Jangan marah...sabar.....^_^
Bismillahirrahmanirrahim...Ini adalah kali pertama saya menaip di pejabat setelah beberapa bulan bekerja. Sunyi pula ditinggalkan seorang diri di dalam pejabat. Semua tengah merehatkan diri di rumah. Apa yang saya nak kongsikan hari ini ye? Oh!! Perihal kisah pagi tadi. Pagi tadi saya meneman mak ke klinik. Daripada pukul 8 pagi berada di sana, keluar daripada klinik pada pukul 11 pagi. Alhamdulillah, mak semakin sihat. Kadar darah tidak terlalu tinggi. Ini mesti hasil daripada usaha mak yang semakin rajin untuk melakukan senaman setiap minggu. Setiap minggu mak akan mengajak saya untuk berjalan-jalan mengambil udara segar di sekitar Kuching sambil mengeluarkan peluh. Tapi bukan ini yang ingin saya kongsikan. Tetapi insiden marah memarahi yang berlaku pada pagi tadi yang menunjukkan betapa kurangnya lagi sikap bertimbang rasa antara kita. Semasa menunggu giliran untuk mengambil ubat, saya dan mak duduk dan terkejut apabila diterjah dengan suara seseorang yang menyebut nombor flat kereta yang menyekat laluan letak kenderaan beliau. Dengan keadaan yang sangat marah, nombor itu diulang beberapa kali dan ini amat mengganggu suasana dan tidak sesuai diperlakukan sedemikian lebih-lebih lagi di kawasan klinik yang memerlukan suasana yang tenteram. Namun, alhamdulillah, pemilik kenderaan segera keluar mengalihkan kenderaannya. Namun malang, si pemilik diherdik tanpa ada rasa timbangrasa. Selesai satu insiden, tidak berapa lama kemudian, keluar pengumuman yang meminta satu lagi kenderaan mengalihkan kenderaan kerana menyekat laluan insan lain. Pengumuman diulang dua kali, namun rasanya tidak ada respon daripada pemilik. Mungkin dia sedang berada di dalam bilik pemeriksaan. Tidak berapa lama kemudian, masuk seorang insan dengan keadaan marah, dan sekali lagi klinik itu digemakan dengan suara kemarahan yang meminta pemilik kenderaan mengalihkan keretanya. Sehingga keluar perkataan, "..kalau tak aku pecahkan cermin kereta tu nanti!". Ya Allah, betapa marahnya insan ini... Kesimpulannya, sebagai pengguna yang berkongsi tempat dan peralatan yang sama, sepatutnya, fikirkan juga tentang kemudahan orang lain. Dan...jangan terlalu mengikut emosi terutama apabila berada di tempat yang tidak sesuai. Wassalam...
No comments:
Post a Comment