Wednesday, August 12, 2015

Banyakkan Memberi, Kurangkan Meminta

Wajah sugul seorang isteri datang meluah kepada saya, "Ustazah, kadang-kadang saya sudah jemu dengan suami saya. Dia datang hanya bila perlukan saya. Pergi dan tidak pedulikan saya bila semua hajatnya telah dipenuhi. Saya tekad ustazah, untuk membubarkan perkahwinan ini."

Jujur sebagai seorang yang bukannya perunding rumahtangga, saya hanya mampu memberi nasihat dan pandangan sebagai seorang sahabat buat beliau. "Hal yang halal tetapi tidak disukai oleh Allah itu adalah cerai." Kata itu yang terlintas di fikiran pada waktu itu.

"Tapi dia seperti mengabaikan saya. Nak hantar ke kelas ini pun dia marah. Dia cakap waktu macam ni baru nak perlukan dia. Sebelum ni tak peduli pun."

Nah, dari perbualan itu saya dapat menangkap sesuatu. Kata 'waktu ini baru perlukan dia, sebelum ini tak peduli pun' itu memberi suatu gambaran buat saya bahawa suami itu rasa tidak diperlukan sebelumnya. Saya lantas tersenyum dan cuba menutur sedikit nasihat buatnya.

Dalam tulisan ini saya cuba untuk sama-sama berkongsi tentang apa yang kadang-kadang kita rasa betul sebagai seorang manusia tetapi kadang-kadang kita alpa dan leka sehingga akhirnya memberi kesan yang kurang baik buat kita termasuk diri saya sendiri. 'What you give, you get back'. Frasa yang memang selalu dituturkan dan amat berkaitan dalam kehidupan seharian. Saya dahulu pernah mengeluh apabila terpaksa menunggu lama di hospital sedangkan kalau berada di hospital swasta layanannya agak cepat sedikit. Lantas, inilah frasa yang selalu suami balas kepada saya. 
Lantas ini juga yang berlaku dalam kehidupan seharian. Kita berkahwin dengan manusia, yang punya keinginan, punya perasaan yang berubah-ubah. Malah kita sendiri pun kadang-kadang inginkan sesuatu dan kalau tidak diberikan, perasaan boleh berubah-ubah. Cuba kita ingat semula dalam waktu-waktu percintaan sebelum berkahwin. Saya pasti, ramai yang sanggup untuk memberi apa sahaja kepada pasangan semata-mata untuk menarik hati yang dicinta. Jadi mengapa tidak sedemikian setelah lama berumahtangga? 
Jadi di dalam keadaan seperti si isteri tadi, ini nasihat saya:

1. Dekatkan diri kepada pemilik hati

Hati itu boleh berbolak balik mengikut kehendak penciptanya. Hati kita, hati suami, hati sesiapapun. Jadi mengapa tidak kita adukan segalanya kepada pemilik itu sendiri? Nikmat terbaik yang kita perolehi adalah sesuatu perkara berlaku kepada kita yang akhirnya mendekatkan kita kepada Allah walaupun ianya menyakitkan. Ambillah nikmat ini dan kita akan menjadi kuat, lebih kuat daripada sangkaan kita. Mengadulah... 

2. Banyakkan memberi

Setiap isteri memiliki tanggungjawab yang wajib ditunaikan kepada suami. Profesor Muhaya selalu menjawab pertanyaan mereka yang memiliki masalah seperti ini dengan satu pertanyaan yang lain. 'Sebelum kita bertanya apa yang orang bagi kepada kita, pernah tak kita bertanya apa yang telah kita beri kepada orang itu?' Kita kadang-kadang sibuk bertanya, kenapa orang lain dapat begini, kenapa tidak kita? Pernah tak kita soal diri sendiri, saya pernah tak memberi layanan seperti ini kepada orang lain? Berapa banyak kebaikan saya telah beri kepada orang lain? Nah, cuba fikirkan..

3. Bincang, bincang dan bincang
 
Rasulullah SAW merupakan insan yang menekankan amalan bermusyawarah sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan masalah. Di mana-mana sekalipun, apa keadaaan masalah sekalipun berbincang itu merupakan salah satu penyelesaiannya. "Suami saya orang yang sukar untuk diajak berbincang, ustazah." Suami memiliki ego tersendiri. Sebagai seorang lelaki memang tidak dinafikan mereka tidak mahu dilihat lemah pada mata sang isteri. Lantas nasihat saya pada beliau, jangan ajak waktu hati tengah marah. Tunggu masa yang sesuai untuk diajak berbincang, tetapi dalam waktu menunggu itu, layan suami sebaiknya. Kalau tidak dilayan, sampai bila-bila pun perbincangan tidak akan berlaku. 

4. Doa, redha dan tawakal
"Saya dah tak ada perasaan lagi pada suami saya. Saya redha, ustazah dengan apa yang saya dapat ni." Lantas saya jawab, "Puan, kalau boleh redha itu adalah usaha terakhir puan bagi masalah ini. Selagi usaha yang lain tidak lagi puan lakukan, jangan pernah menyesal dengan pilihan puan sendiri."
Rumahtangga yang dijalani bersama bertahun-tahun lamanya, mengapa sekarang sudah tidak dapat dipertahankan lagi. Sebab orang ketiga? Sebab hilang perasaan sayang? Tanya kemudiaanya pada diri, sebab akukah? Ada perkara yang kurang yang masih belum ditunaikan kepada pasangan? Kemudian atur langkah agar rumahtangga yang bertahun lamanya itu berkekalan hingga ke akhir hayat. Semoga kita semua dikurniakan rumahtangga yang bahagia, mawaddah dan sakinah. dan ingatlah, Allah adalah qawiy iaitu kuat, jika mahu kekuatan, maka mintalah daripadanya.
wallahua'lam.



Monday, August 3, 2015

Hati dan Diri -Aku Pinta CintaMu-

Merangkak memijak bumi Allah, dengan pinjaman yang sementara
Membuatkan kadang hati rasa penat, jiwa rasa berat
Helah syaitan, hati terlayan, pahala terkorban
Betapa sesal amat menghimpit perasaan dan jiwa
Menghimpit rasa adakah dosanya terhapus segera,
atau hapusnya dengan balasan yang menanti di sana
 
Terangnya hari ini, tidak akan sama dengan terangnya hari esok
Gelapnya semalam, tidak akan sama dengan gelapnya hari yang mendatang
Namun jiwa ini tetap sama esok dan selamanya
Hati ini tetap begitu saat masa berlalu membawa usia
Sungguh kadang terasa penat segala minda, memikirkan betapa
Usia lampau berlalu tanpa ada yang menyinar
Menyinar sebagai bekalan untuk masa di sana
 
Allah... diri ini malu
Malu pada dunia, malu pada makhluknya
Air mata ini
Tidak akan bisa memadamkan segala api kesilapan silam
 
Ampuni aku ya Allah, maafkan khilafku
Aku mohon, Engkau cacakkan tiang istiqamah buat diriku
Aku pinta, Engkau kibarkan rentangan keinsafan buat diriku 
Aku merayu, rapatkan aku pada mereka yang cinta pada diriMu
Agar timbulnya cinta ini melebihi cinta kepada makhlukMu
 
 
 
 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Instagram