Monday, September 9, 2013

Isu Di Sebalik Pembelian Kereta

 
 
Sejak dari kecil lagi selalu ambil selimut kemudian letak atas kerusi, buat macam khemah. Kemudian duduk pula di bawah tu sambil berangan pandu kereta. Membeli sebuah kereta adalah angan-angan yang akhirnya sudah tercapai sekarang. Alhamdulillah kereta kecil yang bernama 'Vivy' sudah berusia setahun lebih..^_^ Kecil-kecil cili api, walaupun harga tak mahal, yang penting boleh menyelit di sebalik ruang-ruang jalan dan yang paling penting, hutang pun insyaAllah sedikit, kan?
 
Baiklah, bukan ini sebenarnya yang saya ingin kongsikan. Apa yang ingin saya kongsikan adalah salah satu panduan sebelum memilih atau membeli kenderaan yang kadang-kadang tidak kita sedari di sebaliknya termasuk saya sendiri. Saya pernah membaca tentang isu hukum melanggan insurans konvensional yang telah difatwakan sebagai haram di sisi syarak atas sebab adanya riba. Suatu hari, saya kongsikan ilmu ini kepada suami dan selesai berkongsi, suami pun tanya, 
"Eh, kereta kan guna insurans juga? Tak haram ke?
Untuk seketika itu, saya pun tersedar..betul juga. Saya terus melihat sekeliling Vivy yang waktu itu hampir setahun saya beli. Tapi jujurnya, saya tidak ingat samada saya menggunakan insurans konvensional ataupun takaful semasa membeli kereta tahun lepas. Maka, saya mula meng'google' bagi mencuba untuk mencari jawapan. Salah satunya adalah tulisan ustaz Zaharuddin dalam blog beliau, Zaharuddin.net. Tajuk yang diletakkan adalah, 
 

Beli Kereta Cara Islam Tapi Insuran Terpaksa Haram?

Soalan 
Ustaz, saya nak membeli kereta. Saya membuat pnjaman kereta dari Islamic Bank, kemudian bagaimana dengan insuran? Saya dimaklumkan mesti buat insuran dan road tax di bank tersebut. Maka saya akan terdedah kepada insuran konvensional. Adakah harus? 
-  soalan melalui sistem sms -

Jawapan
Pertama : Anda perlu membetulkan istilah dan kefahaman anda tentang Bank Islam. Anda mengatakan
"membuat pinjaman dari bank Islam".
Hakikatnya Bank Islam tidak memberikan pinjaman tetapi memberikan pembiayaan melalui pelbagai konsep dan aqad yang menepati Shariah, Anatara konsep yang digunakan adalah Murabahah (seperti dibuat oleh Bank Islam Malaysia Berhad - BIMB) iaitu bank membeli dari pengedar dan menjual kereta itu kepada anda dengan harga 'mark up', kerana anda memilih bayaran secara ansuran.
Deposit 10 % atau lebih yang anda bayar kepada pengedar itu adalah sebenarnya kepada BIMB kerana mereka telah melantik pengerdar itu sebagai wakil mereka. Dapatkan info lanjut dari pegawai di Bank Islam Malaysia Berhad.
Kebanyakan Bank Islam lain pula mengamalkan konsep al-Ijarah Thumma Al-Bai' iaitu "sewaan yang ditamatkan dengan jualan", proses dibuat apabila pihak bank akan membeli kereta dari pengedar atau mungkin juga terus dari anda, dan kemudian apabila pemilikan bank ke atas manfaat kereta (beneficial ownership) telah sempurna, pihak bank akan menyewakan kereta itu kembali kepada anda, dan pembayaran terakhir akan dianggap sebagai jualan terus. Selain itu, ada juga Bank Islam yang menggunakan konsep Tawarruq dalam pembiayaan kereta. Semuanya telah disahkan oleh Majlis Penasihat Shariah masing-masing.

Insuran
Hukum insuran konvesnional adalah haram menurut keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan Majlis Fatwa Kebangsaan, justeru anda wajib mengambil insuran Islam atau TAKAFUL dari mana-mana syarikat takaful yang wujud di Malaysia bila membeli kereta atau rumah.
Biasanya insuran tidak diuruskan oleh Bank, ia diuruskan oleh anda sendiri atau penjual kereta itu. walaubagaimanapun jika ia diurus oleh bank atau penjual, anda berhak untuk menuntut perlindungan TAKAFUL untuk kereta itu. Tiada sebarang undang-undang yang membolehkan mereka memaksa anda mengambil insuran yang tidak anda kehendaki.
Kebiasaannya, penjual kereta menggambarkan seolah-olah mesti diambil insuran tertentu, sebenarnya mereka sedang MENIPU. Hakikatnya mereka cuba mendapat untung lebih kerana syarikat insuran yang mereka cadang adalah panel mereka dan mereka akan mendapat komisyen kelak. 

Jika mereka kata 'tak boleh', anda perlu tegas mengatakan bahawa jika demikian anda akan membeli kereta yang sama daripada pengedar dan penjual lain. Saya pasti tatkala itu mereka akan mengatakan permintaan anda boleh diusahakan. 

Saya sendiri pernah mengalaminya apabila cuba ditipu kononnya mesti ambil dengan insuran konvensional tertentu yang memerlukan tempoh minimum 1 tahun, kemudian saya bebas untuk menukar kepada insuran lain atau TAKAFUL katanya. Dengan tegas saya katakan :-
"jika demikian, maaf, saya cari kedai lain. Saya mesti nak Takaful, 1 tahun dengan insuran, maaf saya tak mahu"
Dengan segera mereka dapatkan saya syarikat takaful.
Ingat, penjual kereta akan cuba paksa anda ambil insuran yg mereka jual kerana mereka dapat komisyen, jangan endahkan paksaan mereka. Tiada sebarang peruntukan kuasa untuk memaksa anda. Jika paksa juga, dan anda tertipu, sila buat aduan dan laporan segera kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia. InshaAllah pasti menang.
Road tax akan diuruskan sekaligus oleh syarikat penjual atau Takaful, road tax tiada masalah, hukumnya adalah harus.

Takut juga atas setiap sisip perkara yang kita lakukan sekarang. Semoga dapat dijadikan panduan buat kita bersama..amin.. Wassalam...

Tuesday, September 3, 2013

Jom Belajar Arab 1

 
 
Bahasa Arab adalah salah satu bahasa yang mula disenangi dan mula dipelajari oleh setiap orang pada masa ini. Mempelajari Bahasa Arab ketika berada di zaman universiti banyak memberi faedah buat saya pada masa sekarang padahal memng itu adalah matapelajaran yang paling lemah pernah saya pelajari satu masa dahulu.
 
Tetapi apa yang saya dapat lihat, terdapat dua golongan yang minat terhadap bahasa ini. Pertama, golongan yang ingin mempelajari bahasa Arab dengan mendalam termasuk tatabahasa dan sebagainya. Golongan kedua pula adalah yang mahu mempelajari supaya mereka boleh bertutur dalam bahasa Arab. Bagi saya golongan kedua ini hanya akan berjaya apabila mereka bergaul dengan suasana yang boleh membawa mereka ke arah itu...

Setelah berada di alam pekerjaan, melihat ramai yang mula meminati Bahasa Arab memberi satu tanggungjawab kepada saya menyampaikan ilmu yang saya dapat terutama kepada rakyat Sarawak. Jadi, tidak salah  juga bagi saya berkongsi dengan pembaca yang turut berminat mempelajari bahasa ini..Jadi, jom kita mulakan!!

Bagi sesiapa yang baru sahaja menjejakkan kaki ke dalam alam ilmu bahasa Arab, apa yang perlu dipelajari adalah Perkataan yang ada di dalam Bahasa Arab dan pembahagiannya.

Perkataan (الكلمات)terbahagi kepada 3 iaitu:

  1. Al-Ismun (الاسم) - Kata Nama (contohnya, Muhammad, pelajar, guru, pen, singa dan lain-lain)
  2. Al-Fi'lun (الفعل) - Kata Kerja (membaca, menulis, makan dan lain-lain)
  3. Al-Harfun (الحرف) - Kata Hubung (ke, di dalam, tentang, dengan dan lain-lain)
Jadi, itu adalah pembahagian kalimah yang perlu diketahui sebelum melangkah kepada yang lebih jauh..Moga dapat saya meneruskan usaha ini hingga ke akhirnya..^_^ wassalam..

Syair Duhai Si Raja Hati

 
 
 
Silang kata kehidupan.. rahsia yang tersimpan..membawaku terbang mengharungi udara-udara yang telah ditetapkan..tidak ku nafikan, kepala pernah tersadung melanggar tiang, kaki pernah tersangkut di celah wayar keperitan..sayap pernah berdarah dilastik batu halimunan yang panas dan tajam.. Akhirnya, sampai juga akhirnya ke destinasi dahan yang telah ditakdirkan untukku..
Tiba-tiba kamu turut menghampiri dahan itu.. Bersama angin yang akhirnya membuai dahan sebelah rapat ke dahanku tanpa aku sedari..sedangkan pandanganku melihat kepada burung di dahan yang lain. Sedetik itu, dahanku yang kuat mula rapuh ditiup angin dan tanpa pilihan, aku tumpang berteduh di atas dahanmu yang kuat..
Di saat angin mula berhenti, kau mula mengajakku terbang bersama. Tiba-tiba ketika terbang bersamamu, hari seakan-akan ceria, kebiruan dan terang.. kau ukir semula senyumku setelah angin kencang mematahkan dahanku. Dahan yang patah kutinggalkan sejauh mungkin..pandangan yang pernah menarikku semakin menjauh dan burung itu turut terbang menuju ke arah yang bertentangan.. 
Kini senyummu adalah senyumku, air matamu adalah air mataku..walau aku sedar dirimu adalah pinjaman buatku.. namun pinjaman ini adalah pinjaman yang bakal membawaku ke syurga.. katamu menyenangkan.. tawamu menghiburkan.. hadirmu membahagiakan.. kau terima kekuranganku seakan semuanya kelihatan samar bagiku.. tidak ternilai terima kasih dari diriku.. tidak ternilai sayang buat dirimu.. namun aku tekad, menjadi yang terbaik buatmu adalah usahaku..
Allah..terima kasih atas pemberianMu..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram