Thursday, November 1, 2012

Ujian itu Manis

                             
"Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya."



Ujian adalah perkara biasa yang sering kita hadapi di dunia. Ketika masih bersekolah lagi kita sudah menghadapi ujian secara akademik. Setelah membesar, pastinya banyak lagi ujian yang kita hadapi tidak kira dalam akademik atau bukan akademik. Namun, jika kita perhati dan renungkan semula, apakah tujuan ujian dilaksanakan? Sudah tentu, untuk menguji tahap kefahaman kita tentang sesuatu matapelajaran dan menunjukkan kepada kita kelemahan yang kita miliki lantas sebagai satu dorongan untuk kita memperbaikinya.


Begitu juga dengan ujian dalam kehidupan. Ujian berupa kesakitan, kegagalan dan kepayahan mengajar kita untuk lebih tabah menghadapi apa yang perlu kita hadapi. Surah al-Baqarah ada menyatakan yang bermaksud, "Demi sesungguhnya! Kami akan mengujimu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan, dari harta benda dan jiwa serta tanaman. dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya: dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.'"


Siapa yang memberi ujian kepada kita? Di sekolah juga kita dapat perhatikan, insan yang layak memberi ujian kepada kita adalah para pengajar yang pastinya memiliki ilmu yang lebih tinggi daripada kita sendiri. Siapa kita hendak mempersoalkan dan menetapkan soalan yang kita sendiri yang akan menjawabnya? Dan semestinya, para pengajar itu sendiri juga tahu kemampuan kita bagi menjawab soalan yang diberikan kerana mereka lebih memahami kita. Nah, begitu juga dengan ujian kehidupan. Siapa yang berhak memberi ujian kepada manusia di dunia? Pastinya 'Dia' itu memahami, dan memiliki 'maha' yang melebihi apa yang ada di muka bumi. Allah..itulah jawapannya...


Kita tidak meminta ujian, namun itu adalah rukun dalam kehidupan. Tidak ada manusia yang selamanya bahagia tanpa menerima ujian. Ujian itu adalah 'ingatan', 'teguran' daripada Allah agar kita tidak alpa dan leka pada dunia.


Pagi tadi saya mendengar motivasi pagi di radio yang disampaikan oleh seorang alim. Beliau mengatakan di dunia ini ada 4 golongan manusia:

  1. Manusia yang 'celaka' di dunia tapi bahagia di akhirat - bermaksud orang yang diberi ujian, kesusahan di dunia tapi dia redha atas kecelakaan itu dan ini mendorongnya untuk lebih dekat kepada Pencipta.

  2. Manusia yang bahagia di dunia namun celaka di akhirat - bermaksud manusia yang diberi kebahagiaan berupa kesihatan, atau kekayaan atau kesenangan tapi melupakan siapa yang mengurniakan kurniaan tersebut.

  3. Manusia yang bahagia di dunia dan bahagia juga di akhirat - bermaksud manusia yang diberi kemudahan dan kebahagiaan di dunia, lantas kebahagiaan itu dijadikan sebagai pelaburan untuk hari kemudian.

  4. Manusia yang celaka di dunia dan celaka jua di akhirat - bermaksud manusia yang diberi kesusahan atau ujian daripada Allah di dunia, namun tidak berusaha atau bersyukur atas kesusahan yang diperolehi, malah membawanya jauh daripada Pencipta.

Kita tergolong daripada golongan yang mana? Tanya diri, muhasabah peribadi. Redhalah pada ujian yang dihadapi, moga dapat menjadi pencetus peribadi yang lebih baik pada masa hadapan dan juga menjadi tabung akhirat kita kelak, insyaAllah. Renungkan doa yang pernah dibacakan oleh Nabi Musa a.s. semasa menghadapi kesukaran moga kita bermuhasabah..


"Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir
Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah faqir. 


Wallahua'lam

 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram