepada institusi Islam. Wah, ayat sendiri ke ni? Tapi betul kan?

Wassalam..
 

Tuesday, January 7, 2014

SUPLEMEN KESIHATAN - Apa status kajian ilmiah mereka?

 
 
 Bismillahirrahmanirrahim..
 
 Saya teringat beberapa bulan selepas saya mula berkecimpung dalam dunia perkerjaan, seorang rakan sekerja datang kepada saya untuk mengajak saya menghadiri satu 'ceramah' kesihatan pada waktu malam. Bila namanya 'malam', memang agak susah untuk saya menerima lamaran keluar, apa lagi waktu itu bukan ada kenderaan sendiri. Syoknya, rakan tersebut sanggup membawa saya untuk ke tempat tersebut. Rupa-rupanya tentang makanan suplemen yang dijual oleh syarikat jualan lansung.
 
Dalam 'ceramah' itu, ramai juga yang naik ke pentas untuk mengemukakan testimoni yang mereka alami sendiri. Saya akui, memang setiap manusia perlu kepada suplemen tambahan dalam makanan disebabkan oleh keadaan makanan kita pada masa kini. Namun, bagi saya, setiap manusia itu memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri. Sama ada dapat menerima atau tidak suplemen yang dimakan. Setiap syarikat memang akan menyatakan keyakinan mereka terhadap produk yang mereka jual. Ada ke syarikat yang sengaja memburukkan produk sendiri? Itu pelik namanya. Jadi terpulang pada pengguna dan pembeli sahaja yang membuat keputusan samada mahu membeli atau tidak.
 
Pagi tadi, saya terbaca blog SUSU SEJAT mengenai suplemen. Blog ini memang banyak memberi manfaatnya terutama sekali tentang bab pemakanan, kesihatan dan diet. Pemilik blog ini telah berkongsi sebuah infografik yang menarik mengenai suplemen yang telah dibuat kajian dan keberkesanannya. Ini dapat membantu pembeli untuk membuat keputusan sebelum membeli sesuatu suplemen itu. 
 
 
Pengelasan bahan-bahan aktif ini adalah berdasarkan “evidence” kajian ilmiah dari Pubmed dan Cochrane.org, dikemaskini sehingga tahun 2012. Mereka disusun dari status “Strong” (banyak hujah sokongan berdasarkan kajian ilmiah) sehinggalah ke status “None” (tak pernah ada hujah sokongan berdasarkan kajian ilmiah).
 
Saiz bulatan pula merujuk kepada kadar kepopulariti carian suplemen di dalam Google, lebih besar saiz bulatan, lebih popular suplemen tersebut dicari.

Manakala bulatan berwarna jingga bermaksud kajian tidak banyak dilakukan tetapi menjanjikan keputusan yang baik.
 
Jadi, selamat meng'explore' bulatan-bulatan yang ada sebelum membeli suplemen yang diperkenalkan. Carta adalah hakmilik www.informationisbeautiful.net (David McCandless © 2013).
 

Monday, January 6, 2014

Membuang kulat pada perabot

 
 
Hai semua..
 Hari ini saya nak share tentang masalah yang saya hadapi yang melibatkan perabot dalam bilik. 
Sudah hampir 3 minggu saya dan suami buntu mengenangkan nasib perabot bilik kami yang asyik ditumbuhi kulat putih. Buruk pula jadinya perabot kesayangan kami itu sebab perabot baru beli waktu kahwin kan terutama sekali meja solek. Sebab apa? Sebab waktu nak kahwin dulu, saya juga turut membeli perabot baru untuk di rumah mak. Lepas kahwin, masuk je bilik pengantin di rumah mentua, tengok meja solek dia...eh sebijik sama!! Haha.. Tapi yang dia punya, mama dia yang beli..^_^'
 
Okey back to the point. Tiap kali kulat tu tumbuh, tangan yang menaip ni rajin pulak nak lap guna tisu basah. Sekali lap je, dia jadi macam serbuk-serbuk yang halus. Geli pun ada. Tapi lepas lap je, dua tiga lepas tu, boleh pula dia munculkan diri di situ dengan bangga. Suami pun naik pening fikir cara nak hilangkan kulat tu. Mungkin kawasan yang lembap juga penyebabnya. 
 
 
 
Ha, lihat tu. Megahnya mereka berdiri. Siap ada corak ala batik lagi kat tepi-tepi almari. Akhirnya, saya google langkah-langkah yang pernah dilakukan dan jumpa satu ikhtiar ini. Apa yang saya gunakan adalah...
 
 Antiseptik Dettol

Caranya senang sahaja. Buang kulat-kulat yang megah tersebut dengan tisu hingga hilang, kemudian sapukan antiseptik Dettol pula pada permukaan tersebut. Macam tu je.. Pada awalnya memang berbau dettol sikit biliknya, tapi percayalah hasilnya memang berkesan.

Hasilnya, sampai sekarang kulat dah malu nak tumbuh kat perabot bilik. Tengok je kat perabot yang bersih, rasa bahagia sangat..

Jadi, sesiapa yang mengalami masalah yang sama dengan kami ni, silalah mencuba ya ikhtiar ini.
Selamt berjaya..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram