Friday, August 26, 2016

Gestational Diabetes Ketika Hamil?

 
 
Bismillahirrahmanirrahim..
Agak lama blog ini tidak di update. Pejam celik pejam celik, tahun 2016 ini nampaknya memberi pelbagai kejutan yang kadang-kadang tidak saya duga. Antaranya ialah hadirnya seorang lagi khalifah di dalam rahim dan rezeki masuk rumah baru. Rafi dah nak jadi abang!! Dah 36 minggu dah sekarang.. Nak dijadikan kisah, masa kandungan 6 bulan hari tu, bulan puasa, ujian MGTT dibuat dan keputusannya, saya disahkan mengalami Gestational Diabetes (GDM) dengan bacaan lepas minum air gula sebanyak 8.4. Waktu tu hanya Allah je yang tahu perasaan.
 
 
Bermula hari tu, macam kebanyakan ibu hamil yang lain, nurse suruh buat ujian Blood Sugar Profile (BSP) setiap 2 minggu berturut-turut. Beli jugak mesin BSP ni sebab jarak rumah dengan klinik agak jauh dan dengan kerja, memang susah nak ke klinik setiap 2 jam. Waktu ni jugak terpaksa jumpa dietition dan belajar bagaimana untuk kawal makanan terutama melibatkan gula. Kebetulan masa itu adalah bulan puasa, jadi memang tak ada masalah nak kawal pemakanan cuma ada beberapa saranan daripada dietition ketika berbuka puasa iaitu:
 
1) Jangan berbuka dengan kuantiti makanan yang banyak terutama sekali melibatkan makanan yang manis atau karbohidrat yang banyak. 
 
2) Jangan tinggalkan makan atau minum pada malam sebelum tidur. Makanlah walaupun sekeping biskut sebab dia taknak kita mengalami Hypoglycemia (gula rendah dalam darah)
 
3) Jangan tinggal makan sahur. PENTING!!
 
Alhamdulillah, bila cek BSP, gula masih dapat dikawal. Pergi checkup yang seterusnya, berat badan pula turun 1.5 kg. Jumpa dietition balik, dia kata tak payah puasa. Bayangkan, lagi dua hari Ramadhan nak habis, tiba-tiba dietition tak bagi puasa sebab berat badan turun. Mana tak turun, lepas tahu dapat GDM je memang semua dikawal. Tanya encik suami, dia cakap kalau larat, puasa je. Lagipun sayang lagi 2 hari. Jadi, 2 hari tu tetap jugak puasa.
 
Habis Ramadhan, datanglah Syawal, bulan yang penuh dengan makanan-makanan yang berwarna-warni. Lagi-lagi kat Sarawak ni, dengan kek lapis yang pelbagai rasa dan warna memang menarik hati den. Jadi, awal-awal lagi dah set dalam minda, tahun ni kena ada pantang untuk hari raya. Antaranya:
 
1) TOLAK air tin dan air kotak.
 
2) TOLAK makan kuah kacang. (tapi ada jugak makan sekaliii je)
 
3) KEK?? Makan jugak, tapi setengah bagi kat suami.
 
4) Makan biskut satu jenis satu biji je bagi setiap rumah. (Pantang yang lucu tapi tak boleh buat kat biskut makmur..mesti nak tambah jugak..haha)
 
5) KETUPAT, NASI IMPIT, LEMANG - makan satu hingga dua kerat je.
 
Itulah pantang-pantang yang diamalkan sepanjang hari raya hari tu. Ada yang dapat ikut, ada yang terlebih jugak. Yang penting, BSP tu terkawal. Alhamdulillah, sehingga kandungan masuk minggu ke 36 ni, kandungan gula sepanjang BSP dibuat, keputusannya masih di bawah kawalan. Kandungan pun alhamdulillah tidak besar dan berat, malah lebih kecil daripada usia kandungan. Apa-apapun semoga semuanya sihat dan dipermudahkan.
 
Jadi bagi mereka yang disahkan mendapat GDM semasa hamil, jangan terlalu risau. Ikut nasihat doktor, kawal pemakanan, be positive, in shaa Allah semuanya akan baik-baik saja. Apa yang penting, kita mahu anak kita sihat dan tidak akan ada kesannya selepas bersalin nanti. 
 
Wassalam...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram