Friday, May 23, 2014

Puding Roti Cip Coklat

 
 
Bismillahirrahmanirrahim..
 
Malam buat puding ni, tengok kat atas meja ada dua buku roti yang masih banyak. Waktu tu, terus fikir, roti ni tak akan habis sampai tempoh tamat. Terus terbayang pula gambar puding roti dalam laman Mat Gebu. Sedap juga kalau buat puding ni. Kemudian, godek-godek peti sejuk, susu cair hanya tinggal setengah je. Kismis pun takde, yang ada hanya cip coklat yang lebih buat muffin dulu. Nasib baik mentega ada lagi sikit. Keputusannya, nak buat juga puding roti dengan apa yang ada. Waktu tu buat ikut rasa je.. Nasib baik jadi (kalau tak jadi, tak akan ada dalam blog ni..hihi). Jadi, saya buat begini:
 
Bahan-bahan
10 keping roti dipotong empat
2 sudu besar mentega
3 biji telur
1 sudu esen vanilla
Setengah tin susu cair
1/4 tin susu manis
Satu setengah sudu gula
Cip coklat
 
Caranya:
Telur, mentega, gula, esen vanila dan susu manis diblender sehingga sebati kemudian dimasukkan dalam mangkuk. Masukkan susu cair dan digaul lagi sebati. Kemudian, akhir sekali roti dimasukkan sedikit demi sedikit sehingga semua roti telah bercampur dengan adunan. Bila dah sebati, masukkan roti tersebut ke dalam acuan yang dilapik dengan foil aluminium dan disapu mentega. Padatkan adunan roti dan taburkan cip coklat di atasnya. Akhir sekali, masukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan dengan 180 darjah celcius, api atas dan bawah dan biarkan sehingga puding masak dan kekuningan. Dah siap...

 Adunan roti sebelum masuk ketuhar

Dah pun siap.. Puding ni dah dipotong awal lagi. Lagi enak kalau disejukkan dahulu di dalam peti sejuk..Baru namanya puding..^_^

Jadi, selamat mencuba...
 

Trimester Pertama Kehamilan

 
 
Bismillahirrahmanirrahim..
 
Alhamdulillah usia kandungan sudah masuk minggu ke 14. Sudah masuk trimester kedua. Sejak daripada awal kandungan, memang bersyukur sangat sebab tak pernah rasa alahan pada makanan. Cuma kadang-kadang datang rasa loya sedikit, tapi ikut masa dia jugak. Kalau loya tu, saya akan cuba makan makanan yang kering untuk kurangkan rasa loya. Nurse sendiri pernah pesan, jangan biar perut masuk angin sebab kadang-kadang loya berpunca daripada angin dalam badan. Jadi, kena makan dengan kerap tapi sedikit.
 
 Itu tentang loya yang kebanyakan wanita memang merasainya. Kedua pulak adalah sakit pinggang belakang. Sejak usia kandungan 2 bulan lebih, sakit pinggang memang kadang-kadang datang terutama waktu tengah baring, lepas tu nak angkat, Allah...sakitnya hanya Allah yang tahu. Daripada apa yang saya baca, ini disebabkan kandungan kalsium yang kurang dalam badan. Ada jugak yang respon, sakit pinggang tak boleh dianggap perkara ringan sebab takut kemungkinan anak membesar di luar rahim. Takut juga pada mulanya..macam-macam fikir. Tapi masa scan awal-awal dulu doktor dah sahkan memang kandungan ada di dalam rahim, jadi dengan penuh kekuatan saya cuba tolak persepsi-persepsi negatif ni. Kira ambik alasan kalsium kurangla..Jadi untuk usaha ini saya minta suami belikan susu ibu hamil. 
Pada mulanya saya cuba minum susu Enfamama perisa coklat. Sedap jugak untuk awalnya. Tapi bila dah lama-lama, macam tak boleh masuk pulak susu tu. Nasib baik waktu tu dapat sample Enfamama daripada doktor, jadi bolehlah cuba-cuba. Kemudian untuk kedua kalinya, tanya dengan kakak-kakak ipar susu apa yang sedap, kakak cadangkan susu Frisomum. Jadi, pertama sekali fikir, nak dapatkan sample dulu sebab nak cuba, takdela nanti membazir sebab tak minum. Dan akhirnya, boleh dapatkan sample dengan mendaftar dalam lamam Frisogold. Sesiapa yang nak cuba sample dia, bolehlah masuk ke laman INI
Alhamdulillah, sedap jugak susu ni. Sekarang tinggal setengah tin lagi. 
Tapi bukan setakat susu je, saya jugak ambil set kalsium daripada Shaklee sebagai tambahan. Sebab saya minum susu sekali sehari, jadi saya ambil Ostematrix 2 biji sehari. Alhamdulillah, sakit pinggang kurang sikit..Untuk suplemen lain, saya hanya ambil Obimin yang doktor bagi kemudian Vita-C Shaklee.

Bukan ini sahaja, ada lagi peneman setia saya sepanjang 3 minggu kehamilan ni iaitu minyak angin dan losyen mustajab.

Minyak angin FreshCare ni istimewa sangat sebab dia tak bau minyak angin. Dia ada macam-macam jenis bau tapi saya lebih suka yang GreenTea sebab bau pun tak kuat sangat. Yang penting, kesannya cepat..same goes to Losyen Mustajab ni..

Kemudian, kalau bab mengidam ni, rasanya takde kot. Sebab tak ada pulak perasaan nak makan makanan yang lain daripada yang lain. Cuma awal-awal dulu ada juga asyik nak makan nasi lemak je. Pantang tengok gerai jual nasi lemak, mulalah terbayang-bayang nasi lemak sampai pulang ke rumah..hihi.. 

Tentang kerja pula, setakat ni masih macam biasa. Cuma kadang-kadang terasa jugak tekanan sedikit lebih-lebih lagi apabila ada program, perkara atau masalah yang segera dan perlu diselesaikan. Sehingga satu masa tu, pernah terfikir nak berhenti kerja, jadi surirumah. Ingat surirumah takde masalah konon.. Tak rasa memanglah kan? Hehe..Tapi tiap hari, balik je memang terasa kepenatannya. Itulah nikmat ibu hamil ni kan? Subhanallah..Nasib baik suami sentiasa bagi kata nasihat dan pendorong. Semoga semuanya berjalan lancar sehingga tiba masanya nanti..amin..huhu.. Apa yang penting, bagi ibu berkerjaya, perlu pandai mengawal stress dan tekanan kerja. Kadang-kadang memang terasa bebannya berganda, dengan emosi yang tidak stabil, tapi seeloknya jangan diikutkan sangat. Dan suami juga memainkan peranan penting dalam keadaan macam ni. Waktu macam ni lah, isteri amat memerlukan sokongan dan dorongan daripada insan yang paling dekat dengannya. Betul tak?

In shaa Allah, sampai ini sahaja perkongsian untuk kali ini. Minta doa semoga perjalanan kehamilan ini lancar dan sentiasa dirahmati serta lahirnya khalifah nanti adalah di kalangan anak soleh dan solehah. Amin... Okey semua...

Wassalam..


Friday, May 16, 2014

Selamat Hari Guru.. =')

 
 
Bismillahirrahmanirrahim... 
 
16 Mei adalah hari yang meriah bagi guru-guru kan? Hari ni lah anak-anak sibuk mencari hadiah untuk guru yang disayangi. Tetapi apa yang pasti, ibu bapalah yang membeli. Macam zaman kecil-kecil dulu. Ibu tak beli hadiah untuk guru, siap merajuk lagi. Hahaha.. dekat pejabat semalam pun, ibu-ibu sibuk beli tupperware yang dah siap dibungkus untuk diberikan kepada guru anak-anak. 

Dan pada hari ini jugaklah saya mendapat satu kejutan sempena hari guru. Waktu rehat seorang pelajar kelas Dewasa telefon, bagitau dia nak datang ke pejabat sekejap untuk jumpa. Ingatkan dia nak tanya soalan atau masalah. Sekali datang, masuk je ke dalam pejabat siap bawak satu kotak kek Secret Recipe sambil ucap, "Selamat Hari Guru." Tokojut den haa... Nasib baik semua keluar rehat waktu tu.. hahaha..


Terima kasih banyak-banyak atas pemberian ini wahai kak Aishah.. Kakak ni adalah antara anak murid yang selalu datang kelas, jarang sangat ponteng. Semoga ilmu yang dicurahkan dapat dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan. Amin.. Terima kasih juga kepada yang menghantar ucapan hari guru dalam SMS. huuhu..

Dan akhir sekali, Selamat Hari Guru ingin saya ucapkan kepada semua guru-guru yang pernah mengajar saya di SK Pusat Lawas, SK Abg Man Simunjan, SK Serian, SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, dan USIM. Tidak lupa juga guru yang paling setia sepanjang kehidupan saya, Ramli bin Junaidi dan Dayang Junaidah Abg Mazaman. Terima kasih banyak-banyak. Semoga semuanya berada di dalam keadaan bahagia dan ceria sentiasa dan untuk guru beragama Islam, semoga semuanya dirahmati Allah sentiasa. Amin ya Rabbal 'Alamin..

p/s Salah satu bekalan yang dapat kita bawa setelah meninggal dunia nanti adalah ilmu yang dimanfaatkan... in shaa Allah..

Okey, wassalam..
 
 

Monday, May 12, 2014

Perjalanan Hidup Bersama Orang Baru

 
 
Bismillahirrahmanirrahim..
 
INNALILLAH WA INNA ILAIHI RAJI'UN..Pertama sekali, takziah buat keluarga adik Sofwatul Amani atas kembalinya anak kecil ini ke pangkuan penciptanya. Semoga ibu dan ayahnya sentiasa tabah dan sabar atas segala yang menimpa kerana Allah menjanjikan yang terbaik buat hamba-Nya yang bersabar. Al-Fatihah..
 
  Wah, sudah lama jugak blog ni tidak di'update' isinya. Sibuk ke? Em, mungkin kot.. Atau nak kena tunggu ilham dulu kot nak kemaskini post terbaru, hehe. Tapi sebelum ni sebenarnya memang dah ada taip satu post yang asyik disimpan tanpa ditekan butang 'publish'.  :D Jadi, hari ini akan dilancarkan post yang agak berhabuk tetapi teramat berharga ini..Bismillah..
 
Sepanjang perkahwinan daripada 1 Disember 2012, sudah 4 orang di kalangan adik beradik yang sudah disahkan mengandung. Jujurnya, memang gembira mendengar perkhabaran tersebut, tetapi tipulah kan kalau saya katakan saya takde langsung merasa apa-apa perasaan lain selain daripada itu. Kan?? Lantas daripada itulah, saya dan suami pasrah dan serahkan segala-galanya pada Perancang kehidupan kami. 
 
Sehinggalah alhamdulillah pertengahan bulan 3 memberi sinar buat saya dan suami apabila mendapat berita dan rezeki yang rasanya sudah sampai masanya buat kami. Setelah 4 hari terlepas tarikh sebenar period, saya sudah tidak sabar membuat ujian kehamilan, dan memang diakui melihat 2 garisan pada alat uji itu memang benar-benar memberi harapan buat saya. Syukur yang tidak terhingga apabila melihat keputusan tersebut. Kembali ke bilik, usai berjemaah Subuh, barulah beritahu pada encik suami. Setelah setahun sebulan menunggu, akhirnya Allah tunjukkan kekuasaanNya pada kami. Namun apa yang paling mengharukan apabila suami berkata,
 
"Lihatlah betapa sayangnya dan Maha Mengetahuinya Allah, tahun pertama perkahwinan, Dia bagi peluang kita berdua, sambut raya berdua, sambut ulangtahun perkahwinan berdua, sebab Dia tahu, kita hanya mula berdua setelah kahwin. Dan tahun ini, in shaa Allah kita juga masih beraya berdua, tetapi ada yang 'menemani', dan in shaa Allah tahun seterusnya nanti kita beraya bertiga pulak,"
 
 
Ini adalah ujian kehamilan yang ke 4 dah kot. Haha, kerana teruja sanggup beli yang mahal ni. Alasannya, saja-saja nak cuba yang mahal. Tapi bukan saya je yang teruja, suami pun 2 kali 5 sama-sama teruja. Sanggup tunggu result tu keluar depan mata. 
 
Memang betul, indahnya aturan Allah.. Minggu ini sudah genap 3 bulan khalifah ini berada di dalam rahim. Semoga semuanya berjalan dengan lancar..doakan ya semua... Selepas ini, akan bertambahlah tanggungjawab diri ini sebagai seorang ibu pula. Amin.....
 

Gambar ultrasound pertama. Waktu ni masih dalam minggu ke 4 kalau tak silap. Tapi melihat ciptaan Allah yang bermula daripada rahim sendiri memang sesuatu yang indah bagi seorang yang bergelar bakal ibu, kan? :')
 
Jadi, ingin saya kongsikan di sini apa yang kami usahakan ke arah nikmat Allah yang tidak ternilai ini. Mana tahu ada yang ingin mencuba kan? =) 
 
Okey, yang pertama, daripada segi pemakanan. Saya dan suami memang ada mengambil pemakanan tambahan. Dulu masa ibu mertua menunaikan umrah tahun lepas, dia ada beli Serbuk Debunga Kurma untuk kami amalkan. Serbuk ini banyak khasiatnya, kalau nak tahu boleh cuba lihat di LAMAN ini. Suami makan serbuk ini dicampur dengan madu sebab kalau makan macam tu sahaja, memang serbuk akan naik sampai ke hidung. Kemudian tak lama selepas itu, ayah pula yang menunaikan umrah dan pulangnya membawa serbuk yang sama, tapi tak sempat makan pun sebab lepas ayah pulang, terus dapat berita gembira. Bukan itu sahaja, dua bulan sebelum disahkan hamil juga saya ada mengamalkan 2 produk Shaklee ni, iaitu Shaklee GLA Complex dan Shaklee Energizing Soy Protein (ESP). Ini pun rakan yang suggest untuk saya cuba. Masih ada lagi tinggal baki setengah botol GLA yang belum dihabiskan. 
 
 
Ini adalah bentuk serbuk debunga kurma yang mertua dan ayah bawa dari Mekah. Foto dari Google
 
 
 
 
 Produk Shaklee ESP dan GLA Complex
 
Kemudian usaha kedua, jangan pernah berhenti untuk berdoa kepada Yang Memberi. Allah sendiri telah menjanjikan dalam surah al-Mukmin, ayat 60, "Mintalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan permintaanmu". Tapi yang paling penting ialah kena yakin pada doa yang diminta.
  Selain itu, cuba perbanyakkan sedekah terutama kepada yang amat memerlukan. Dalam hadis nabi SAW juga menyatakan, "Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya," Yakin pada hadis Nabi ini dan cuba untuk diamalkan. In shaa Allah memang terbukti kebenarannya.
 
Yang terakhir ini pula mungkin satu kebetulan, tapi selalu jugak baca di dalam artikel-artikel hamil iaitu menjaga anak orang lain. Actually, bukan saya yang jaga, tapi ibu mertua dan orang yang dijaga pula adalah cucu sendiri merangkap anak buah saya dan suami. Dulu ibu mertua pernah cakap, "Biasanya menjaga anak orang ni, boleh tarik rezeki anak pada pasangan suami isteri." Jadi sepanjang bulan itu, ada jugak mertua cuba biasakan anak buah memanggil saya dan suami dengan panggilan mama dan papa. Dia panggil jugak kadang-kadang tapi lepas tu dia sambung balik, "Tapi mama dan papa tipulah, bukan betul-betul.." =D 
 
Itulah antara perkara yang pernah saya cuba praktikkan selama ini. Tapi apapun, bukan itu yang menjadi faktor utamanya. Semuanya juga akan kembali kepada Allah SWT. Bersangka baiklah pada Allah, setiap yang kita alami, setiap apa yang kita perolehi, ada rahsianya yang tersendiri. Jadi, buat sesiapa yang masih menunggu, jangan pernah rasa berputus asa atas penantian yang Allah rancang ini. Setiap yang dirancang ada hikmah, ada rahsianya yang tersendiri. Dan apa yang penting, usaha juga jangan dilupa, kerana hasil yang diperoleh berkat usaha serta doa dan tawakal semata-mata kepada Allah adalah yang terbaik. Percayalah.. 
 
Itu sahaja semua..
Wassalam..


 
 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram