Monday, September 9, 2013

Isu Di Sebalik Pembelian Kereta

 
 
Sejak dari kecil lagi selalu ambil selimut kemudian letak atas kerusi, buat macam khemah. Kemudian duduk pula di bawah tu sambil berangan pandu kereta. Membeli sebuah kereta adalah angan-angan yang akhirnya sudah tercapai sekarang. Alhamdulillah kereta kecil yang bernama 'Vivy' sudah berusia setahun lebih..^_^ Kecil-kecil cili api, walaupun harga tak mahal, yang penting boleh menyelit di sebalik ruang-ruang jalan dan yang paling penting, hutang pun insyaAllah sedikit, kan?
 
Baiklah, bukan ini sebenarnya yang saya ingin kongsikan. Apa yang ingin saya kongsikan adalah salah satu panduan sebelum memilih atau membeli kenderaan yang kadang-kadang tidak kita sedari di sebaliknya termasuk saya sendiri. Saya pernah membaca tentang isu hukum melanggan insurans konvensional yang telah difatwakan sebagai haram di sisi syarak atas sebab adanya riba. Suatu hari, saya kongsikan ilmu ini kepada suami dan selesai berkongsi, suami pun tanya, 
"Eh, kereta kan guna insurans juga? Tak haram ke?" 
Untuk seketika itu, saya pun tersedar..betul juga. Saya terus melihat sekeliling Vivy yang waktu itu hampir setahun saya beli. Tapi jujurnya, saya tidak ingat samada saya menggunakan insurans konvensional ataupun takaful semasa membeli kereta tahun lepas. Maka, saya mula meng'google' bagi mencuba untuk mencari jawapan. Salah satunya adalah tulisan ustaz Zaharuddin dalam blog beliau, Zaharuddin.net. Tajuk yang diletakkan adalah, 
 

Beli Kereta Cara Islam Tapi Insuran Terpaksa Haram?

Soalan 
Ustaz, saya nak membeli kereta. Saya membuat pnjaman kereta dari Islamic Bank, kemudian bagaimana dengan insuran? Saya dimaklumkan mesti buat insuran dan road tax di bank tersebut. Maka saya akan terdedah kepada insuran konvensional. Adakah harus? 
-  soalan melalui sistem sms -

Jawapan
Pertama : Anda perlu membetulkan istilah dan kefahaman anda tentang Bank Islam. Anda mengatakan
"membuat pinjaman dari bank Islam".
Hakikatnya Bank Islam tidak memberikan pinjaman tetapi memberikan pembiayaan melalui pelbagai konsep dan aqad yang menepati Shariah, Anatara konsep yang digunakan adalah Murabahah (seperti dibuat oleh Bank Islam Malaysia Berhad - BIMB) iaitu bank membeli dari pengedar dan menjual kereta itu kepada anda dengan harga 'mark up', kerana anda memilih bayaran secara ansuran.
Deposit 10 % atau lebih yang anda bayar kepada pengedar itu adalah sebenarnya kepada BIMB kerana mereka telah melantik pengerdar itu sebagai wakil mereka. Dapatkan info lanjut dari pegawai di Bank Islam Malaysia Berhad.
Kebanyakan Bank Islam lain pula mengamalkan konsep al-Ijarah Thumma Al-Bai' iaitu "sewaan yang ditamatkan dengan jualan", proses dibuat apabila pihak bank akan membeli kereta dari pengedar atau mungkin juga terus dari anda, dan kemudian apabila pemilikan bank ke atas manfaat kereta (beneficial ownership) telah sempurna, pihak bank akan menyewakan kereta itu kembali kepada anda, dan pembayaran terakhir akan dianggap sebagai jualan terus. Selain itu, ada juga Bank Islam yang menggunakan konsep Tawarruq dalam pembiayaan kereta. Semuanya telah disahkan oleh Majlis Penasihat Shariah masing-masing.

Insuran
Hukum insuran konvesnional adalah haram menurut keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan Majlis Fatwa Kebangsaan, justeru anda wajib mengambil insuran Islam atau TAKAFUL dari mana-mana syarikat takaful yang wujud di Malaysia bila membeli kereta atau rumah.
Biasanya insuran tidak diuruskan oleh Bank, ia diuruskan oleh anda sendiri atau penjual kereta itu. walaubagaimanapun jika ia diurus oleh bank atau penjual, anda berhak untuk menuntut perlindungan TAKAFUL untuk kereta itu. Tiada sebarang undang-undang yang membolehkan mereka memaksa anda mengambil insuran yang tidak anda kehendaki.
Kebiasaannya, penjual kereta menggambarkan seolah-olah mesti diambil insuran tertentu, sebenarnya mereka sedang MENIPU. Hakikatnya mereka cuba mendapat untung lebih kerana syarikat insuran yang mereka cadang adalah panel mereka dan mereka akan mendapat komisyen kelak. 

Jika mereka kata 'tak boleh', anda perlu tegas mengatakan bahawa jika demikian anda akan membeli kereta yang sama daripada pengedar dan penjual lain. Saya pasti tatkala itu mereka akan mengatakan permintaan anda boleh diusahakan. 

Saya sendiri pernah mengalaminya apabila cuba ditipu kononnya mesti ambil dengan insuran konvensional tertentu yang memerlukan tempoh minimum 1 tahun, kemudian saya bebas untuk menukar kepada insuran lain atau TAKAFUL katanya. Dengan tegas saya katakan :-
"jika demikian, maaf, saya cari kedai lain. Saya mesti nak Takaful, 1 tahun dengan insuran, maaf saya tak mahu"
Dengan segera mereka dapatkan saya syarikat takaful.
Ingat, penjual kereta akan cuba paksa anda ambil insuran yg mereka jual kerana mereka dapat komisyen, jangan endahkan paksaan mereka. Tiada sebarang peruntukan kuasa untuk memaksa anda. Jika paksa juga, dan anda tertipu, sila buat aduan dan laporan segera kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia. InshaAllah pasti menang.
Road tax akan diuruskan sekaligus oleh syarikat penjual atau Takaful, road tax tiada masalah, hukumnya adalah harus.

Takut juga atas setiap sisip perkara yang kita lakukan sekarang. Semoga dapat dijadikan panduan buat kita bersama..amin.. Wassalam...

Tuesday, September 3, 2013

Jom Belajar Arab 1

 
 
Bahasa Arab adalah salah satu bahasa yang mula disenangi dan mula dipelajari oleh setiap orang pada masa ini. Mempelajari Bahasa Arab ketika berada di zaman universiti banyak memberi faedah buat saya pada masa sekarang padahal memng itu adalah matapelajaran yang paling lemah pernah saya pelajari satu masa dahulu.
 
Tetapi apa yang saya dapat lihat, terdapat dua golongan yang minat terhadap bahasa ini. Pertama, golongan yang ingin mempelajari bahasa Arab dengan mendalam termasuk tatabahasa dan sebagainya. Golongan kedua pula adalah yang mahu mempelajari supaya mereka boleh bertutur dalam bahasa Arab. Bagi saya golongan kedua ini hanya akan berjaya apabila mereka bergaul dengan suasana yang boleh membawa mereka ke arah itu...

Setelah berada di alam pekerjaan, melihat ramai yang mula meminati Bahasa Arab memberi satu tanggungjawab kepada saya menyampaikan ilmu yang saya dapat terutama kepada rakyat Sarawak. Jadi, tidak salah  juga bagi saya berkongsi dengan pembaca yang turut berminat mempelajari bahasa ini..Jadi, jom kita mulakan!!

Bagi sesiapa yang baru sahaja menjejakkan kaki ke dalam alam ilmu bahasa Arab, apa yang perlu dipelajari adalah Perkataan yang ada di dalam Bahasa Arab dan pembahagiannya.

Perkataan (الكلمات)terbahagi kepada 3 iaitu:

  1. Al-Ismun (الاسم) - Kata Nama (contohnya, Muhammad, pelajar, guru, pen, singa dan lain-lain)
  2. Al-Fi'lun (الفعل) - Kata Kerja (membaca, menulis, makan dan lain-lain)
  3. Al-Harfun (الحرف) - Kata Hubung (ke, di dalam, tentang, dengan dan lain-lain)
Jadi, itu adalah pembahagian kalimah yang perlu diketahui sebelum melangkah kepada yang lebih jauh..Moga dapat saya meneruskan usaha ini hingga ke akhirnya..^_^ wassalam..

Syair Duhai Si Raja Hati

 
 
 
Silang kata kehidupan.. rahsia yang tersimpan..membawaku terbang mengharungi udara-udara yang telah ditetapkan..tidak ku nafikan, kepala pernah tersadung melanggar tiang, kaki pernah tersangkut di celah wayar keperitan..sayap pernah berdarah dilastik batu halimunan yang panas dan tajam.. Akhirnya, sampai juga akhirnya ke destinasi dahan yang telah ditakdirkan untukku..
Tiba-tiba kamu turut menghampiri dahan itu.. Bersama angin yang akhirnya membuai dahan sebelah rapat ke dahanku tanpa aku sedari..sedangkan pandanganku melihat kepada burung di dahan yang lain. Sedetik itu, dahanku yang kuat mula rapuh ditiup angin dan tanpa pilihan, aku tumpang berteduh di atas dahanmu yang kuat..
Di saat angin mula berhenti, kau mula mengajakku terbang bersama. Tiba-tiba ketika terbang bersamamu, hari seakan-akan ceria, kebiruan dan terang.. kau ukir semula senyumku setelah angin kencang mematahkan dahanku. Dahan yang patah kutinggalkan sejauh mungkin..pandangan yang pernah menarikku semakin menjauh dan burung itu turut terbang menuju ke arah yang bertentangan.. 
Kini senyummu adalah senyumku, air matamu adalah air mataku..walau aku sedar dirimu adalah pinjaman buatku.. namun pinjaman ini adalah pinjaman yang bakal membawaku ke syurga.. katamu menyenangkan.. tawamu menghiburkan.. hadirmu membahagiakan.. kau terima kekuranganku seakan semuanya kelihatan samar bagiku.. tidak ternilai terima kasih dari diriku.. tidak ternilai sayang buat dirimu.. namun aku tekad, menjadi yang terbaik buatmu adalah usahaku..
Allah..terima kasih atas pemberianMu..

Tuesday, August 27, 2013

Hukum Pre Wedding & Post Wedding

 
 
 
Gambar pra perkahwinan dan selepas perkahwinan merupakan salah satu trend yang kadang-kadang menjadi satu perkara wajib di dalam sebuah majlis perkahwinan sekarang. Di sini ingin saya kongsikan beberapa hukum-hakam berkaitan pengambilan gambar ini untuk rujukan semua terutama bakal pengantin Muslim.
 
Hukum bergambar secara umumnya adalah harus tertakluk kepada jenis gambar apa yang mahu diambil.

Bergambar pra perkahwinan

Bergantung kepada beberapa keadaan:
a) Pakaian tidak menutup aurat bersama aksi seperti suami isteri. Hukum untuk mengambil gambar seperti ini adalah HARAM. Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia;

Foto pra-perkahwinan pasangan pengantin baru Islam yang merakamkan aksi intim sebelum majlis akad nikah, dikategorikan sebagai budaya haram di sisi Islam.
Kelaziman bakal pengantin beragama Islam merakamkan foto secara intim termasuk berpelukan dan berbaring di atas katil sebelum sah bergelar suami isteri daripada segi hukum adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Sehubungan itu, Institut Kebudayaan Melayu Jambi mengeluarkan kenyataan bahawa budaya berkenaan harus dicegah seiring dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) berhubung isu yang sama.
Menurut pengerusi bahagian kajian dan pembangunan institut berkenaan, Djunaidi T. Noer, amalan merakamkan foto pra-perkahwinan bukanlah budaya masyarakat Jambi dan tersasar daripada hukum Syariah.
"Kami menyeru agar semua pasangan yang bertunang dan pengantin beragama Islam supaya tidak merakamkan foto pra-perkahwinan seperti berpeluk, berbaring antara satu sama lain di katil dan sebagainya. Ia merupakan haram," tegas Djunaidi seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post, hari ini.

b) Pakaian menutup aurat dengan sempurna dan tanpa ada sentuhan atau aksi-aksi lain yang mengghairahkan kerana ditakuti akan menimbulkan nafsu yang sukar dikawal dan ini termasuk dalam kategori 'mendekati zina'. Atas sebab ini, bergambar seperti ini jatuh dalam hukum antara MAKRUH dan HARAM dan seeloknya dijauhi. Selain daripada itu, sesi penggambaran seperti ini juga bukan satu keperluan dan boleh jatuh dalam kes pembaziran.

Bergambar selepas perkahwinan
Ini juga bergantung kepada beberapa keadaan;
a) Pakaian pengantin. HARAM penggambaran tersebut sekiranya pengantin memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan diambil oleh jurugambar yang bukan mahramnya. Allah melarang berhias (tabarruj) dengan menampakkan aurat untuk dipamerkan kepada orang ramai dan ini ditekankan di dalam surah al-Ahzab, ayat 33 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu."

b) Pakaian yang menutup aurat tetapi aksi yang agak boleh mengghairahkan dan haram sekiranya jurugambar bukan mahram.

Daripada penjelasan di atas, jelas hukum mengambil gambar yang menjadi trend ini bergantung kepada keadaan itu sendiri. Hukum-hakam ini bukan sahaja tertakluk kepada pengantin itu sahaja tetapi juga kepada jurugambar yang kebanyakannya bertanggungjawab memberi arahan tentang 'posing' yang akan dilakukan oleh pengantin. Berhati-hatilah kerana bayaran yang diperoleh hasil penggambaran itu adalah rezeki kita. Jangan biarkan diri kita mendapat rezeki yang haram disebabkan oleh kesilapan kita sendiri..

Wassalam..

 

 

Monday, August 26, 2013

Hari Raya Berdua


Salam Syawal semua.. Hari ni kita sudah berada dalam hari ke 19 bulan Syawal tahun 1434H. Macam mana dengan puasa 6 bulan Syawal? Nampaknya saya masih tinggal dalam 3 hari lagi yang perlu ditunaikan. Semoga puasa 6 kita memberi keberkatan buat diri kita sendiri. Alhamdulillah, tahun ini adalah tahun pertama saya beraya bersama suami. Seperti biasa bagi suami isteri, pasti ada perbincangan yang perlu dibuat, dan tahun ini kami memutuskan untuk beraya di rumah keluarga saya di Sri Aman. Ini juga adalah bersempena majlis kahwin abang saya yang dilaksanakan pada raya ke-4.

Perjalanan kami ke kampung mengambil masa selama 4 jam. Selepas solat sunat aidilfitri, bersalam-salaman, kami singgah sebentar di rumah mentua sebelum memulakan perjalanan ke kampung. Jujurnya perjalanan hari itu agak menggerunkan. Mungkin agak trauma dengan apa yang berlaku pada sahabat pada bulan puasa sebelumnya. Semoga mereka aman di sana..
 Tahun ini, hari raya memang berbeza. Biasanya, malam raya, siapkan baju sendiri dan baju adik-adik. Tahun ini, siapkan baju sendiri dan baju suami sahaja. Baju adik-adik mereka sediakan sendiri masing-masing.


Ini adalah gambar raya pertama di kampung. Tak pakai baju raya pun, sebab masih berada di luar menguruskan beberapa perkara berkaitan majlis abang. ^_^

Tahun ini, tidak ada gambar keluarga hari raya pertama sebab abang dan adik tidak pulang ke rumah, jadi kami semua hanya bergambar pada hari raya keempat waktu majlis abang. Tahun ni juga tak ada warna tema untuk raya..hihi..


Bersama pengantin. Gelak bila tengok gambar ni. Abang dengan bekas tepung tawar masih di dahi..haha..


Tidak melepaskan peluang bergambar di pelami, buat kali kedua. Masih pengantin baru kan? hehe..
Tahun lepas adalah raya yang agak sedikit merunsingkan dan menyedihkan bagi saya. Tapi tahun ini, beraya sebagai seorang isteri adalah raya yang paling menggembirakan bagi insan yang baru bercinta bersama suami..^_^ Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah..

Friday, August 23, 2013

KESILAPAN SEMASA MENGENAKAN TUDUNG



           
Hari Raya adalah hari yang sungguh menyeronokkan bagi sesetengah orang. Di bulan Syawal ini ramai yang mengenakan pakaian dan tudung-tudung baru yang cantik dipandang mata. Sekarang begitu banyak tudung yang dijual tidak kira samada secara talian ataupun secara lansung. Gembira juga melihat ramai yang mengubah imej diri mereka dengan menutup aurat mereka terutama daripada golongan artis. Namun sedihnya, mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan tentang persoalan “Mengapa kita perlu bertudung?” ini menyebabkan ramai yang telah melanggar peraturan dan cara bertudung yang sebenar.
Sebelum itu, mari kita hayati maksud ayat al-Quran yang mewajibkan wanita untuk bertudung iaitu ayat 31 surah an-Nuur:


Nampak tak apa yang diminta di dalam ayat tersebut? Namun sekarang terdapat beberapa kesalahn yang mungkin sudah menjadi kebiasaan yang perlu kita singkap dan betulkan.

1.               Aurat di dalam keluarga
Kesilapan ini adalah kebiasaan bagi kita, bahkan saya sendiri juga pernah mengalami kejahilan ini. Kononnya, selepas berkahwin, maka aurat dengan adik-beradik ipar yang berlainan jenis pun boleh dibuka. Ini adalah salah di sisi Islam. Selepas berkahwin, aurat kita wajib ditutup kecuali di hadapan suami dan bapa mertua. Adik beradik lelaki yang lain adalah masih bukan mahram kita.



2.               Bertudung tapi memakai pakaian yang tidak bersesuaian.


Lihat sahaja cara pemakaian di atas. Di sinilah kita diuji dan patut dipersoalkan kembali, kenapa kita bertudung? Adakah hanya untuk menutup kepala atau mengikut trend semasa? Aurat wanita di hadapan orang bukan mahramnya adalah seluruh tubuh kecuali tapak tangan dan mukanya sahaja. Lantas, kalau tubuh itu ‘dibalut’ masih nampak lagi bentuk tubuhnya dan orang lain dapat membayangkan sesuatu daripada pemandangan tersebut kan? Maka atas sebab itulah kenapa mereka digelar wanita yang menutup aurat tapi bertelanjang.

3.               Bertudung dan berbaju longgar tetapi kainnya……


Bagaimana pula dengan pakaian seperti gambar di atas? Masih kelihatan bentuk kaki yang cantik itu di sebalik kain tersebut. Di sinilah munculnya hadis Riwayat Ahmad Dan Baihaqi,

“Suruhlah isterimu mengenakan baju dalam di balik kain Qibtiyah itu.”

Kain Qibtiyah adalah kain tipis yang digunakan bagi mengelakkan kelihatannya warna kulit di sebalik kain nipis yang dipakai.

4.               Tudung yang tidak menutup bahagian dada

Sepertimana yang dapat kita lihat di dalam ayat yang pertama sekali kita baca di atas mengatakan hendaklah kamu melabuhkan kain tudung hingga ke paras dada. Kenapa? Rasanya semua sedia maklum, di situlah tempat salah satu mahkota yang wanita miliki dan dapat menarik mata lelaki padanya. Betul kan semua? Jadi, jagalah sebaiknya.


5.               Tudung berbonggol unta
Isu ini seringkali diperkatakan bagi memberi kesedaran kepada wanita tentang tegahan hadis Nabi seperti di sebelah.
            Pemakaian bonggol seperti ini banyak kita lihat terutama di kalangan pengantin-pengantin wanita. Ya, memang nampak menarik, tetapi sebagai Muslimah, antara kecantikan yang sementara atau dosa melanggar perintah yang kita mahukan? Fikir-fikirkanlah..

6. Tabarruj

Apakah itu tabarruj? Tabarruj ialah perbuatan mendedahkan kecantikan paras rupa, samada kecantikan itu di bahagian muka atau di bahagian–bahagian lain terutama kepada bukan mahram. Kembali kepada surah al-Ahzab di atas, tujuan utama melabuhkan tudung dan berbaju longgar adalah untuk mengelakkan diri daripada diganggu. Lihat sahaja di mana-mana, siapa yang lebih senang diganggu? Wanita yang menampakkan segala perhiasannya atau tidak? Fikirkan lagi sekali...

7. Fesyen yang menyerupai bangsa lain
           
            Pelbagai jenis trend dan fesyen terbaru yang kita lihat sekarang. Namun, sedarkah anda.....??? Lihat gambar di bawah:



            Daripada kesilapan-kesilapan di atas, muslimah yang benar-benar memahami maksud 'BERTUDUNG' dan 'MENUTUP AURAT' itu sendiri yang akan dapat merubah diri mereka menjadi seorang MUSLIMAH sejati. Memang susah apabila terpaksa meninggalkan segala jenis fesyen terkini. Tetapi yang susah itu juga yang manis. Seperti ubat, kebanyakan ubat perit dan pahit ditelan tetapi itu juga yang akan membawa kesembuhan yang amat bernilai. Renungkanlah...dan sebarkan kepada semua... ^_^


Friday, August 2, 2013

SELAMAT HARI RAYA

 
 
Dah boleh ke belum? Dah boleh ke belum?
 
Em, biarlah awal......
^^
^^^^^
^^^^^^^
 
 SELAMAT HARI RAYA buat semua umat Islam yang berpuasa penuh (kecuali wanita). Yang tidak penuh puasa, maaf, tiada raya untuk anda...haha...gurau-gurau puasa...

Inilah hasil waktu tengah tunggu suami datang pejabat untuk pulang... Jadi..
MAAF ZAHIR BATIN SEMUA!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram