Friday, May 29, 2015

Buat Mereka Yang Kecewa Dalam Bercinta

 
 
"Hidup tidak selalunya indah, Langit tak selalu cerah,
Suram malam tak berbintang, Itulah lukisan alam,
Begitu aturan Tuhan.."
Melalui zaman percintaan merupakan satu kebahagiaan yang memberi bunga dalam kehidupan manusia. Namun kecewa dalam bercinta juga merupakan saat yang terlalu sedih buat seseorang. Sesiapa yang pernah melalui pasti merasai keperitannya. Walau dengan apapun sebabnya, putusnya bercinta itu ibarat putusnya hati. Saya juga pernah melaluinya, pergilah ke mana pun, perasaan sedih, pilu dan kecewa itu pasti akan mengusung ikut. Seperti lebah mengejar orang yang mengganggu sarangnya. Ke mana sahaja pasti akan diiringi, tapi iringannya itu amat menyakitkan. Allah, waktu itu tertanya-tanya kenapa boleh terjadi sedemikian? Kenapa ini pengakhirannya sedangkan pelbagai janji manis telah diungkap dan dimeterai bersama? Kenapa tiada siapa yang memahami hati ini?

Buat seketika, marilah Insan Yang Kecewa, kita sama-sama mengimbas kembali di mana bermulanya kita. Daripada hanya seketul daging, kita diberi jantung yang berdegup. Jantung yang akhirnya menandakan bahawa kita dapat melalui kehidupan setelah keluarnya dari rahim ibu. Jantung yang membesar bersama-sama kita sehingga jantung itu berdegup kencang saat kita jatuh cinta. Saat memandang orang yang dicinta. Dan akhirnya jantung itu masih berdegup saat cinta yang disemat terputus di tengah jalan. Bayangkan jantung yang masih berdegup saat kita membaca artikel ini, tanyakan pada diri. Siapakah pemilik sebenar jantungku ini? Siapakah yang menciptakan jantungku ini? Sudah ada jawapannya? Tenang sedikit kan setelah mengetahui asalnya jantung kita? Alhamdulillah...

Insan Yang Kecewa, saya berkisah hasil pengalaman sendiri. Saya berkongsi hasil ceritera cinta sendiri. Tatkala hati saya dirundung kecewa yang sebegitu, hanya satu yang saya pegang dan harap anda juga memegangnya. Firman Allah yang nyata-nyata termaktub di dalam surah al-Baqarah,

“Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah, kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.”

Memegang ungkapan 'ada sesuatu yang kamu cintai itu membawa keburukan kepada kamu' itu amat memberi kesan dalam pegangan hidup saya hingga sekarang. Betapa ketika bercinta, semuanya indah pada pandangan mata. Insan yang dicinta seolah-olah dianggap mengenali diri sejak azali lagi. Padahal hanya bibit-bibit tahun sahaja insan tersebut dikenali. Tanyalah diri kita wahai Insan Yang Kecewa, adakah kita lihat keburukan yang ada pada insan yang dicintai. Pasti jawapannya, tidak. Atau, ada tapi sedikit sahaja. Anda yakin dengan jawapan itu? Jika yakin, maka pasangan anda tidak sempurna. Kenapa saya berkata sedemikian? Kerana tiada siapapun yang sempurna kecuali Allah semata-mata.

Insan Yang Kecewa, percayalah, ada sesuatu yang Allah simpan dan rahsiakan daripada kalian. Ada sinar yang tidak akan terhingga nilainya sedang menanti di hadapan. Sebab itu ada dinyatakan, tidak akan timbul pelangi jika tiada hujan yang turun. Alangkah indahnya jika saat kecewa bercinta, segala rintihan, rayuan, harapan diserahkan sebulat-bulatnya kepada Pemilik Cinta. Allahu rabbana.. Malah Dia sendiri ada menjanjikan..
"Ingatlah padaKu, kerana dengan mengingatiKu, nescaya hati akan menjadi tenang."
Ya, ketenanganlah yang anda perlukan saat ini. Bukan memikirkan perkara lain yang akhirnya membenarkan hati dan fizikal melakukan sesuatu yang tidak patut dilakukan sebagai seorang manusia yang berakal. Percayalah tatkala Allah tunjukkan 'rahsia' yang disimpan, pada waktu itu betapa kamu bersyukur yang teramat, betapa kamu melihat kejadian lampau itu sebagai suatu lipatan kisah yang tawar dan akhirnya kamu bertemu dengan sebuah kemuncak kisah yang dinanti-nantikan orang ramai. Percayalah wahai Insan Yang Kecewa...

Senyumlah... Andai tidak mampu, menangislah... Menangis sepuasnya, tapi jangan lupa pada senyuman yang sedang menanti. 'Senyuman' yang akan membuatkan bibir dan hati tidak pernah berhenti untuk memancarkan kebahagiaan. Semoga Allah sentiasa berada bersama kita, mengampunkan segala dosa-dosa kita dan memberi kekuatan dalam hati kita.

"Jadilah rumput nan lemah lembut, Tak luluh dipukul ribut
Bagai karam di dasar lautan, Tak terusir dilanda badai."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram