Abang teksi eksekutif
Bismillahirrahmanirrahim..Petang tadi alhamdulillah selesai juga bengkel pertama yang saya hadiri untuk bulan ini. Oleh sebab tidak mahu meminta pemand untuk menghantar ke pejabat, saya lantas berfikir untuk mengambil teksi. Namun, kaget sebentar apabila diminta menaiki teksi eksektif biru yang besar. Apa yang saya fikirkan pada waktu itu tentu harga yang akan dikenakan. Lantas, berlakulah perbualan berikut di dalam teksi:
Saya: Em, teksi ni guna meter ya bang? (sambil tengok meter)Abang teksi: Haah dik, guna meter.Saya: Oh...(diam sebentar) 'jam' teruk kan sekarang?Abang teksi: Waktu macam ni memang waktu jam teruk dik. Tak apa, nanti adik bayar RM15 sahaja untuk tambang ya. Sebab kalau ikut meter, mahal lagi sebab jam. Abang dah pernah naik teksi dan merasa apa yang adik rasa. Abang faham..
Mendengar tawaran itu, saya lantas menolak. Namun, abang teksi masih berkeras, lantas keluar kisah-kisah pahit beliau sebelum megambil keputusan untuk memandu teksi. Mengikut kisah beliau, sudah 2 kali beliau mengalami 'kejatuhan' akibat khianat kawan sendiri. Sekarang, beliau terpaksa melakukan pekerjaan dalam usaha untuk melunaskan hutang. Sedih juga mendengar luahan hati beliau. Sebentar kemudian, saya terfikir, masih ada juga insan seperti beliau yang tidak suka mengambil kesempatan pada orang lain walaupun akan memakan diri sendiri. Semoga abang teksi diberi kemudahan dan dimurahkan rezeki oleh Allah. amin..
p/s: Berapa beratkah dugaan yang pernah kita tempuh? Bersabarkah kita tatkala menjalani dugaan yang diberi? Sebesar manakah kesabaran yang kita miliki? sebesar-besar dugaan yang kita lalui, ada lagi yang lebih besar dugaannya. Sabarlah, dan jangan pernah berhenti untuk berusaha mengatasi segala dugaan...
No comments:
Post a Comment