Friday, August 29, 2014

Wasiat Rasulullah Kepada Fatimah az-Zahra - Buat ISTERI

 
 
 Apa sebenarnya tujuan kamu berkahwin?” 
Teringat pertanyaan seorang penceramah semasa kursus pra perkahwinan dahulu. Maka setiap seorang yang ditunjuk memberi jawapan yang berbeza, dan saya tertarik dengan satu jawapan yang amat menarik. 
Kerana perkahwinan itu adalah tabung pahala, tabung akhirat yang tidak terkira simpanannya,”

Bila dikatakan tentang ‘tabung’, ia adalah satu alat yang digunakan untuk mengumpul sesuatu yang sedikit agar akhirnya menjadi banyak dan dapat kita tuai hasilnya. Maka apabila dikatakan sebagai ‘tabung akhirat’, ‘tabung pahala’, maka di sinilah tempat kita mengumpul pahala sedikit demi sedikit untuk dituai di akhirat kelak. Bagaimana? Semestinya dengan penunaian seikhlasnya kepada suami dan anak-anak. Di sini, ingin saya kongsikan bersama wasiat Rasulullah kepada anak kesayangannya, Saidatina Fathimah az-Zahra untuk kita jadikan renungan.

WASIAT RASULULLAH KEPADA FATIMAH AZ-ZAHRA

1.   Ya Fathimah, kepada wanita yang membuat tepung untuk suami dan anak-anaknya, Allah pasti akan menetapkan kebaikan baginya dari setiap biji gandum, melebur kejelekan, dan meningkatkan darjat wanita itu.

2.   Ya Fathimah, kepada wanita yang berkeringat ketika menumbuk tepung untuk suami dan anak-anaknya, nescaya Allah menjauhkan dirinya dengan neraka tujuh tabir pemisah.

3.   Ya Fathimah, tiadalah seorang yang meminyaki rambut anak-anaknya lalu menyisirnya dan mencuci pakaiannya, melainkan Allah akan menetapkan pahala baginya seperti pahala memberi makan seribu orang yang kelaparan dan memberi pakaian seribu orang telanjang.

4.   Ya Fathimah, tiadalah wanita yang menahan kebutuhan tetangganya, melainkan Allah akan menahannya dari minum telaga kausar pada hari kiamat nanti.

5.   Ya Fathimah, yang lebih utama dari seluruh keutamaan di atas adalah keredhaan suami terhadap isteri. Andaikata suamimu tidak redha kepadamu, maka aku tidak akan mendoakanmu. Ketahuilah wahai Fathimah, kemarahan suami adalah kemurkaan Allah.

6.   Ya Fathimah, apabila wanita mengandung, maka malaikat memohonkan ampunan baginya, dan Allah menetapkan baginya setiap hari seribu kebaikan serta melebur seribu kejelekan. Ketika wanita merasa sakit akan melahirkan, Allah menetapkan pahala baginya sama dengan pahala para pejuang di jalan Allah. Jika dia melahirkan kandungannya, maka bersihlah dosa-dosanya seperti ketika dia dilahirkan dari kandungan ibunya. Bila meninggal ketika melahirkan, maka dia tidak akan membawa dosa sedikitpun. Di dalam kubur akan mendapat pertamanan indah yang merupakan bagian dari taman syurga. Dan Allah memberikan pahala kepadanya sama dengan pahala seribu orang yang melaksanakan ibadah haji dan umrah, dan seribu malaikat memohonkan ampunan baginya hingga hari kiamat.

7.   Ya Fathimah, tiadalah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang hati serta ikhlas, melainkan Allah mengampuni dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebaikan. Dan Allah memberikan kepadanya pahala seratus kali beribadah haji dan umrah.

8. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang tersenyum di hadapan suami, melainkan Allah memandangnya dengan pandangan penuh kasih.

9. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang membentangkan alas tidur untuk suami dengan rasa senang hati melainkan para malaikat yang memanggil dari langit menyeru wanita itu agar menyaksikan pahala amalnya, dan Allah mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.

10. Ya Fathimah, tiadalah wanita yang meminyaki kepala suami dan menyisirnya, meminyaki janggut dan memotong kumisnya, serta memotong kukunya, melainkan Allah memberi minuman yang dikemas indah kepadanya yang didatangkan dari sungai-sungai syurga. Allah mempermudah sakaratulmaut baginya, serta kuburnya.

Subhanallah, betapa Allah menyayangi insan yang bernama isteri. Lalu di mana tuduhan yang mengatakan isteri di dalam Islam tidak diangkat darjatnya?  Beruntungnya menjadi wanita. Selamat menjadi isteri, selamat menjadi penabung yang sejati..^_^

sumber: Google

Wassalam.

Thursday, August 14, 2014

PERNIKAHAN ISLAM - Drama vs Realiti

 
 

Ikatan perkahwinan merupakan sebuah ikatan yang suci dan mulia. 
Itu yang selalu diungkapkan oleh kisah-kisah dan filem-filem bukan sahaja Melayu malah bangsa yang lain. Sekalipun perkahwinan itu dibuat atas dasar terpaksa menerima, selepas berlakunya akad, suami tetap menjadi suami dan isteri tetap menjadi isteri. Tetapi melihat kepada drama atau filem yang dipaparkan pada masa kini, sekalipun drama tersebut adalah drama berunsurkan Islam, apabila isteri tidak menerima suaminya sekalipun suami itu baik kepadanya, bagi saya, itu tidak menunjukkan bagaimana Islam sebenar.

Mendapat seorang suami yang baik, berakhlak tinggi, beriman adalah idaman setiap wanita. Tetapi kerana frasa ‘terpaksa’, ‘tidak ada perasaan cinta’ yang akhirnya membuatkan isteri tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri, tidak mentaati suami, membayangkan lelaki lain selain suami, ini memang tidak sesuai. Setebal mana rasa terpaksa apabila dikahwinkan dengan orang lain, setebal manapun rasa benci dan tiadanya rasa cinta di dalam hati isteri, apabila sudah bergelar isteri, syurganya tetap di tangan insane bernama suami. Sepatutnya isteri berusaha sebaiknya menerima kehadiran suami yang telah dijodohkan untuknya, bukan memberontak mempertahankan rasa cinta hati kepada lelaki yang bukan menjadi miliknya.

Luahan ini bukan menunjukkan kepada sesiapa, tetapi melihat drama yang banyak memaparkan perkara sebegini membuatkan saya rasa ingin bersuara dan meluah. Seolah-olah kesucian cinta manusia itu lebih agung berbanding cinta yang telah Allah tunjukkan kepada manusia sehingga akhirnya tanpa disedari membawa selangkah kaki wanita itu ke lembah neraka. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambanya. 

Malah di dalam hadis riwayat Abu Hurairah ra ada menyatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda,

Sekiranya boleh aku menyuruh seorang sujud kepada seorang nescaya akan aku suruh kaum isteri supaya sujud kepada suami mereka.”

Bukan bermaksud merendahkan martabat isteri, tetapi menunjukkan betapa insan bergelar suami itu adalah salah satu tabung pahala dan kunci wanita untuk ke syurga. Sujud yang memberi maksud taat itu, bukan hanya kerana rasa cinta. Ada cinta baru nak taat, ada perasaan cinta kepada suami baru nak tunduk. Inilah cinta suami isteri yang sekadar bersandarkan cinta manusia semata-mata. Alangkah indah andai isteri mencintai suami kerana Allah telah tetapkan dia menjadi suami. Suami menyayangi isteri kerana Allah telah amanahkan isteri itu kepada dirinya. Semuanya bersandarkan Allah, indahnya kehidupan rumah tangga. Jika bersandarkan perasaan, emosi dan nafsu, semuanya akan gundah.

Semoga kita terpelihara daripada persepsi negative tentang keindahan rumahtangga bersandarkan ajaran Islam. 

Wassalam..


Tuesday, August 5, 2014

Selamat Hari Raya!!! - Boleh ke salam??-

 
 
Salam Syawal semua..
Hari Raya adalah salah satu hari yang paling meriah disambut terutama di Bumi Kenyalang ni. Sebulan bulan Syawal disambut, sebulan itulah jugak budaya ziarah menziarah, rumah terbuka, pemakaian baju Melayu masih berlaku. Tak percaya? Meh ke Sarawak. Hihi..
Ziarah menziarah inilah yang kadang kala menjadi satu medium untuk merapatkan hubungan silaturrahim. Tetapi… juga satu medium yang boleh bawa kepada dosa, terutama bab salam bersalaman dan penutupan aurat.

Ini selalunya berlaku dalam sesebuah keluarga yang masih belum mengetahui tentang apa yang saya maksudkan. Ya, masih ramai lagi yang belum tahu dan agaknya takkan tahu jika tiada yang menegur. Akhirnya, budaya salam bersalam dan aurat antara lelaki dan perempuan tanpa melihat kepada had menjadi keturunan yang 'dibolehkan' di dalam keluarga. 

Di hari raya lah kakak dan keluarganya, adik dan suaminya, abang dan isterinya balik ke rumah berkumpul bersama-sama. Maka bercampurlah di dalam satu rumah tersebut, ipar-ipar, anak saudara yang semestinya ada had aurat dan sentuhan. Adik perempuan dengan penuh 'slumber' buka tudung di hadapan abang iparnya dengan alasan abang ipar dah kahwin dengan kakak. Kakak kandung tau, rapat lagi dari kecil. Adik-adik, serapat manapun dengan kakak, abang, tetap menjadi aurat apabila berada di hadapan abang ipar atau sesiapa yang mereka yang adik boleh berkahwin dengannya.

Bagitu juga dengan anak angkat. Para ibu-ibu selalu bertanya masalah ini. Anak angkat dijaga daripada bayi lagi sehingga dewasa. Dah kenal buruk baik hati anak angkat, anak angkat pun dah menganggap ibu dan ayah angkat seperti ayah dan ibu sendiri. Walaupun perasaan ini telah lama timbul, hukum mendedahkan aurat dan bersentuhan tetap sama seperti orang asing yang lain. Sebab itulah Rasulullah memberi satu langkah bagi menghalalkan sentuhan antara ibu ayah dan anak angkat iaitu dengan amalan penyusuan.

Di sini saya kongsikan infografik yang berkaitan dengan perkara di atas. Jika sudah tahu, mulakan dahulu. Walaupun mungkin agak ganjil, namun segala-galanya bermula daripada seorang. Yang lain akan bertanya dan akhirnya satu keluarga mula merubah amalan hingga ke keturunan yang seterusnya. Barulah bahagia keluarga....^_^


Mudah-mudahan perkongsian ini dapat membantu semua dalam mengetahui perihal perkara di atas. Semoga hari raya kita akan lebih bermakna dengan perubahan positif terutama melibatkan perkara asas ini. 

p/s Kalau ada yang hulurkan tangan tapi kita tahu hukum bersalam tak boleh, pandai-pandailah menghindar dan meminta maaf dengan berhikmah ye. Jangan atas sebab dia hulur, kita terpaksa salam dan jangan sebab dah tahu, kita pun menghindar dengan kasar. Kalau boleh biarlah yang menghulur juga tahu kenapa kita menghindarkan diri daripada bersalam..okey!!

Apa yang baik semuanya daripada Allah, yang sebaliknya juga daripada Allah tetapi disandarkan atas kesalahan saya sendiri.

Selamat Hari Raya lagi!!

Wassalam..^_^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram