Friday, September 26, 2014

Beruntungnya Aku

 
 
"Kakak baru je lepas buat pembedahan kat area hempedu ni..." terang seorang kakak ketika saya menunggu giliran untuk mengambil darah. 
 
"...selepas 10 hari melahirkan anak akak yang kelima." Ini yang membuat saya tersedar, patutlah wajah akak ni lesu dan tidak berdaya, tapi masih mampu tersenyum sambil membawa buku biru anaknya dan kad putih yang pastinya untuk dirinya sendiri.
 
"Jumpa akak tadi kat dalam, tapi mana anak akak?
"Suami akak yang bawak tadi, masih lagi kat dalam bahagian ibu dan bayi. Taknak bagi dia kepanasan dengan keadaan orang ramai sebab akak ni pun sebab nurse nak tengok tempat pembedahan."
 
Oh, patutlah dia keseorangan. Setelah beberapa minit berborak dengan kakak ini, saya terkaku dan terdiam sebentar ketika kaka tersebut berkongsi perihal dia dan keluarganya.
 
"Kakak datang ke klinik naik bas je dik. Suami akak tak mampu nak beli kereta atau motosikal. Tapi akak tak pernah tinggalkan temujanji dengan doktor. Pernah hari tu klinik ni tutup dan dipindahkan ke Bintawa, tapi walaupun akak tak ada duit, akak jalan kaki jugak ke klinik. Sebab tu jururawat kat sini semuanya tahu kisah akak," cerita kakak tersebut sayu tapi masih bersenyum.
 
Seketika saya bayangkan perjalanan daripada kampung beliau hingga ke klinik tersebut yang memang benar, pernah ditutup kerana masalah litar pintas. Ya Allah, bukannya dekat.. betapa beruntungnya diri ini pada waktu itu masih dapat ke klinik menaiki kenderaan yang siap berhawa dingin.
 
"Akak dapat tahu ada ketumbuhan ini pun bila anak akak dah besar kat dalam rahim. Rasa sakit dekat-dekat bahagian ulu hati waktu tu. Akak ingat sebab nak bersalin tapi macam bukan. Akhirnya bila doktor periksa, ketumbuhan tu memang dah besar dan akak mesti buang selepas bersalin hari tu sebelum ia makin membesar dan memecah."
"Akak redha dengan apa yang akak tempuh. Ini semua ujian, kan?"
 
Saya terus mengiakan pertanyaan kakak yang berjiwa tabah ini. Betapa beruntungnya diri ini, ya Allah.. Buat pertama kalinya, saya berasa beruntungnya saya kerana mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan berkala di klinik biasa. Walaupun terdapat kekurangan dari segi masa, tapi bertemu dengan mereka-mereka yang kurang bernasib baik menjadikan diri ini berasa bertuah dan bersyukur atas apa yang diperolehi sekarang. Ya Allah, semoga kakak tersebut diberi kekuatan, kesihatan dan dikurniakan anak-anak yang soleh dan berbakti kepada beliau. Amin...
 
 
Alhamdulillah, melalui hari-hari  selama 7 bulan bersama khalifah di dalam rahim tersangat indah. Sudah kali kedua membuat ujian MOGTT, bersyukur ke hadrat Ilahi keputusan masih normal. Tapi manis ini tetap perlu dijaga sampai bila-bila kan? Sakit belakang, letih itu tetap ada terutama sekali bila pulang dari kerja. In shaa Allah moga tetap diberi kekuatan hingga ke akhirnya.
 
Dah masuk bulan Zulhijjah, maka sama-samalah kita perbanyakkan amalan terutama pada 10 hari terawal Zulhijjah ni. Terdapat kelebihannya yang diterangkan di dalam hadis dan al-Quran. Antara hadis yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini ialah hadis daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda,
"Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan beramal padanya lebih dikasihi Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertahmid dan bertakbir." (Hadis Riwayat Ahmad)
Jadi, walaupun kita yang masih belum berkesempatan berada di Tanah Suci pada hari-hari seperti ini, mudahan amalan yang diamalkan ini akan memberi seribu fadhilat buat kita semua. Salam Zulhijjah semua..^_^
Wassalam..
 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram