Tuesday, May 28, 2013

Bengkel Bahasa Arab KAFA


Bismillahirrahmanirrahim..alhamdulillah masih diberikan nafas untuk bernyawa..^_^ Baru sahaja habis memberi sedikit perkongsian dengan guru-guru KAFA tentang pengajaran Lughatul Quran dengan guru-guru KAFA. Melihat reaksi dan minat mereka kepada Bahasa Arab membuatkan saya terharu dan menyedari bahawa semangat mengajar yang mereka terapkan untuk mengajar bahasa Arab sangat mendalam. Semoga usaha mereka diberkati dan dipermudahkan oeh Allah dan semoga bahasa Arab akan diminati ramai. Amin..


Guru-guru KAFA yang insyaAllah dapat melahirkan ilmuan pada masa akan datang

Alhamdulillah terasa hari-hari yang dilalui sangat bernilai. Setelah lama tidak keluar bersama, minggu lepas mendapat peluang untuk keluar bersama-sama adik-adik menghabiskan hujung minggu mereka. Hisyam, Is, Aimin dan Anis bersama suami tercinta menghabiskan hari dengan makan bersama. Sayang ibu ayah tidak dapat bersama sekali. Keluarga itu apa yang pentingnya adalah kualiti bersama bukan kuantiti waktu bersama. Ini yang selalu ditekankan oleh suami. Walaupun memiliki banyak masa bersama keluarga tapi masa tidak digunakan dengan berkualiti, tidak akan memberi apa-apa makna buat sejahteranya keluarga. ^_^

Semoga kita dapat sama-sama mendapat masa yang berkualiti dalam keluarga.




Mereka minat muzik, tetapi masih belum dapat membina kumpulan pemuzik. ^_^

Esok akan berangkat ke Sabah untuk majlis perkahwinan abang. Tidak sabar pula rasanya!! 

Wednesday, May 22, 2013

Musim Universiti - SUKSIS

 
 
Sudah tiba musim kemasukan pelajar baru ke universiti terutama pelajar asasi dan diploma. Alam baharu yang akan memberi pelbagai perkara baru yang tidak pernah diperoleh di alam persekolahan. Salah satunya adalah penyertaan dalam persatuan yang lebih terbuka dan meluas. Sukarelawan Siswa/Siswi PDRM USIM. Kenangan menyertai pasukan ini memang tidak akan dapat dilupakan. Kenangan selama 3 tahun di universiti kadang-kadang menggelikan hati. Alhamdulillah dan bersyukur yang teramat kerana dipilih menyertai pasukan ini hampir 6 tahun yang lalu. Semuanya bermula dengan pujukan seorang senior untuk menyertai temuduga SUKSIS dan akhirnya teringin juga untuk menyertainya. Dengan penuh debaran, saya melangkah sendirian menuju ke tempat temuduga.

Sebelum menjalankan temuduga, saya menjalani pemeriksaan fizikal. Kriteria yang diperlukan bagi anggota wanita adalah memiliki ketinggian 150 cm ke atas. Istimewanya, ketinggian saya pada waktu itu, 150.3cm....ingatkan memang terus disingkir tapi abang senior benarkan saya menjalani temuduga. Di dalam bilik temuduga itu, smuanya anggota polis yang terlatih termasuk seorang jurulatih anggota kami sendiri dan akhirnya temuduga berjalan dengan lancar berkat pengalaman sebagai ahli PBSM suatu masa dahulu..^_^ Tibanya hari pengumuman penerimaan anggota, tercatat juga nama di atas senarai yang diterima. Pada mulanya keliru samada ingin menerima terus ataupun tidak, tapi disebabkan perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru, saya hadiri juga perjumpaan yang pertama pada waktu itu.

Kursus ini memberi banyak pengajaran buat saya dan anggota lain terutama sekali dalam hal pengurusan masa. Walaupun ramai yang menolak tawaran tersebut kerana takut masa belajar tidak mencukupi, tapi bagi saya, jika pandai menguruskan masa, semuanya akan ok..dan alhamdulillah, aktiviti yang disertai lansung tidak mengganggu masa pembelajaran saya lebih-lebih lagi kebanyakan aktiviti dilaksanakan pada waktu cuti dan pastinya, banyak cuti yang perlu saya korbankan. Tapi, seronok!!
Rakan rapat SUKSIS

Integriti Amalan Kita

Selesai kawad pentauliahan di UM..

Karate bersama anggota
Aktiviti wajib yang perlu dikuasai oleh semua anggota adalah kawad. Walaupun penat, aktiviti kawad adalah aktiviti yang menyeronokkan dan pastinya sangat mengujakan apabila diminta untuk berbaris mengikut paras ketinggian dan semestinya saya adalah insan di hujung sekali…yang paling ‘comel’ =P
Aktiviti kokurikulum seperti ini bagi saya memang perlu disertai oleh pelajar atas sebab-sebab tertentu. Antaranya adalah:

  1. Mendedahkan para pelajar tentang skop pekerjaan bagi sesuatu unit beruniform. Sekurang-kurangnya walaupun tidak menceburi bidang pekerjaan tersebut, pelajar sedikit sebanyak dapat merasai pengalaman tersebut. Paling menarik adalah memakai pakaian uniform yang pastinya tidak semua dapat merasainya.
  2. Mendorong pelajar untuk mencuba sesuatu yang mencabar dan baru. Kebanyakan aktiviti yang dianjurkan oleh pasukan beruniform tidak pernah dialami oleh pelajar itu sendiri semasa di sekolah menengah dan dengan menyertai aktiviti seperti ini, pengalaman itu dapat dijadikan sebagai pendorong untuk mencuba perkara yang lebih mencabar daripada sebelumnya.
  3. Melatih pelajar dalam pengurusan masa. Unit beruniform yang berada di bawah latihan pasukan beruniform semestinya meletakkan masa sebagai perkara utama dalam latihan. Dengan terbiasanya menjaga masa ini dapat membantu pelajar untuk mengaplikasikan tabiat tersebut ke dunia luar. Membahagikan masa antara berpersatuan dan belajar juga dapat diaplikasikan dan dilatih dalam latihan ini.
  4. Mengeratkan hubungan antara pelajar lain serta jurulatih yang mengajar. Faedah ini memang tidak dapat dinafikan sama sekali. Dengan berpersatuan, pelajar dapat berkenalan dan mengeratkan hubungan dengan pelajar daripada fakulti lain atau antara senior dan junior. Dan apa yang lebih menarik, mungkin ada yang bertemu jodoh dalam persatuan ini dan semuanya sudah terbukti dalam skuad saya.
  5. Berpeluang menjejakkan kaki ke tempat yang belum pernah dijejaki. Ini adalah pengalaman saya sendiri di mana setiap cuti semester, pasti ada latihan yang dijalankan di luar kawasan universiti. Di samping dapat menjalankan latihan, dapat juga berjalan-jalan melancong ke kawasan orang lain. Cuma Terengganu sahaja kawasan Semenanjung yang belum pernah saya jejaki lagi..insyaAllah hujung tahun..amin..^_^
  6. Bagi pasukan uniform yang memberi ‘elaun’ kepada anggota semestinya dapat membantu pelajar itu sendiri dalam kewangan terutama buat pelajar perantau seperti saya ini. Alhamdulillah, saya tidak perlu lagi meminta belanja duit poket daripada ibu ayah dengan adanya duit elaun dan biasiswa yang diperolehi…
Banyak lagi faedah yang dapat diperoleh daripada persatuan uniform begini yang sepatutnya tidak dilepaskan oleh pelajar. Melepaskan peluang menyertai persatuan dan pasukan seperti ini adalah satu kerugian kerana keluarnya daripada universiti, ini semua tidak akan diperolehi lagi dan sesiapa yang menyertai, hanya mereka sahaja yang tahu perasaannya, kan?

Jadi, tahniah buat adik-adik yang mendapat tawaran memasuki alam universiti dan selamat menempuh alam baharu. Jangan lepaskan peluang yang ada yang tidak akan kita peroleh setelah keluar nanti… Selamat maju jaya adik-adik!!! ^_^
 

Monday, May 13, 2013

SELAMAT HARI IBU

 
 
27 tahun pastinya banyak hari-hari indah, banyak hari-hari duka, banyak hari-hari payah yang ditempuhi demi menjaga dan mendidik 7 orang anak-anakmu. Ketabahanmu menjadi idola buat diriku. Maafkan segala salah silap anak-anakmu dan semoga dirimu sentiasa berada dalam keredhaan Allah yang satu.
 
ٍSelamat Hari Ibu, ibuku, Dayang Junaidah binti Abang Mazaman......
 

Selamat Hari Ibu juga buat ibu mertuaku.....^_^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram